Bergandingan dengan ibu


HANIE turut memiliki bakat nyanyian seperti ibunya, Datuk Yusni Hamid.


PENONTON setia program Selamat Pagi Malaysia (SPM) yang disiarkan menerusi RTM1, pasti mengenali wajah manis dan bersuara lunak ini. Gayanya yang profesional tatkala menemubual tetamu program itu, memperlihatkan kematangan gadis berusia 26 tahun ini.

Namun, sebelum mengukir nama menerusi program SPM pada tahun 2006, Edlynna Hanie Abu Hamid atau Hanie, terlebih dahulu muncul menerusi rancangan nyanyian Bintang Gala 2 RTM, ketika berusia 16 tahun. Selain bidang pengacaraan anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga berbakat dalam bidang nyanyian.

Boleh dikatakan hampir kesemua pertandingan nyanyian besar disertainya seperti rancangan Bintang Kecil (RTM1), Teen Star 2000 (RTM2) dan Sinaran 2000 (TV3).

"Sebelum ini tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang nyanyian kerana ia hanya sekadar suka-suka. Tetapi minat itu mula timbul kerana selalu melihat ibu membuat latihan dan persembahan nyanyian. Mungkin darah seni pun dah mengalir dalam diri saya," jelas anak kepada penyanyi Datuk Yusni Hamid.


BAGI Hanie, generasi muda hari ini perlu berusaha gigih untuk mempertahankan kemerdekaan.


Penglibatannya dalam pertandingan hiburan tidak bernoktah dalam nyanyian, malah pertandingan pengacaraan juga menjadi pilihan. Graduan Jurusan Ijazah Pengiklanan UiTM, Shah Alam, pernah memenangi tempat ketiga dalam Who Will Win TV Spokesmodel 2004 (NTV7) pertama di Malaysia dan membawa pulang wang tunai RM5,000.

Menemui Hanie yang kini sibuk menguruskan perniagaan studio bersama ahli keluarga yang lain, Santai berpeluang menanyakan perihal kemerdekaan negara yang ke-51 tahun pada 31 Ogos 2008.

Santai: Apakah erti kemerdekaan bagi anda?

HANIE: Kemerdekaan membawa erti yang cukup besar bagi setiap individu dan sesebuah negara. Sejak memiliki kemerdekaan, tahap pendidikan kita semakin meningkat dan berjaya. Golongan wanita pula tidak disekat untuk melangkah lebih jauh berbanding pada zaman penjajah.

Bulan Ogos sentiasa dikaitkan dengan patriotik. Bagaimana anda menerapkan suasana itu?

Tidak dinafikan muncul saja bulan Ogos, semangat patriotik pasti meledak. Pada ketika inilah, kita mula mengingati pengorbanan tokoh dan pahlawan dahulu yang berusaha menuntut kemerdekaan.

Pastinya semangat patriotik makin menebal tatkala mengibarkan bendera, melayari Internet dan membaca buku sejarah lama mengenai kemerdekaan negara.




Tokoh kemerdekaan yang anda kagumi?

Selain Tunku Abdul Rahman, saya turut mengagumi kesungguhan Datuk Bahaman, Dol Said dan Mat Salleh.

Bagaimana anda melihat generasi muda kini menghargai kemerdekaan?

Remaja dulu lebih cenderung memikirkan cara untuk memerdekakan tanah air manakala remaja hari ini berusaha memajukan dan mempertahankan keamanan negara daripada jatuh ke tangan penjajah semula.

Suka duka Hari Merdeka?

Saya pernah bergandingan bersama ibu (Datuk Yusni Hamid) membuat persembahan nyanyian sempena Hari Kemerdekaan yang disiarkan di RTM.

Aktiviti yang dilakukan pada Hari Kemerdekaan?

Saya akan duduk di rumah untuk menonton perarakan dan persembahan kemerdekaan, terutamanya perarakan kereta berhias. Kagum melihat daya kreativiti pereka yang menghasilkan kereta yang cantik dan menarik.