Aishah, Sasha pasrah




SYAWAL yang mendatang setiap tahun pasti mengujakan seluruh umat Islam, terutama golongan kanak-kanak yang ternyata mampu mewarnakan lagi perayaan ini.

Aidilfitri biasanya tidak meriah tanpa kehadiran si kecil yang girang mengumpul duit raya melalui satu rumah ke rumah lain, di samping menyarung baju baru yang serba-serbinya indah.

Dalam keterujaan menyambut detik dianggap sebagai Hari Kemenangan ini, masih ada juga pasangan suamiisteri yang menyambutnya dalam suasana ringkas dek belum dikurnia rezeki menimang anak.


BELUM ada rezeki. Aishah dan Shasha tidak menjadikan zuriat sebagai suatu isu dalam hidup mereka.


Bagi pelakon dan pengacara jelita, Aishah Sinclair, kehadiran Syawal tetap berseri bersama diri dan suami, Sheikh Abdul Shahnaz meski mereka masih belum memiliki anak.

Kata Aishah, walaupun sudah hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga dengan Shahnaz, dia reda dengan ketentuan Tuhan yang belum membuka pintu rezeki untuk mengandung.

"Alhamdulillah, setakat ini saya belum terasa sangat tanpa kehadiran insan bergelar anak dalam hidup.

"Prinsip saya apabila ditanya soal ini, saya hanya berkata tak boleh nak menjawab secara berlebih-lebihan.

"Ini semua kerja Allah, Dia yang menentukan segala-galanya. Kalau Dia tetapkan untuk saya punya anak, bila-bila masa saja saya terima dengan perasaan gembira," ulasnya tenang kala berkongsi luahan rasa bersama Kosmo!.

Berterus-terang, tidak lari atau mengelak daripada menjawab persoalan anak, itulah sifat rasional si personaliti ini yang boleh dihormati saat diaju pertanyaan agak sensitif.

Sambung wanita kacukan Melayu dan Inggeris ini, dia tidak terlalu tergesa-gesa untuk memikirkan perkara ini meskipun sanak-saudara kerap bertanya pada empunya badan.

"Ada juga keluarga terdekat yang cakap kalau-kalau saya tutup kilang di dalam usia muda, sedangkan hakikatnya saya tidak pernah sesekali berhenti harap mendapatkan cahaya mata.

"Saya hanya ikut segala yang ditetapkan Tuhan. Lantas saya tidak mengambil peduli sangat kisah anak apatah lagi dalam menyambut Hari Raya, saya dah ada keluarga yang ramai.

"Rasa bertuah sangat sebab saya kini memiliki dua buah keluarga besar, di pihak saya dan sebelah Shahnaz.

"Sekurang-kurangnya saya tetap bersyukur kerana dapat dua set keluarga setelah mendirikan gerbang perkahwinan," jelas pemilik nama penuh Aishah Jennifer Mohamed Sinclair sambil mengukir senyuman manis.

Luah Aishah lagi, dia gembira dengan kehidupan yang dilalui sekarang apatah lagi masih belum puas dimanja luahan cinta membuak-buak daripada si suami sejak disatukan 7 Januari 2006.




"Entahlah, saya belum fikir sangat tentang anak, lagipun saya tak rasa sedih atau tertekan dengan situasi ini," ungkap wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini.

Bercerita tentang Syawal kali ini, wanita berusia 28 tahun ini tanpa berselindung memberitahu, sambutan yang dilakukan bersama suami sekadar sederhana dan biasa-biasa sahaja.

Aishah yang sebelum ini pernah muncul di dalam program Pilates berkata, dia menyambut Hari Raya ini di kediaman keluarga Shahnaz yang terletak di ibu negara.

"Tahun lepas saya dan suami beraya di Ipoh, Perak. Kali ini saya beraya dengan famili Shahnaz di Taman Tun Dr. Ismail.

"Saya tak sedih sangat beraya di KL kerana nenek kesayangan datang ke sini, beraya dengan seluruh keluarga lain.

"Tidak dinafikan, sentimen raya kini sudah kosmomakin berubah ikut peredaran zaman apatah lagi buat generasi baru.

"Kalau dulu orang cakap raya di kota metropolitan agak bosan disebabkan masing-masing pulang ke kampung halaman, kini saya lihat tanggapan itu makin meleset.

"Semakin ramai warga kota yang meraikan lebaran di KL, malah ada waktunya tetap kelihatan meriah," jelas Aishah.

Paling menarik, Aishah mengakui cukup teruja beraya di rumah famili mentua kerana daripada pagi sehinggalah ke malam hari, kediaman itu tidak sunyi dikunjungi tetamu.

"Hari raya pertama biasanya keluarga Shahnaz buat rumah terbuka. Pelbagai menu dihidangkan untuk sarapan, makan tengahari, minum petang dan makan malam.

"Nampaknya hari raya ini saya seperti biasa duduk di dapur bantu mana-mana yang patut," ujar Aishah.

Kalau kanak-kanak berpeluang mengutip duit raya, sama hal juga dengan Aishah. Si suami, Shahnaz tidak pernah terhenti memberi duit sejak hampir tiga tahun lalu.

"Selalunya saya dapat pada pagi raya sewaktu sedang bermaaf-maafan dengan suami. Itu paling menarik dan menggelikan hati saya," sahutnya teruja.

Masih ingin berbulan madu

Bagi bekas anggota kumpulan Elite, Sasha Saidin, 30, dia juga punya pendirian sama dengan Aishah, tidak terlalu memikirkan soal anak dalam waktu terdekat.

Sasha dan Salyo Priyanto yang dinikahkan di Masjid Baitussalam, Duren Tiga, Jakarta Selatan, November tahun lalu memberitahu, bukan dia tidak selesa tatkala membicara tentang anak, sebaliknya isu ini adakala menjadi isu sensitif bagi sesetengah orang.

"Barangkali ada pasangan suamiisteri yang merancang ingin rileks terlebih dulu. Kalau saya terus diberi rezeki untuk ada anak, saya tak kisah.

"Kami juga sukakan kanak-kanak, malah salah satu ciri Salyo yang menarik di hati saya adalah disebabkan sifat kebapaan dalam dirinya.

"Saya percaya setiap perkara yang berlaku ada hikmah sendiri. Jujur diakui, kini saya sedang nikmati keindahan kehidupan bersama Salyo.

"Lagipun kami belum sempat berbulan madu. Kalau tiada aral melintang, kami akan pergi ke Bali, Indonesia akhir tahun ini.

"Bukannya sekadar pergi berdua, sebaliknya kami akan ajak kawan-kawan," cerita Sasha lagi sambil tertawa manis.

Umum mengetahui, Sasha melakukan proses album sulung di Indonesia beberapa tahun lalu. Bukan sahaja lagu-lagu yang dibawa pulang oleh penyanyi wanita ini, sebaliknya juga cinta hati seorang artis lelaki di sana.




Bercerita sambutan raya, Sasha menjelaskan, Aidilfitri yang hadir ini, dia dan Salyo tetap bergembira meraikannya, walau sekadar berdua sahaja tanpa kehadiran si kecil.

"Paling penting, saya ada saudara-mara yang dapat memeriah sambutan lebaran ini lebih-lebih lagi Aidilfitri kali ini dirayakan di Gombak, rumah moyang saya.

"Kediaman itu kini diduduki pakcik dan makcik saya. Seluruh famili pergi ke situ sehari sebelum menjelang raya bagi menyediakan juadah hari raya.

"Saya dan Salyo cukup teruja dapat beraya di Gombak kerana kami bergotong royong memasak ketupat, rendang serta bermacam lagi.

"Memang seronok sebab ini merupakan kali pertama saya dan Salyo raya bersama setelah mendirikan rumah tangga setahun lalu.

"Sekurang-kurangnya kami dapat beraya di dalam suasana kampung walau berada di sekitar Lembah Klang dan rumah peninggalan moyang itu pula mirip lebih moden.

"Saya mengaku kemeriahan lebih terasa di Gombak, malah pengalaman bermain bunga api juga tak dapat saya lupakan tatkala malam hari sebelum memasuki Syawal.

Ditanya persiapan raya ini, wanita tinggi lampai berusia 30 tahun ini hanya membeli sepersalinan baju tradisional.

Bukannya kedekut, sebaliknya Sasha punya alasan tersendiri. "Memang tahun ini saya beli sepasang baju saja. Buat apa nak membazir sangat, pakaian lama ada lagi, malah ia masih boleh digunakan.

"Saya terbiasa dididik hidup secara sederhana lebih-lebih lagi bapa saya, Mohamad Saidin Osman mengajar kami sekeluarga menghargai erti hidup."

Dalam pada itu Sasha berkata, Salyo yang berketurunan Jawa dari Solo, Jawa Tengah tidak merai lebaran secara besar-besaran pada tahun ini.

"Nenek Salyo meninggal dunia Disember tahun lalu, jadi dia tidak sambut hari raya dengan meriah kerana mahu menghormati pemergian arwah.

"Lagipun bagai sudah jadi kebiasaan rakyat Indonesia sambut Aidilfitri dengan ala kadar.

"Paling penting untuk mereka ialah menunaikan solat di pagi raya, lalu menghabiskan waktu terluang dengan famili serta sanak-saudara.

"Apa yang utama, saya gembira kerana dapat menjalani pengalaman berhari raya sambil dikelilingi pelbagai budaya," akhiri Sasha yang bakal menyertai sebuah program realiti tarian selepas Syawal.