Tiada 'baru'


MEMBUKTIKAN kredibiliti selepas menang besar pada Festival Filem Malaysia Ke-21, dua tenaga penting Kala Malam Bulan Mengambang, Mamat dan Rosyam menang besar lagi pada Anugerah Skrin 2008.


SUDAH namanya Anugerah Skrin (ASK) terbitan TV3, memonopoli atau didominasi TV3 adalah perkara yang sudah terlalu klise untuk diperdebatkan.

Penganjuran demi penganjuran dan walaupun sudah ada penglibatan stesen TV lain selain daripada kumpulan Media Prima sejak 2006, namun pencalonan daripada stesen TV seperti Astro dan RTM hanyalah sekadar mencukupi syarat, terutamanya dalam kategori TV.

Menyentuh tentang ASK 2008, tentunya berbeza dengan Anugerah Bintang Popular atau Festival Filem Malaysia (FFM). Kata pepatah, lain padang lainlah si belalangnya maka lain juri lainlah pula penangan si penjulang trofi dalam anugerah ini.

Jika ada persamaan atau perbezaan, itu lumrah. Asalkan tidak terlalu jauh menyimpang daripada landasan yang sudah sedia maklum, setiap keputusan boleh diterima tanpa kemusykilan.


MAJLIS bertemakan Berlian diserlahkan gandingan pertama kali Adlin dan Nurul yang tidak mengecewakan.


Malam ASK 2008 yang menoktahkan misi pengiktirafan karya TV dan filem terbaik untuk tahun ini, malam Sabtu lalu juga mencatatkan sisi lain walaupun pengaruh Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) menebal impaknya dalam senarai keputusan kategori filem.

Sementelah, walaupun fokus ASK adalah drama TV, karya filem masih dilihat sebagai warna penting anugerah yang berlangsung penuh suntikan glamor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Karya dan gubahan hitam putih daripada Mamat Khalid, Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) tetap dijulang sebagai Filem Terbaik di samping dua anugerah utama lain, Pengarah Filem Terbaik di tangan Mamat sendiri dan Pelakon Lelaki Terbaik (Filem) masih menjadi milik aktor versatil, Rosyam Noor.




"Masa menang kali pertama di FFM, ada yang pertikaikan filem saya. Ini masuk kali kedua menang, kalau ada yang pertikaikan lagi, saya tak tahu nak cakap apa," jelas Mamat yang faham sangat kenapa ada pihak meragui karyanya itu.

Bagi Mamat, KMBM adalah satu penghargaan buat perfileman Melayu, dan jika karya itu pula dihargai dalam industri perfileman di Malaysia, ia semestinya satu bonus, tanda filemnya tidak sia-sia.

Melihat carta pembahagian trofi anugerah filem, ada trofi pelakon yang bertukar tangan. Zaefrul Nordin yang menjayakan watak Datuk Onn menerusi '1957' Hati Malaya diiktiraf sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Filem). Keputusan harus disokong kerana sejak awal filem berkenaan ditayangkan lagi, lakonan Zaefrul mendapat pujian ramai.

Apa yang membuatkan segelintir pemerhati dan media berkerut kening hanyalah ketika kategori Pelakon Wanita Terbaik (Filem) diumumkan jatuh ke tangan pendatang baru, Baizura Kahar menerusi lakonan 'mantap'nya sebagai gadis yang kehilangan kekasih menerusi filem Sepi.

Mungkin inilah satu-satunya pemenang yang tidak pernah dibayangkan oleh sesiapa, kecuali para juri yang mengadili ASK dalam kategori filem kali ini. Malangnya, juri yang mengadili ASK 2008 adalah dirahsiakan untuk pengetahuan umum, jadi terimalah keputusan ini seadanya!


SANTAPAN mata dan telinga. Noryn Aziz (kiri) dan Siti Nurhaliza menghiburkan hadirin menerusi persembahan mereka.


Pada ASK 2008, KMBM terbitan Tayangan Unggul yang diangkat sebagai Filem Terbaik, manakala filem Sepi terbitan Grand Briliance tampil bertaring dengan tiga anugerah utama termasuklah Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Ada yang beranggapan ini sesuatu tidak mustahil kerana pelaburan Sepi ada kaitan dengan pelaburan di TV3. Ini juga satu lagi senario menarik yang telah disaksikan kala tirai ASK 2008 dilabuhkan, hujung minggu lalu.

Filem tanpa TV sama seperti pawagam tanpa rumah begitu juga sebaliknya, dan untuk ASK kali ini, lenggok emosi dan kisah wanita kampung dalam Suara Saleha telah menarik perhatian juri.

Walaupun skrip tulisan pelakon serta aktivis teater terkenal, Fauziah Nawi ini mengisahkan wanita kampung, hasil kreativiti Murali Abdullah, Suara Saleha muncul Drama Terbaik mengenepikan Tuhan Pun Tahu, Ihsan, Kehangatan Lantana, Relung Kasih dan Wasiat Fitrah.

"Mulanya saya fikir Ihsan akan menang, tapi dalam hati saya sudah tentulah ada menyimpan hasrat untuk menang juga. Kekuatan drama ini tentunya kerana ditunjangi pelakon yang hebat, Fauziah Nawi, Raja Azura, Zamarul Hisham dan Fauziah Nawi sendiri memang mahukan sesuatu yang lebih untuk drama ini.

"Masa buat skrip lagi, dia datang dan kata, 'aku buat kemunculan semula dalam drama dan kali ni aku nak menang'.

Lagipun, dialog-dialog dalam skrip Fauziah Nawi sangat bagus sampai saya susah nak sunting," jelas Murali yang sebelum ini pernah bergelar pengarah terbaik menerusi drama berjudul Najwa pada 2001.

Tema berlian sekadar kristal

Dari awal, penganjurannya sudah digambarkan penuh kemeriahan apatah lagi tema Berlian yang digunapakai sebagai tema pantas meletakkan ASK 2008 sebagai malam seribu bintang, penuh cahaya daripada kemilau bintang-bintang milik anak seni tempatan.

Menyaksikan keseluruhan malam anugerah ini dari Dewan Merdeka PWTC, tidaklah anugerah ini sehebat 'berlian' sepertimana yang digambarkan. Tetapi jika dikira daripada kilauan berlian atau permata yang disalutkan ke badan-badan artis dan selebriti yang hadir, mungkin itu yang menepati maksud berlian!

Paling menyerlah adalah gandingan hos yang julung kali diketengahkan, Nurul Syuhada Nurul Ain dan Adlin Amin Ramlie, mereka memercikkan nafas baru terhadap malam anugerah ini.

Bagaimanapun, Nurul nampaknya lebih serasi di Majalah Tiga berbanding di pentas acara glamor. Di sisi Adlin, Nurul kelihatan belum cukup petah mencapai taraf menjadi pengulas acara hiburan kerana elemen hiburan tiada dalam jiwanya. Buat Adlin, tahniah! Anda berjaya tetapi jangan terlalu obses dengan kekasih sendiri, bimbang jenaka itu disalah-anggap.

Selebihnya, tidak banyak tarikan lain selain menjamu mata dengan gaun meleret para jelitawan tanah air yang hadir memeriahkan acara tahunan ini. Persembahan para artis jemputan seperti Datuk Siti Nurhaliza, Noryn Aziz, Faizal Tahir, Lah VE, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Ady Putra, Farahdhiya, Emelda Rosnaida dan Erry Putra yang tersaji juga sekadar santapan mata dan telinga, tiada yang melekat dan tidak terkesan rasanya sampai ke dasar jiwa.