TMNT pilih Ramadan




Bagi mendekati hati penonton tempatan, saluran televisyen bertaraf antarabangsa, Star Movies mempunyai cara tersendiri untuk memikat hati audiens.

Selepas menghadiahkan filem Robot dalam versi Bahasa Melayu, Star Movies meneruskan usaha baik untuk mengalih suara filem pilihan kepada Bahasa Melayu bagi mendekati elemen budaya tempatan.


BARISAN artis yang terlibat untuk alih suara filem Teenage Mutant Ninja Turtles versi Bahasa malaysia.


Menerusi sambutan dan respons yang diterima menerusi filem Robot dua tahun lalu, Star Movies telah membuat pilihan untuk mengalih suara filem animasi blockbuster, Teenage Mutant Ninja Turtles (TMNT) kepada Bahasa Melayu.

"Kami sebenarnya mempunyai dua pilihan. Satu daripadanya adalah animasi The Simpsons dan sebuah lagi adalah TMNT. Namun, kami membuat keputusan untuk memilih TMNT kerana ia adalah animasi aksi.


IKIN, Mawi dan Dafi dalam sesi alih suara.


"Lagipun sudah lama penonton tidak menyaksikan gelagat TMNT di kaca televisyen," kata Nini Yusof, Naib Presiden Pemasaran STAR (Asia Tenggara) dan Hong Kong pada majlis berbuka puasa memperkenalkan penyumbang suaranya.




Sengaja memilih bulan Ramadan untuk mengalih suara filem mereka kepada Bahasa Melayu sebagai hadiah kepada audiens terutamanya mereka yang berbangsa Melayu, Nini turut memberitahu seleksi aktor adalah atas perbincangan dengan pihak Astro.

"Sebelum pemilihan dibuat, kami berbincang dengan Astro dahulu. Semua program yang dilakukan di Malaysia perlu dibincang dengan Astro terlebih dahulu," ujarnya.

Watak keempat-empat penyu pencinta pizza, Leonardo, Raphael, Donatello dan Michelangelo masing-masing dipegang oleh Mawi, Aznil Hj. Nawawi, Kieran dan Nabil.

"Kami mendapat penyumbang suara yang bersesuaian dengan watak penyu-penyu itu. Watak Leonardo sangat padan dengan Mawi dan Nabil yang kelakar pula sesuai dengan Michelangelo," tambah Nini mengenai TMNT yang turut dialih suara di Indonesia.

Selain empat pelakon utama, TMNT turut disokong oleh Sarimah Ibrahim (April O'Neil), Dafi (Casey), Mohd Salih Yaccob (Splinter), Zahid (Max Winters) dan Ikin (Karai).




Bukan itu sahaja, penonton juga berpeluang mendengar suara Datuk Jalaludin Hassan sebagai pencerita filem TMNT dan penampilan istimewa termasuk Edlin, Zizan, Ahmad Tarmimi Siregar, Shawal, Nubhan, Awal Ashaari dan ramai lagi.

Jadi jangan lupa untuk menyaksikan tayangan perdana TMNT di kaca televisyen pada 28 September ini, pukul 10 malam di saluran Star Movies (Astro 413) dalam versi dwi-bahawa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

Kepada mereka yang terlepas, anda boleh menyaksikan ulang tayang filem ini pada 11 Oktober, 11 malam, 12 Oktober, 3.15 petang, 16 Oktober, 9.30 malam, 25 Oktober, 1.15 petang, 28 Oktober, 9.30 malam dan 10 November, 1.20 petang.