Zehra enggan sambung kontrak


BERHARAP kerjayanya akan lebih bersinar selepas berdikari dan bebas daripada syarikat rakaman naungannya sebelum ini.


MELANGKAU usia tiga tahun berpayung di bawah label Power Records Sdn. Bhd., kontrak penyanyi yang popular menerusi lagu Semalakama, Zehra Zambri akan tamat penghujung November ini.

Kalau sesetengah artis punya keinginan tinggi untuk terus menyambung ikatan persefahaman dengan sesebuah syarikat rakaman, berlainan pula ceritanya si Zehra ini.

Gadis berusia 20 tahun yang tidak lekang mengukir senyuman manis ini tiada sebarang perancangan untuk terus tinggal sebumbung bersama label rekod terkenal itu.

Hal ini disebabkan Zehra sudah merencana masa depannya, ingin bergerak secara sendirian, tanpa adanya bantuan syarikat rakaman.

"Saya masuk keluarga Power Records bermula tahun 2005. Pada mulanya, saya rasa lebih baik ada syarikat rakaman yang dapat menunjukkan hala tuju buat karier saya.

"Segala yang saya idam tak memperlihat perkembangan positif, jadi saya tak ada sebarang rancangan untuk sambung kontrak," katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Bersama Keluarga Bersamamu di ibu negara baru-baru ini.

Dia bukan ingin menjadi individu bersikap lupa diri, sebaliknya ungkap Zehra, setiap perkara yang berlaku, ada cerita sendiri sehingga dia belum bercadang untuk mara ke depan bersama Power Records.

"Sepanjang waktu tiga tahun bersama syarikat ini, saya tak hadapi sebarang masalah apatah lagi saya memang ada cita-cita untuk muncul dengan album, lalu menjadi seorang artis berjaya kelak.

"Namun, semuanya tidak berjalan lancar seperti yang saya rancang. Lagipun, syarikat ini memberi tumpuan pada penyanyi lain, selain saya sendiri.

"Saya sedar, mereka juga perlu pasarkan artis yang bernaung di bawah syarikat mereka dan bukan sekadar mempromosi saya seorang.

"Cuma dapat saya perhatikan, publisiti dan pemasaran untuk Zehra Zambri memang kurang, maka rasanya lebih bagus mereka lepaskan saya.

"Setahu saya, Power Records pun tiada perancangan untuk meneruskan kembali kontrak saya," kata Zehra dalam nada perlahan, tanda dia pasrah dengan situasi ini.

Gembira diri dikenali

Kehadiran Zehra dalam arena muzik tempatan mula disedari setelah dia menempat diri dalam Anugerah Juara Lagu ke-20 (AJL20) menerusi lagu ciptaan Pak Ngah, Semalakama.

Meskipun tewas, dia tetap bersyukur kerana AJL20 telah menjadi platform terbaik, malah memperlihatkan laluan terbesar sejak dia bergelar penyanyi rakaman.


ZEHRA sempat mengagihkan kuih raya kepada peminat di jalanan bersama krew Bersamamu.


"Setidak-tidaknya khalayak menyedari dan memberi perhatian pada bakat yang saya ada.

"Alhamdulillah, penyertaan dalam acara berprestij itu sedikit sebanyak menunjukkan kesan terhadap kerjaya saya," tutur gadis berusia 20 tahun ini lembut.

Dek terlampau minat di dalam bidang nyanyian, Zehra yang pernah berbelanja melebihi RM50,000 semata-mata mahu membikin album sulung bersama Zehra Kreatif Productions mengakui bukan mudah meletakkan nama sebagai penyanyi disegani.

"Barangkali saya kalah daripada segi publisiti dan populariti berbanding bintang-bintang muda lain, tetapi dek kerana minat dan kehendak, saya gagahkan juga semangat," sambung Zehra.

Tanpa kenal rasa lelah dengan nasib yang selalu kurang menyebelahi, Zehra bagaimanapun tetap bersikap optimis setiap masa, asalkan impian untuk ada album sendiri tercapai.

"Kini saya sedang sibuk cari material untuk dimuatkan dalam ketiga yang diramal akan menemui peminat tahun depan.

"Untuk pasaran muzik yang tak menentu ini, saya cuma akan mengeluarkan sebuah album mini yang akan memuatkan lima buah lagu saja.

"Dua lagu daripada album terdahulu dirakam semula - Semalakama garapan Pak Ngah serta Suryakanta (Sharon Paul).

"Jadi saya kena berhempas-pulas mencari tiga buah lagu lagi untuk menyudahkan projek album ketiga yang berunsur etnik kontemporari ini.

"Dalam pada itu, kalau dapat lebih tiga buah lagu yang menarik, lagi bagus untuk saya. Mungkin saya boleh hasilkan terus album penuh," jelas Zehra.

Bukan mahu bersifat negatif, tetapi andai kata percubaan ketiga ini tidak membuahkan hasil seperti yang diimpikan, bagaimana?

"Sejujurnya, saya sendiri pernah berfikir tentang hal itu. Saya tak mahu cepat mengalah disebabkan saya masih muda, malah masih jauh lagi perjalanan saya.

"Kalau tak berjaya sekalipun, saya masih boleh meneruskan pengajian, lantas mencapai cita-cita untuk bergelar wartawan penyiaran suatu hari kelak," ujarnya yang merupakan penuntut dalam semester kelima, Diploma Komunikasi Massa di sebuah kolej swasta di ibu negara.

Cintai muzik tradisional

Bagai terbiasa menjadi persepsi umum, selalunya tidak semua generasi muda menggemari irama tradisional, yang sebenarnya diibarat khazanah paling berharga negara.

Bagi anak gadis seperti Zehra, naluri dan jiwa mudanya cukup selesa mendendangkan alunan dan lenggok lagu berjalur etnik.

"Sebelum ini, saya memang minat menyanyi dalam rentak pop atau R&B, sebaliknya jika saya memenuhi undangan pertunjukan pentas, peminat tetap mahukan saya menyanyi lagu tradisional.

"Perkara itu memang tak dapat dielak, malah sering terjadi kepada saya selama ini. Adakalanya saya tertanya-tanya bagaimana perkara ini boleh terjadi.

"Namun, saya akur dengan situasi tersebut dan tidak berkecil hati kerana saya tetap diingati masyarakat, sebagai penyanyi irama Malaysia.

"Dengan sedikit bakat yang ada dalam melagukan karya genre tradisional, saya dapat gunakan suara ini dengan sebaik-baiknya sekali gus berupaya menghiburkan orang lain.

"Lama kelamaan, dengan bermula sekadar suka-suka, kini saya dah jatuh cinta dengan muzik tradisional," balas anak kelahiran Klang, Selangor ini penuh yakin.

Bersamamu rai famili susah

Dalam pada itu, program Bersamamu yang sentiasa meraih sambutan membanggakan khalayak, tidak terkecuali mengadakan majlis berbuka puasa dengan insan kekurangan lain.

Menariknya, selain Bersamamu merai keluarga yang pernah muncul dalam rancangan tersebut sebelum ini, juga sempat memberi bekalan juadah berbuka puasa bersama pengguna jalan raya yang melintasi premis MayTower Hotel Serviced Apartment.

Menurut Penerbit Eksekutif rancangan ini, Mazlin Nordin, pihak Bersamamu bersama MayTower sengaja menjemput sebanyak lima keluarga buka puasa untuk menggembira hati individu-individu ini.

"Lima famili yang terlibat datangnya dari seluruh pelosok Malaysia antaranya ialah Selangor, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

"Sepanjang bulan Ramadan ini, terdapat banyak aktiviti kebajikan yang diadakan di Kuala Lumpur dan juga kawasan-kawasan sekitar.

"Jadi, Bersamamu bawa beberapa keluarga dalam sesebuah majlis, selebihnya famili lain akan pergi ke berbuka puasa di tempat lain pula.

"Kami tak nak buat sekali serentak kerana takut susah nak kendalikan keluarga yang ramai dalam satu-satu masa.

"Yang pasti, kami pun teruja tengok lima keluarga ini gembira, sama juga dengan insan lain di luar sana apabila dapat hadir di dalam upacara sebegini," katanya.

Bercakap tentang perkembangan Bersamamu, Mazlin menambah, program ini sekarang berada dalam musim ke-13.

"Episod pertama dah pun disiarkan di kaca TV baru-baru ini. Paling menarik Bersamamu kali ini apabila kita ada penerbit baru, Kamaruza'in A. Kadir yang mengaplikasi pendekatan baru.

"Bersamamu tampil dengan konsep kebersamaan yang mengajak badan bukan kerajaan (NGO) dan juga para pelajar serata institusi pendidikan atau kolej di Malaysia bagi menghulur bantuan.

"Contohnya kalau ada ramai tenaga manusia, dengan mudah kita dapat bergotong-royong bagi membaiki kerosakan kecil dengan kadar segera pada mereka yang memerlukan.

"Selain itu, Kamaruza'in juga bertindak selaku wartawan penyiaran di lokasi dan tidak dilupa, dia juga akan menjadi narator bagi program ini sekali.

"Itulah kelainan yang cuba ditampilkan dalam Bersamamu musim ke-13," akui Mazlin ternyata gembira dengan penerimaan luar biasa peminat dan juga penaja terhadap program ini.