‘Santapan’ Bell

Bell atau Nasrizal @ Ngasrizal Ngasri bukanlah nama yang asing dalam industri hiburan tanah air. Orangnya cukup sederhana dan tidak mementingkan publisiti murahan tanpa berita yang mahu dikongsikan.

Ironinya, sifat itu barangkali dikutip sepanjang dia hidup dan membesar sebagai anak wayang dengan deretan pembabitan sebagai seorang pelakon sejak usia setahun jagung.


Bell


Melalui fasa lakonan sebagai pelakon kanak-kanak sebelum melewati zaman pelakon remaja dan kini dewasa bersama karakter yang variasi, Bell sangat masak dengan dunia hiburan.

Memulakan kariernya lebih 10 tahun lalu, abang kepada dua pelakon berbakat besar, Darling dan Anne ini tidak pernah memilih untuk menjayakan watak hero mahupun pembantu. Berbekalkan kredibilitinya, dia menjual diri tanpa perlu publisiti berlebihan.

Telah terbabit dengan pelbagai jalur filem termasuk keberkesanannya memegang watak antagonis sebagai Shamsul dalam Kaki Bakar arahan U Wei, kepada cakera biasa dan filem-filem hebat seperti 1957 Hati Malaya, Castello, Bisikan Remaja juga Cinta, rezeki suami kepada Farhana Muhamad Fauri atau Syasya dan ayah kepada seorang cahaya mata ini tidak pernah putus.

2008 terus menjadi medan Bell cemerlang di kanvas sendiri. Sedang hangat bersama seorang ‘penyelamat nyawa’ menerusi drama Ampang Medikal di ntv7, juga memanaskan malam dengan aksinya dalam drama Sutun Kembali Lagi yang kini ditayangkan di TV9, kelibat Bell turut boleh disaksikan secara maya menerusi musim baru drama online paling hangat, Kerana Karina 3.

Meneruskan peranannya sebagai Boy, pendandan lembut yang lucu, Bell kali ini turut memainkan peranan yang penting dalam menghidupkan jalan cerita Kerana Karina 3 yang turut dibintangi Marsha, Norman Hakim, Sazzy Falak dan ramai lagi.

“Tugas seorang pelakon adalah melakonkan semua karakter yang diberikan dengan sebaik mungkin. Tidak kira ia antagonis, komedi juga menjadi orang lain, itulah yang dinamakan sebagai anak wayang sebenar,” ulas Bell yang juga sedang menanti tayangan filem terbarunya, Antoo Fighter mengenai lapisan watak yang pernah dimainkan olehnya.