Kima gergasi kembali ke Filipina


SEORANG penyelidik marin memungut sperma kima di dasar laut Bolinao, Teluk Lingayen baru-baru ini.


AHLI biologi marin, Suzanne Licuanan membongkokkan badannya untuk mengangkat sebuah beg yang sarat dengan kandungan berharga miliknya iaitu sperma kima gergasi.

Sambil memegang beg berisi lapan liter cecair kelabu itu, dia berkata: "Ia kelihatan seperti santan kelapa."

Sperma milik spesies kerangan laut terbesar di dunia atau nama saintifiknya, Tridacna gigas pada suatu masa dahulu banyak terdapat di sekitar perairan Filipina.

Menurut ahli biologi wanita tersebut, kima gergasi boleh membesar sehingga 1.4 meter panjang dan mencapai berat 230 kilogram.

Namun, ia kini sukar ditemui di negara Asia Tenggara berikutan penangkapan secara berleluasa oleh nelayan asing dan tempatan.

Kima gergasi amat digemari ramai kerana dagingnya yang lazat dan cengkerangnya pula banyak digunakan dalam pembuatan barangan kraf tangan.

Bimbang kima gergasi akan pupus sama sekali di Filipina, seorang ahli biologi marin berkaitan pemuliharaan spesies, Edgardo Gomez memutuskan untuk melakukan sesuatu bagi menangani keadaan tersebut.

Ketika menjadi ketua Institut Sains Marin Universiti Filipina pada 1985, dia menubuhkan program untuk membiak dan menempatkan anak kima gergasi di teluk-teluk dan perairan Filipina yang memiliki 7,000 buah pulau.

"Saya amat terkejut apabila mengetahui kima gergasi hampir pupus, haiwan itu amat penting kepada habitat terumbu karang dan kami kesuntukan masa untuk membiaknya," kata Gomez.




Licuanan menyertai program itu ketika ia mula ditubuhkan sewaktu dia bergelar seorang ahli biologi marin muda dan pada masa sama, sedang menyiapkan ijazah doktor falsafah (PhD) berkaitan kima gergasi di Universiti James Cook, Autralia.

Pada hujung minggu, wanita itu akan mengumpul sperma dan telur kima gergasi yang berada di dasar laut di sebuah pulau kecil di Teluk Lingayen, barat laut Manila.

Jelas Licuanan, daripada 10 spesies kima gergasi di seluruh dunia, tujuh hidup di Filipina dan spesies yang paling besar adalah paling berisiko mengalami kepupusan.

Kima gergasi katanya, mengeluarkan telur dan juga sperma ketika haiwan itu berada pada tahap usia yang berbeza.

"Haiwan itu ialah jantan ketika di peringkat anak, apabila berusia sekitar lapan tahun ia akan mengeluarkan kedua-dua telur dan sperma sebelum bertukar menjadi betina," ujarnya.

Selepas kembali ke makmal dengan sampel yang dikutip, Licunanan menganggarkan kumpulannya berjaya membawa pulang 16 juta telur kima gergasi yang sudah disenyawakan.

"Jika satu peratus berjaya menetas kami sudah dianggap mencapai kejayaan memberangsangkan," kata wanita itu.

"Kali terakhir kima gergasi kami mengeluarkan sperma ialah pada Mei lepas dan kami berjaya mengutip 12 juta telur yang disenyawakan. Daripada jumlah tersebut, kami menetaskan 200,000 anak kima berukuran satu sentimeter panjang di tangki-tangki bilik penetasan," tambahnya.

Menurutnya, adalah sukar untuk menentukan jumlah anak kima itu yang akan membesar sehingga ke peringkat dewasa apabila ia dipindahkan ke habitatnya di dasar laut.

"Ia bergantung kepada alam semulajadi," jelas Licuanan




Bagaimanapun, jelasnya, sudah banyak terumbu karang di serata Filipina yang diisi dengan kima gergasi hasil daripada program pemuliharaan tersebut.

"Menyelamatkan kima gergasi memerlukan jangka masa panjang dan bukan sahaja melibatkan proses pembiakan dan pelepasan tetapi turut diisi dengan usaha mendidik nelayan tempatan bahawa haiwan itu berbaloi untuk diselamatkan," jelas ahli biologi itu.

"Kima gergasi membentuk sebahagian daripada ekosistem terumbu karang. Pada masa sama haiwan itu boleh diternak sekali gus menjadi sumber pendapatan lumayan," tambahnya. - AFP