Uji akal rebut pingat - Hampir 4,000 sertai sukan minda pertama dunia


KEJOHANAN sulung ini tidak memerlukan atlet dengan fizikal kuat tetapi cukup dengan sekadar otak cerdas.


BEIJING - Selepas penganjuran temasya Olimpik dan Paralimpik, ibu kota China ini kelmarin sekali lagi menjadi tumpuan masyarakat dunia untuk satu lagi kejohanan sukan global.

Menjadi tuan rumah edisi pertama Sukan Permainan Minda Dunia (WMSG), temasya yang diiktiraf Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) ini berlangsung selama dua minggu.

Dianggarkan hampir 4,000 atlet dari 143 buah negara mengambil bahagian untuk merebut sejumlah 35 pingat emas dalam lima acara dipertandingkan buat julung kali itu.

Ia meliputi sukan catur dan dam selain Bridge yang seumpama permainan jual beli hartanah monopoli, serta catur tradisional masyarakat Cina dikenali sebagai Go dan Xiangqi.




Dianjurkan Persatuan Sukan Minda Antarabangsa dan ditubuhkan sejak 2005 lalu dengan sokongan IOC, objektif WMSG lebih mempertaruhkan keupayaan minda berbanding fizikal.

Malah acara berlangsung melibatkan permainan popular sejagat. Catur dan dam yang berasal dari barat misalnya kini ada 400 juta pemain secara profesional berdaftar di seluruh dunia.

Catur Cina Xiangqi pula dimainkan lebih 200 juta pemain di 20 buah negara manakala Go dicipta 3,000 tahun lalu sudah memiliki hampir 60 juta pemain terutamanya di Asia timur.

Tidak ketinggalan permainan Brigde yang diiktiraf IOC sejak 1999 mempunyai lebih 100 juta pemain profesional di 130 buah negara termasuk jutawan komputer, Bill Gates sendiri.

Tanpa bajet besar, semua acara permainan uji mental ini diadakan di Pusat Konvensyen Kebangsaan China dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Beijing yang cukup luas dan selesa.

Sebagai simbolik kepada sumber semangat kemanusiaan, para peserta diminta membawa bersama bekas mengandungi air ke mana sahaja berada dari negara masing-masing.

Air bersih itu dicampurkan bersama air dari negara-negara lain dan pada akhir temasya, mereka akan membawa pulang sampel sedikit air tersebut - simbol kebijaksanaan sejagat.

China dijangka mengungguli dari segi kutipan pingat selepas kejayaan Olimpik lalu namun beberapa negara lain berharap untuk cuba memecah penguasaan tuan rumah itu. Agensi