2 heroin, tanpa pergaduhan - Maya dan Fazura boleh bekerjasama




BUKAN seperti kelazimannya, filem yang kini dalam proses penggambaran, Pisau Cukur tidak menampilkan aktor lelaki bergelar hero, sebaliknya ditunjangi dua heroin.

Dua aktres jelita, Maya Karin dan Fazura, yang sememangnya sudah tidak asing lagi daripada pandangan khalayak skrin TV dan layar lebar, kini bersatu sebagai wanita pisau cukur.

Biasanya kalau sudah ada dua heroin, pastinya mengundang banyak masalah kepada pihak produksi. Maklumlah, sudah pasti antara mereka mahu menampilkan kehebatan tersendiri, saling bersaing dan sanggup menjatuhkan lawan, gara-gara mahu diri dilihat lebih hebat. Itu risiko biasa dalam pembikinan drama atau filem yang menampilkan lebih daripada seorang pemegang watak besar.


ADA yang tergoda? Fazura menghidupkan watak wanita pengikis wang ringgit lelaki.


Hairannya, ini tidak berlaku kepada Maya dan Fazura. Malah Maya secara peribadi mengakui teruja dapat berlakon bersama Fazura, yang disifatkan seorang pelakon berbakat besar dan mudah bekerjasama dalam setiap waktu serta keadaan.

Mereka berdua memainkan karakter sebagai perempuan pisau cukur yang ada agenda tersendiri dan berkawan baik.

"Ia menjadi pengalaman berharga saya dapat bekerja buat kali pertama dengan Fazura serta pengarah muda dan terkenal seperti Bernard Chauly," kata Maya dalam riak teruja ketika ditemui di penggambaran Pisau Cukur di Ampang, KL, baru-baru ini.

Penuh santun menyusun bait bicara, anak kelahiran Bayreuth, Jerman ini berkata, oleh kerana terdapat dua heroin ditonjol dalam filem ini, justeru tiada sebarang istilah dia dan Fazura saling menyaingi sesama sendiri, jauh sekali menjatuhkan mana-mana pihak.

"Memang sebelum ini saya pernah terdengar orang cakap bahawa kalau ada dua pelakon memegang peranan utama, keadaan akan jadi kelam-kabut.

"Barangkali bakal terjadi juga pertengkaran ataupun bercakar sesama pelakon ini semasa penggambaran. Selepas bertemu Fazura, saya lihat tiada sebarang masalah walaupun kami sama-sama heroin.


BERNARD CHAULY


"Kami dapat wujudkan keserasian dalam waktu singkat lebih-lebih lagi karakter kami adalah sebagai rakan karib.

"Saya cukup seronok berpasangan dengan Fazura di dalam Pisau Cukur. Malah saya selalu ada perasaan teruja setiap kali mahu memulakan sesuatu babak baru bersama Fazura," akui Maya pantas bibirnya menguntum senyuman manis.

Nampaknya Maya selesa bergandingan dengan Fazura kerana kerjasama ini mampu mengubah persepsinya terhadap perkara berkenaan. Khabarnya dalam sebuah filem sebelum ini Maya dikatakan terpaksa berhadapan dengan banyak kerenah seorang artis popular, gara-gara mereka tampil dengan karektor sama hebat dalam sebuah karya tempatan.

Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik 2004 ini juga mengakui, filem jalur komedi seperti Pisau Cukur bukannya mudah untuk direalisasikan.

"Pada awalnya saya anggap berlakon karya humor perkara mudah, namun perasaan itu mulai bertukar apabila saya lihat bermacam aspek perlu ditekankan.


KELETAH karyawan Pisau Cukur mengundang rasa uja penonton untuk menantikan filem ini di pawagam.


"Susah dan mencabar juga bawakan watak komedi ni rupanya. Atas pertolongan pengarah dan Fazura, saya terus selesa dan berupaya melahirkan ekspresi sebagai Bella.

"Paling mengujakan apabila terlibat dalam Pisau Cukur, saya dapat lakukan aksi lucu ikut kehendak watak yang disediakan.

"Saya dapat saksikan karakter Bella berubah, daripada jadi baik bertukar jahat. Itulah paling istimewa," ungkap pemilik nama penuh Maya Karin Roelcke ini.


Seronok diganding dengan Maya

Berbicara panjang lebar terhadap Pisau Cukur yang mempertaruhkan dua heroin, Fazura menjelaskan bahawa pada awalnya dia punya rasa skeptikal.

"Saya cukup bimbang pada awalnya. Takut jugalah Maya jenis individu yang miliki cara lain, manakala saya pula dengan gaya tersendiri sekali gus susah nak melengkapi antara satu sama lain.

"Akhirnya saya kena akui bekerjasama dengan Maya sesuatu yang cukup menyeronokkan. Dia bukannya seorang pelakon yang berlagak atau suka meninggi diri dengan kemasyhuran diri.

"Dia tak pernah nak bezakan antara dirinya dengan saya yang sekadar ada sedikit pengalaman ini," kata Fazura, juga dengan nada merendah diri. Malah menurut Fazura, pada hari pertama bekerja, dia sudah mula rasa keserasian.

"Langsung tidak wujud persaingan atau mahu menonjolkan diri masing-masing untuk menang antara kami," akui Fazura yang teruja dapat menjalani kolaborasi dengan wanita sehebat Maya Karin.


GAYA wanita pisau cukur versi Maya Karin.


Fazura menyambung bicara, kali pertama berlakon dengan Maya benar-benar mendapat pengalaman berharga, lalu sukar untuk dilontarkan daripada ingatan.

"Pertama kali dapat skrip Pisau Cukur, saya begitu terkejut kerana digandingkan dengan Maya. Saya memang nak sangat berlakon dengan dia.

"Alhamdulillah, lepas bertentang mata dengan Maya di lokasi penggambaran, kami saling berbincang tentang adegan yang memerlukan kami berlakon sama.

"Dengan pemikiran dan pandangan kami yang sama, maka memudahkan saya dan Maya menjiwai babak kami berdua ikut apa yang pengarah hendak," jelasnya enggan berselindung.

Bercerita panjang lebar tentang watak dalam Pisau Cukur itu, Fazura membawakan karakter Intan, seorang pengacara yang punya impian sendiri, lalu mengejar golongan berada bagi mendapatkan kemewahan dalam masa singkat.

"Watak Intan cukup berbeza daripada karakter saya dalam filem Gol & Gincu. Intan boleh dianggap wanita yang sanggup melakukan apa saja untuk mencapai cita-cita dia.

"Walaupun Pisau Cukur tampil dalam bentuk komedi, namun saya yakin penceritaan dan humor yang diketengah di dalam filem ini tak klise, malah berbeza dengan karya komedi lain.

"Pengalaman bekerja dengan Bernard memang tidak mampu diucap dengan kata-kata. Dia cukup faham watak saya, sekali gus memudahkan saya bawa diri Intan.

"Saya akui Bernard adalah pengarah yang bercita-cita tinggi. Walaupun ini merupakan kali ketiga saya bekerja dengannya, tapi saya memang tak sabar untuk melihat impak Pisau Cukur kelak," ungkap Fazura yang menyukai skrip tulisan Rafidah Abdullah ini.


LOKASI penggambaran ceria dan bertenaga dengan kombinasi pengarah muda dan pelakon- pelakon hebat.


Pisau Cukur merupakan filem kedua arahan Bernard Chauly yang sebelum ini pernah mengarahkan filem Gol & Gincu dan juga diterbitkan Red Films.

Dalam pada itu, Bernard menjelaskan, filem ini sepatutnya memulakan penggambaran bermula pertengahan Julai lalu. Begitupun, dia berasakan adalah lebih baik ia ditunda hingga kedua-dua bintang utama filem ini menyudah terlebih dahulu dulu komitmen masing-masing.

Begitulah hebatnya penangan dua aktres wanita ini. Masakan tidak, pihak produksi sanggup menanti walaupun mengambil sedikit masa, asalkan Maya dan Fazura dapat berpasangan, lantas menjayakan perjalanan filem ini bersama.

Seandainya Maya sibuk dengan persiapan perkahwinan pertengahan Ogos lalu, Fazura pula masih terikat dengan penggambaran siri Ezora, siaran TV3 sebelum ini.

"Lalu, kami di Red Films mengambil keputusan penggambaran Pisau Cukur ditunda hingga selepas hari raya.

"Saya harapkan semua artis yang terbabit dalam filem itu dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada projek berkenaan.

"Penundaan itu juga memberi kami lebih masa memperkemas lagi apa-apa yang patut sebelum penggambaran sebenar bermula.

"Kini, semuanya berjalan seperti dirancang, malah kombinasi Maya dan Fazura benar-benar terserlah,"kata Bernard.

Antara pelakon lain yang turut membintangi Pisau Cukur ialah Aaron Aziz, Umie Aida, Datuk Rahim Razali, Liyana Jasmay, Sharifah Sofea, Khatijah Tan dan Nas-T.

Pada masa sama, beberapa muka baru turut diperkenalkan bagi memeriahkan skrin. Tidak dilupakan kemunculan istimewa Nabil Raja Lawak, Afdlin Shauki, Nabila Huda, Yasmin Yusuff dan Rafidah Abdullah.

Filem yang dibikin dengan kerjasama Grand Brilliance Sdn. Bhd. itu ditulis Rafidah Abdullah, wanita yang bertanggungjawab menghasilkan lakon layar untuk filem Gol & Gincu.

Pisau Cukur mengisahkan dua sahabat baik, Bella lakonan Maya dan Intan (Fazura) yang bercuti atas sebuah kapal peranginan, Puteri Duyung. Seorang daripada mereka sebenarnya mencari cinta, manakala seorang lagi melakukan penyiasatan.

Beritahu Bernard lagi, filem ini mengutamakan lakonan dan perkembangan watak. Walaupun mengambil Pisau Cukur sebagai judul, tetapi pada pengakhirannya, audiens akan membawa pulang pengajaran bermanfaat.

"Ia adalah kisah yang menyalur semangat untuk kita semua," cerita Bernard yang enggan mendedahkan lebih lanjut berhubung jalan cerita filem itu.

Sampuk Bernard, Pisau Cukur bakal muncul kepada peminat sebagai sebuah filem segar, bukan sahaja kerana gabungan pertama Maya dan Fazura, malah ia juga mengutara subjek wanita yang suka mengikis duit lelaki dan lokasinya pula di sebuah kapal peranginan.

Masih mengekalkan elemen urban dalam jalan penceritaan, Bernard cukup berkeyakinan bahawa filem yang bakal menjengah pawagam tahun depan ini, mampu menembusi pasaran lebih meluas.

Jelasnya, tiada sebarang garis kasar yang dapat memisahkan filem urban serta bukan urban pada pandangan peminat filem masa kini.

"Maknanya, setiap karya yang bermutu, pasti ia berupaya menghiburkan semua golongan khalayak, tanpa perlu dilihat pada fizikalnya," akhiri Bernard menjunjung maksud cukup bermakna.