Harga sayur naik


HARGA cili merah dijual pada harga RM16 sekilogrami
di Pasar Pudu semalam.


KUALA LUMPUR - Masalah bekalan yang semakin berkurangan ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini merupakan antara penyebab berlakunya peningkatan terhadap harga sayur-sayuran secara mendadak di pasaran ketika ini.

Tinjauan di beberapa pasar sekitar ibu negara mendapati, harga beberapa jenis sayur-sayuran meningkat hampir 100 peratus berbanding pada Oktober lalu.

Perkara itu diakui oleh seorang peniaga di Pasar Pudu, Wong Sew Eai, 49, yang menyatakan dia terpaksa menjual sayur-sayuran dengan harga yang tinggi disebabkan penetapan harga oleh pemborong.

"Sayur yang cepat naik ialah cili merah, cili kecil, salad, kangkung dan bayam," kata- nya yang turut memaklumkan bahawa kenaikan harga telah menjejaskan pendapatan hariannya.

Dengan sebab itu, cili merah terpaksa dijual pada harga RM16 sekilogram berbanding RM8 sebelum ini, salad daripada RM4 kepada RM6 sekilogram, manakala cili kecil dijual pada harga RM10 sekilogram berbanding RM5 pada bulan lalu.




Sementara itu di Kuantan, harga sayur-sayuran naik mendadak di pasaran negeri ini berikutan dakwaan bekalan terhad akibat hujan yang berlarutan di beberapa dae- rah pengeluar sayur terutama di Cameron Highlands, Kuala Lipis dan Temerloh.

Tinjauan di Pasar Besar Kuantan semalam mendapati, harga sawi naik sebanyak RM1.50 kepada RM5.50 sekilogram, manakala tomato RM8 berbanding RM6 sebelum ini.

Harga lada hijau pula naik kepada RM9.50 bagi setiap kilogram berbanding RM8 pada minggu lalu, disusuli lada merah meningkat sebanyak RM2 kepada RM9.

Di Johor Bahru, harga sayur di sekitar daerah ini dijual bercampur-campur dan tinjauan di beberapa pasar mendapati, terdapat sayur yang dijual pada harga yang rendah berbanding minggu lepas, begitu juga sebaliknya.

Di Pasar Awam Larkin, harga bayam hijau dan cili merah dijual lebih murah iaitu sekitar RM2.50 dan RM11 sekilogram berbanding minggu lalu masing-masing RM3.67 dan RM14.

Harga bagi sayur seperti halia tua pula masih dijual sama seperti minggu lalu iaitu RM4 sekilogram, kacang buncis (RM6), kangkung cina (RM2.50), kobis bulat yang diimport (RM3), kobis bunga (RM6), kobis panjang (RM4) dan timun (RM3).

Di Pasar Awam Ulu Tiram pula, antara sayur yang mengalami kenaikan harga sebanyak 50 sen berbanding minggu lalu masing-masing ialah kacang buncis (RM6.50), kobis bunga (RM6.50) dan kobis panjang (RM4.50).

Di Perak pula, tinjauan Kosmo! di Pasar Besar Ipoh di sini mendapati, beberapa sayur seperti cili merah, kangkong, sawi, timun, menyaksikan kenaikan harga.

Cili merah yang biasanya dijual pada harga RM10 sejak Hari raya Aidilfitri kini dinaikkan kepada RM16 sekilo- gram oleh kebanyakan peniaga di pasar tersebut.

Dapatkan berita selanjutnya di Kosmo!.