Ada sebab rahsia kahwin




MENJADI lumrah bagi seseorang selebriti, setiap pergerakan ataupun perbuatan pasti dapat dihidu jua.

Sama seperti pasangan pengantin baru, Melissa Maureen Rizal dan Malique (Too Phat), harapan untuk merahsiakan perkahwinan mereka pada 8 Ogos lalu, tidak menjadi.

Sebaliknya, rahsia mereka terbongkar apabila beberapa gambar perkahwinan pasangan dua merpati sejoli ini tersebar luas di dalam internet dan kemudian ia dihidu oleh orang media.

Bertemakan warna putih dan biru muda di tepi pantai Bali, Indonesia, majlis itu kelihatan begitu ringkas dengan dihadiri teman-teman rapat sahaja. Tiada teman media mahupun selebriti-selebriti yang rapat dengannya yang diundang ke majlis yang bertemakan putih itu.

Kerahsiaan pasangan ini untuk menjelaskan momen indah itu menjadikan pelbagai andaian dan tohmahan yang dilemparkan kepada mereka.

Macam-macam hal, termasuklah yang tidak sedap didengar telinga dan dibaca, tetapi Kosmo! merasakan ada baiknya berbicara lanjut dengan yang empunya diri.


WAJAH ceria seorang yang baru bergelar isteri.


Tatkala menemui Melissa pada pelancaran drama online Gua.com.my, Ceraiya di Restoran Rebung baru-baru ini, satu-persatu soalan yang berkaitan dijawab tetapi hanya dengan bahasa yang seringkas mungkin.

Dalam banyak pertanyaan tidak banyak yang berjaya dirungkaikan dengan sejelas mungkin oleh wanita berwajah jelita ini. Mungkin sebagai isteri dia hanya berhak menjawab apa yang difikirkan sesuai saja.

Apa yang penting kata Melissa, dia mahukan kegembiraan membina mahligai cinta disimpan sebagai memori yang indah untuk dirinya bersama suami dan keluarga mereka. Melissa mengakui hal peribadi seperti itu dia tidak sudi berkongsi dengan pihak luar.

"Kalau boleh, saya tak mahu menceritakan tentang majlis perkahwinan itu dengan mendalam. Bukannya apa, ia adalah satu memori yang indah dan sangat bermakna buat kami. Ini hal peribadi.

"Lagipun, perkahwinan kami sangat sederhana. Kami bernikah di sebelah petang dan bersanding pada waktu malamnya. Yang penting, inilah impian saya iaitu berkahwin di tepian pantai.

"Tetamu yang hadir pula kebanyakannya merupakan saudara terdekat dan juga kawan rapat saya yang dikenali sejak sekolah sahaja," tuturnya yang telah pun bertunang dengan Malique sejak tiga tahun yang lalu.

Begitu ringkas jawapannya, Melissa lebih selesa mengurangkan bicara hal perkahwinannya. Namun dia menjelaskan, ada sebab mengapa perkahwinan ini dirahsiakan.


PEMINAT hanya mengetahui kisah pernikahan Melissa dan Malique melalui gambar yang tersebar di internet.


"Saya risau, kalau ramai yang tahu mengenai perkahwinan ini, takut tak menjadi pula. Sebab itu, kami lebih selesa mendiamkan diri. Bagaimanapun, mungkin kami akan membuat majlis resepsi di sini. Cuma setakat ini kami tidak pasti lagi sama ada ia menjadi ataupun tidak," katanya

Kahwin cara IslamBiasalah, jika bercerita mengenai perkahwinan, pasti banyak perkara seperti wang hantaran dan cara majlis itu disambut.

Namun, wajah Melissa sedikit berubah tatkala ditanya soalan mengenai mas kahwin dan hantaran. Seperti takut dengan andaian negatif yang bakal diberi jika dia mengulas panjang, pantas saja dia menjawab ringkas "Kami berkahwin secara Islam."

Bila ditanya semula mengenai tidakkah dia menyelitkan sebaran adat istiadat perkahwinan Melayu, sekali lagi jawapan sama, "Kami berkahwin secara Islam."

Sekalipun faham dengan pendiriannya yang tidak mahu membesar-besarkan mengenai hal perkahwinannya, sesekali terfikir juga tidakkah dia risau dengan pandangan peminat yang mungkin akan 'terasa' dengannya kerana berkahwin secara senyap, Melissa mengembalikan soalan kepada pihak media.




"Kenapa peminat-peminat perlu terasa jika saya melalui saat-saat yang bahagia? Mereka sepatutnya gembira jugakan? " tanyanya dengan nada berterus terang.

Tak menghalang kerjayaBicara pula mengenai suaminya, anggota Too Phat, Malique, Melissa tersenyum panjang. Wajahnya seperti telah menunjukkan perasaan cintanya terhadap suami tersayang.

"Saya bersyukur kerana memilikinya. Dia seorang yang bertanggungjawab dan begitu memahami tentang diri saya.

Malah, kini saya rasa seperti mempunyai seorang teman rapat yang sentiasa di sisi. Lebih-lebih lagi dia berada di bidang yang sama seperti saya. Ia lebih memudahkan kami untuk memahami kerjaya masing-masing. Lagipun dia tak menghalang apa yang saya lakukan sekarang," tuturnya sambil tersenyum manis.

Biarpun telah bergelar seorang isteri, Melissa tidak akan membataskan diri dengan segala tawaran lakonan yang diterimanya. Perjalanan hidup sebagai seorang anak seni, masih diteruskan.

Sengaja penulis mengusiknya, tidakkah dia ingin digandingkan bersama Malique dalam drama atau pun filem, dia menggeleng sambil tertawa manja.

"Taklah (ketawa). Tak mungkin saya akan berlakon dengannya," katanya yang bakal menemui penonton dalam filem Hoopers pula.

Tak sempat berbulan maduSedih mendengarkan pasangan bagi pinang dibelah dua ini tidak sempat pun berbulan madu bersama.


MAHU menyimpan momen manis perkahwinan sebagai kisah peribadi sahaja, bukan untuk tatapan umum.


Mana taknya, sehari selepas pulang ke Kuala Lumpur, terus saja dia menjalankan drama online, Ceraiya.

"Kami memang tak sempat untuk berbulan madu kerana saya perlu bergegas ke Kuala Lumpur untuk penggambaran pula," katanya.

Apapun, hasil lakonannya seperti biasa, sangat memuaskan. Membawakan watak seorang isteri, Niki, yang sentiasa tidak sehaluan dengan suaminya, KP, dia begitu teruja dengan lakonannya.

"Saya seronok dengan watak komedi yang diberikan kerana inilah karakter impian saya. Bukan senang untuk melakonkan watak-watak komedi berbanding dengan watak-watak lain.

"Apa pun, saya tak akan teragak-agak jika diberi peluang untuk diberi peranan watak komedi lagi sekali dan kalau boleh saya inginkan karakter yang mampu mencabar diri saya sendiri," jelasnya.

Dalam drama Ceraiya ini, Niki dan KP tidak sehaluan lagi biarpun mereka baru sahaja mendirikan rumah tangga. Beberapa hari sahaja menyambut Aidilfitri, mereka sepakat untuk bercerai.

Drama ini akan ditayangkan setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pada tarikh 1 September ini.