Rumah jadi lebih nyaman


TEKUN. Man menyusun atap rumbia di rumahnya untuk dipasarkan di luar kawasan.


BIARPUN negara pesat membangun dalam bidang pembinaan pencakar langit, namun masih ada yang lebih mementingkan keaslian dan ciri seni bina tradisional.

Satu ciri tradisi dalam warisan seni bina Melayu yang menjadi lambang kebanggaan ialah penggunaan bumbung yang diperbuat daripada daun rumbia atau nipah.

Tidak hairanlah masih ada kedai, gerai, restoran, tempat rehat malahan rumah yang ‘mengabadikan’ bumbung beratap daun nipah atau rumbia.

Atap tersebut menjadi pilihan kerana nilai sentimental yang ada padanya, selain ia dapat menyejukkan keadaan dalam kediaman atau tempat yang dilindunginya.

Di Perlis, satu kawasan yang terdapat ramai pembuat atap rumbia dan nipah ialah di Beseri Dalam. Antara pembuat bumbung berdaun kuning itu ialah Man Ismail, 68.

Dia mewarisi kepakaran membuat atap tradisional itu daripada arwah bapanya, Ismail Abd. Ghani. Uniknya ada beberapa pembuat atap rumbia di situ kerana kawasan itu banyak pokok rumbia.

Malah ramai mahu mempelajari cara membuat atap rumbia sebagai satu cara meraih pendapatan sampingan.

“Saya mula buat atap rumbia kira-kira 40 tahun lalu. Kini saya bangga, walaupun ada pelbagai jenis atap moden tetapi sambutan terhadap atap rumbia kekal menggalakkan walaupun tidak serancak dulu,” katanya.

Dia mengusahakan pembuatan atap rumbia bersama isteri, Hasisah Ali, 60-an. Man memberitahu, sejak mengusahakan secara serius, dia menerima banyak tempahan.

“Ini termasuk dari Johor dan Langkawi. Daripada maklum balas, mereka menjadikan bumbung tempat rehat, kedai, rumah selain adang untuk tanaman cendawan.

“Rumbia lebih istimewa daripada nipah kerana lasak dan tahan lama, jika atap gred satu menggunakan daun banyak, ia dapat bertahan lebih 10 tahun,” jelasnya.


SETIAP atap rumbia diikat kemas untuk memastikan ia tidak tercabut.


Atap rumbia juga menjadi pilihan kerana daun digunakan dapat menahan haba matahari dan dalam rumah lebih nyaman.

Menceritakan cara membuat atap itu, teknik tradisional masih dikekalkan agar dapat bertahan lama dan khazanah orang terdahulu terpelihara baik.

“Saya masih guna batang buluh dan kulit pokok bemban untuk mengikatnya kerana jika tali lain, ia mudah reput dan putus.

“Setiap atap panjang 1.2 meter dan daun perlu dilipat agar sama panjang untuk mencantikkan atap,” ujarnya.

Setiap hari sebanyak 25 keping atap rumbia dapat disiapkan seorang kerana kerja membuatnya perlu pemerhatian rapi.

“Jika atap dibuat tanpa kemasan betul, ia akan rosak tercabut ditiup angin, jadi saya memastikan setiap atap rumbia yang dihasilkan mempunyai kualiti baik.

“Atap yang siap, diikat sebanyak 25 keping. Bagi setiap ikatan, dijual dengan harga RM37.50,” katanya.

Selalunya daun rumbia diperoleh daripada pokok ditanam sendiri dan ada juga yang dikutip dari kawasan sekitar.