Jiwai watak si kembar

Kepada penggemar siri animasi Upin&Ipin yang ditayangkan menerusi saluran TV9, suara kepada dua karakter tersebut ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.




TATKALA meninjau bilik rakaman yang berada di Tingkat Bawah bangunan Les Copaque Productions (LCP) Sdn. Bhd., Shah Alam, Selangor kelihatan seorang kanak-kanak perempuan comel begitu fokus mendengar arahan dan tunjuk ajar daripada seorang pereka audio, Safrizan Mohd Razali.

Sesekali dia mengangguk faham, kadangkala tersenyum dan ketawa kecil.

Selepas memahami tugas yang perlu dilakukan, dia terus menghampiri mikrofon dan melontarkan dialog dalam lima intonasi yang berbeza-beza.

Tanpa perasaan malu atau takut, kanak-kanak berusia sembilan tahun ini melakonkan suara latar dengan baik.

"Hai kawan- kawan, saya Upin, yang ini adik saya Ipin. Ini kisah kami berdua iaitu, Istimewa Hari Raya. Hah, betul! Betul! Betul!," lakon empunya diri Nur Fathiah Diaz atau Teha yang menjadi suara latar bagi karakter Upin&Ipin yang popular ditayangkan menerusi stesen TV9.

Secara ringkasnya, Upin&Ipin merupakan siri kartun animasi mengenai pasangan kembar berusia lima tahun. Menerusi siri ini penonton dapat menyaksikan bagaimana mereka menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan yang penuh dengan dugaan.

Tapi, Upin&Ipin amat bertuah kerana dibantu oleh opah dan kak Ros sebagai pembimbing supaya mereka terus tabah menjalani ibadah puasa.

Banyak nilai-nilai murni, pengajaran dan elemen kampung untuk mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak.


PENGALAMAN menjadi suara latar Upin&Ipin banyak membantu Nur Fathiah mempelajari teknik menyampaikan cerita dan intonasi yang betul.


Keletah kembar yang begitu mencuit hati dan disusuli dengan pelbagai adegan lucu membuatkan kartun animasi ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kanak-kanak hinggalah golongan dewasa.

"Ramai yang mengajukan mengapa Fathiah yang dipertanggungjawabkan watak Upin&Ipin, mengapa tidak kanak-kanak lelaki. Alasannya, seramai 20 orang kanak-kanak yang hadir ke sesi uji bakat tidak memenuhi kriteria.

"Mereka tidak menjiwai watak dengan baik, berlakon seperti membaca teks dan kurang memiliki daya kreativiti yang boleh menonjolkan karakter Upin&Ipin yang comel. Fathiah sebaliknya. Dia bukan saja bijak beraksi malah berani, ceria dan mudah mesra dengan orang lain," tegas Pengarah Upin&Ipin, Mohd Nizam Abd Razak.

"Seronok menyumbangkan suara dalam siri Upin&Ipin. Banyak pengalaman diperoleh dan pada masa yang sama membantu memberi pengajaran mengenai kebaikan bulan puasa dan pengisian hari raya kepada penonton.

"Tapi, Teha cuma berani berlakon sebagai suara latar berbanding drama kerana malu berhadapan dan dikelilingi dengan orang ramai," jelas pelajar Sekolah Kebangsaan Telok Menegong, Klang, Selangor yang ceria menyarungkan baju-t Upin&Ipin berwarna hijau.

Di sebalik sifat pemalu itu, anak sulung daripada tiga adik-beradik ini berjaya merangkul tempat ketiga dalam pertandingan bercerita mewakili sekolah di peringkat daerah, Klang.

Tambah Teha yang bercita-cita menjadi doktor: "Pengalaman berlakon Upin&Ipin banyak membantu saya mempelajari teknik menyampaikan cerita dan gaya intonasi yang betul.




Selain Fathiah, siri Upin&Ipin, turut diceriakan dengan karakter opah (Ainon Ariff), kak Ros (Noor Ezdiani Ahmad Fawzi), Rajoo (Kannan Rajan), Mei Mei (Yap Ee Jean), Ehsan (Mohd Syahmi Abd Hamid) dan Fizi (Ida Rahayu Yusoff).

Walaupun di televisyen kita menyaksikan setiap karakter bercakap antara satu sama lain, realitinya proses rakaman suara (audio) dilakukan secara berasingan.

Ini bagi mengelakkan studio rakaman menjadi gamat dan tidak terkawal memandangkan kebanyakan watak dilakonkan oleh pelakon kanak-kanak.

Jika proses rakaman kartun animasi yang lain dilakukan sambil melihat gerak-geri karakter (berjalan, berlari atau makan), tetapi produk animasi keluaran LCP mempraktikkan gaya rakaman tersendiri.

Dalam proses ini, pelakon perlu menggunakan imaginasi dan kreativiti yang tinggi. Ini kerana mereka hanya berlakon bersandarkan skrip dan mengikut panduan yang diberikan oleh pengarah dan pereka audio.

Di LCP proses audio dilakukan terlebih dahulu, sebelum beralih pada proses-proses yang lain. Sebab itu kumpulan pelakon berlakon berpandukan skrip, bukannya animasi yang tertera di depan mereka.

Biasanya proses rakaman suara diadakan pada hujung minggu.

"Selesai proses audio, kami meneruskan proses animasi yang menggunakan pengisian autodesk maya. Kumpulan pereka akan mengerakkan tubuh badan dan mulut karakter supaya menyamai serta bersesuaian dengan dialog yang diucapkan.

"Proses ini penting bagi memastikan pergerakan bibir dan dialog seiringan serta meletakkan emosi pada karakter. Jika pelukis tidak mempunyai idea untuk mencipta karakter berlari atau makan, salah seorang staf akan melakonkan gaya yang dikehendaki untuk rujukan kumpulan animasi," terang Nizam.

Upin&Ipin berdurasi lima minit

Pengarah Urusan LCP, Burhanuddin Md Radzi menyatakan pada asalnya filem kartun animasi 3 Dimensi (3D), bertajuk, Geng: Bermulanya sebuah pengembaraan, merupakan produk sulung mereka. Bukannya siri kartun Upin&Ipin yang semakin digilai ramai.

Namun idea Upin&Ipin timbul pada awal tahun 2006 ketika sedang sibuk menyiapkan pembikinan siri Geng. Dek kerana bimbang sekiranya filem yang membabitkan kos empat juta ringgit ini tidak mendapat sambutan yang menggalakkan, mereka mengambil keputusan mengeluarkan salah satu karakter untuk dikomersialkan.


NUR FATHIAH mengakui seronok dapat menyumbang suara untuk siri animasi Upin&Ipin.


Melalui tinjauan, rata-ratanya orang ramai lebih berminat pada watak Upin. Jadi bagi menyuntik tarikan yang lebih efektif pada jalan cerita, mereka lahirkan pula watak Ipin.

"Perancangan komersial akhirnya dapat direalisasikan apabila saya terserempak dengan Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda, di Cannes, Paris. Pada pertemuan tersebut beliau mencadangkan kartun animasi yang durasinya selama lima minit.

"Sehingga kini masih ramai yang tidak berpuas hati menonton siri Upin&Ipin selama lima minit. Pernah juga diminta memanjangkan tempoh siaran, tetapi kami masih kekal pada durasi yang sama supaya penonton tertunggu-tunggu episod yang seterusnya," tambah Burhanuddin yang menghasilkan karya dan dialog bersama isterinya, Ainon Ariff serta dibantu krew LCP yang lain.

Tambah Pengarah Teknikal LCP, Nazrul Hadi Nazlan: "Ketika episod keenam Upin&Ipin siri pertama yang disiarkan pada tahun lepas melonjak naik kami berhadapan dengan masalah baru. Ini kerana dalam filem animasi Geng, karakter Upin&Ipin bukanlah watak utama. Jadi kami terpaksa mengolah skrip dan menukar plot baru yang menampilkan peranan pasangan kembar ini.

Justeru kepada peminat setia, siri Upin&Ipin jangan ketinggalan untuk menyaksikan episod raya istimewa yang bermula pada hari raya pertama hingga hari raya keenam, di stesen TV9, Dekat di hati.