Sazali tidak akan mengalah





BELUM terlintas untuk meninggalkan karier sebagai atlet bina badan.
Demikian tegas jaguh bina badan negara, Sazali Samad selepas kegagalannya merangkul gelaran Mr. Universe pada Kejohanan Bina Badan Amatur Dunia Ke-62 di Bahrain baru-baru ini.

Pada kejohanan itu, anggota polis kelahiran Batu Pahat, Johor itu tewas kepada pendatang baru dari Mesir, Mohamed Osman dan dia sekadar menduduki tempat keempat.

Begitupun, atlet yang menerima Anugerah Melayu Cemerlang sempena ulang tahun UMNO Ke-61 tahun lalu itu tidak pernah berputus asa malah semakin bersemangat untuk meneruskan usahanya.

“Pada kejohanan tersebut saya telah melakukan yang terbaik. “Saya juga telah menjalani latihan bagi meghadapi kejohanan di Bahrain itu selama empat bulan.

“Tapi mungkin bukan rezeki saya waktu itu lagi pun saingan pada kejohanan itu cukup sengit.

“Sememangnya ramai yang kecewa dengan kekalahan saya.

“Saya juga memang merasainya tapi ia tidak akan melenturkan semangat dan akan terus berusaha untuk mengembalikan kecemerlangan.

“Saya tidak akan berhenti hanya disebabkan satu kegagalan malah saya akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasi,” kata Sazali.

Atas kegagalan itu, Sazali tetap berpegang dengan nasihat bekas jaguh bina badan negara, Malek Noor agar berehat daripada menyertai mana-mana kejohanan buat seketika jika ingin terus cemerlang dalam sukan tersebut.

Malek menasihatkan Sazali supaya berehat sekurang-kurangnya setahun sebagai proses pemulihan untuk membina kembali kekuatan otot-otot badannya.

Menurut Sazali, 41, yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok enam peserta ke pusingan akhir pada kejohanan di Bahrain itu, jika seseorang itu bergelar atlet berjaya dia akan menghadapi kegagalan sekurang-kurangnya sekali dalam kariernya.

“Saya sentiasa bersikap positif. Malek adalah idola saya pada satu ketika dulu. Saya amat menghormatinya. “Saya terima nasihat itu tapi saya tidak mahu mengambil kegagalan tersebut sebagai titik noktah dalam karier saya.

“Bagi saya, jika seseorang itu bergelar atlet berjaya, dia akan menghadapi kegagalan sekurang-kurangnya sekali dalam kariernya.

“Tapi kegagalan tersebut bukan bermakna dia tidak berminat lagi pada keriernya tapi mungkin kerana persaingan sengit yang sentiasa wujud dari semasa ke semasa.

“Jadi, penerimaan masyarakat tentang kegagalan mereka mungkin perlu diteliti,” ujar Olahragawan Kebangsaan 2006 itu.

Mungkin apa yang diperkatakan oleh Sazali itu benar kerana sejak menceburkan diri dalam sukan tersebut dia telah berjaya merangkul pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Ia terbukti apabila Sazali merangkul gelaran Mr. Universe buat kali keempat pada Kejohanan Bina Badan Amatur Dunia Ke-61 di Jaeju, Korea Selatan tahun lalu.

Kejayaan anggota polis berpangkat sarjan itu hadir dalam kategori lightweight (70 kilogram) selepas bergelar juara dunia bagi kategori bantamweight (65kg) di Melaka pada 2000, Moscow (2004) dan Ostrava, Republik Czech pada tahun 2006.

Kejayaan tersebut merupakan yang kedua diraih oleh Sazali pada peringkat antarabangsa sejak beralih kategori pertandingan.

Selain itu, Sazali turut mengharumkan nama Malaysia apabila muncul juara pada Temasya Sukan Polis dan Bomba Dunia di Australia tahun lepas.


SAZALI menerima anugerah Olahragawan Negara 2006 daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada majlis Anugerah Sukan Negara tahun lalu.


Sazali berkata, buat masa ini dia hanya menjalani latihan seperti biasa meskipun tiada kejohanan yang bakal dihadapi sehingga penghujung musim ini.

“Saya berlatih seperti biasa. Ia telah menjadi rutin harian saya. Jika saya tidak melakukannya, saya rasa seperti ada yang tak kena.

“Ketika ini saya berlatih sendiri tanpa jurulatih khas tapi pengalaman bersama bekas jurulatih, Milos Sarcev sentiasa saya pegang,” jelas Sazali.

Sazali menambah, dari segi pemakanan harian dia telah mendapat bimbingan pegawai Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Zawawi Zakaria yang sentiasa membuat susulan terhadap perkembangannya.

“Dari segi pemakanan saya mendapat bantuan daripada pegawai ISN (Ahmad Zawawi). Dia sememangnya mengambil berat tentang pemakanan saya. Dia akan membuat susulan dengan saya setiap hari untuk mengetahui perkembangannya,” kata Sazali.

Sazali berkata, tugas sebagai atlet bina badan sememangnya memerlukan pengorbanan yang besar dan dia amat bernasib baik kerana sentiasa mendapat sokongan.

“Untuk menjadi seorang atlet bina badan bukan senang. Perlu banyak pengorbanan. Tapi saya tidak pernah kesal kerana saya memang minat.

“Saya juga amat berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Belia dan Sukan serta MSN yang sentiasa memberi bantuan kepada saya tidak kira dari segi kewangan mahupun sokongan,” jelasnya.


SAAT indah ketika Sazali kembali ke tanah air selepas muncul Mr. Universe 2007 di Korea Selatan tahun lalu.


Ditanya mengenai potensi atlet pelapis bina badan ketika ini, Sazali berkata: ”Atlet pelapis memang ramai terutama di Sabah dan Sarawak. Saya rasa mereka amat berpotensi cuma mereka perlu pendedahan dan sokongan daripada pihak-pihak berkenaan.

“Bukan mudah untuk menjadi atlet bina badan.

Jadi, saya nasihatkan agar atlet pelapis terus memberi fokus terhadap karier dan paling penting berdisiplin.”