Ilham datang waktu malas

Bakat sastera yang mengalir dalam darah gadis berusia 12 tahun ini adalah di luar imaginasi orang dewasa. Wartawan YEO LI SHIAN menyingkap rahsia di sebalik keupayaan Alicia Loh.




SEBUAH buku nota dan pensel sentiasa ada bersamanya. Komputer riba di atas meja pula menjadi teman di kala kesepian. Jika tidak sibuk mengulang kaji pelajaran, jiwanya akan melayang mencari ilham. Jika tidakpun, matanya akan 'merayau-rayau' mencari bahan bacaan untuk memperkayakan ilmu perbendaharaan kata.

Obses Alicia Loh, 12, terhadap kepelbagaian bahan bacaan itu sebenarnya untuk menampung kecenderungannya berkarya pada bila-bila masa.

"Saya suka menulis khasnya dalam talian. Sebab menerusinya, ramai boleh baca dan bagi komen," katanya yang bercita-cita menjadi editor.

Bakat sastera anak pasangan suami isteri, Joseph Loh dan Lim Siew Siew ini mula dikesan setelah mengikuti kelas bahasa Inggeris di British Council, Kuala Lumpur sejak berusia tujuh tahun.

Tetapi, titik tolak 'kerjaya informal' gadis berkulit cerah ini bermula apabila menyertai sebuah bengkel penulisan puisi anjuran pusat pendidikan tersebut pada tahun ini. Alicia merupakan peserta termuda di dalam bengkel yang disertai pelajar remaja.

Kreativiti dan bakat Alicia 'bermain dengan kata-kata' turut mengagumkan seorang penyajak dari Britain, Kim Trusty yang berada di ibu negara baru-baru ini.

"Kemahiran dan sensitiviti dalam karya Alicia menjangkaui imaginasi kanak-kanak yang sebaya dengannya. Alicia juga tidak menghadapi masalah menerima komen dan kritikan tentang karyanya," kata Trusty yang berada di ibu negara untuk sebuah bengkel penulisan kreatif.


ALICIA menghabiskan kira-kira tiga jam sehari melayari Internet.


Salah seorang guru Alicia di British Council, Rosalind Southward pula berkata, karya Alicia sentiasa memberi kejutan kepada pembacanya. Ini kerana pengetahuan dan keupayaannya dalam mempelbagaikan penggunaan perbendaharaan kata sungguh menakjubkan.

"Susah nak komen tentang kelemahannya. Bagi kanak-kanak seusia dia, perbendaharaan kata yang digunakan dalam puisi-puisinya adalah sesuatu di luar imaginasi orang dewasa.

"Dia suka mencabar diri. Tidak takut menggunakan perkataan-perkataan baru. Cuma, kadang-kala perkataan yang digunakan mungkin kurang tepat pada maksudnya," katanya kepada Kosmo! dalam satu pertemuan eksklusif di British Council baru-baru ini.

Pada ketika ini, Pengurus Kanan Akhbar & Perhubungan Awam British Council, Benieke Schott yang turut bersama sewaktu temuramah ini berlangsung secara spontan mencabar keupayaan bahasa Alicia.

Kata Benieke: "Apa kata Alicia berikan seberapa banyak kepelbagaian contoh ayat yang membawa maksud 'Tidak (No)'?"

Tanpa memerlukan sesaat pun untuk berfikir, Alicia lantas menjawab dengan penuh yakin. Jawapan-jawapan yang keluar dari mulutnya hampir membuatkan mereka yang hadir pada sesi temuramah itu terpaku seketika. Ternyata Alicia memang memiliki bakat semula jadi yang unik dalam dunia bahasa.

Namun, adalah tidak adil untuk kami mengadili gaya penulisan Alicia pada peringkat ini. Sebab kata Southward, "Alicia masih dalam proses mengasah stail penulisannya".


AYAH Alicia, Joseph berjaya mewariskan bakat bermain catur kepada anaknya.


Pernah mengajar Alicia selama beberapa semester sebelum ini, Southward yakin dengan potensi besar anak gadis ini dalam bidang sastera.

"Sejak awal saya mengajarnya, saya sedar pengetahuan Alicia tentang perbendaharaan kata begitu luas. Dia sememangnya berbakat dan sentiasa menunjukkan karya-karyanya kepada saya.

"Dan jika anda teliti kerjanya (puisi), Alicia memiliki satu nada ekspresi yang agak sofistikated. Itu yang unik mengenai karya-karyanya," tambahnya yang sentiasa memberi sokongan kepada anak muridnya itu.

Setakat ini, Alicia telah menghasilkan dua buah novel berunsur fiksyen dan sekurang-kurangnya 10 puisi pelbagai genre.

Dengan bakat sastera yang mengalir dalam darahnya itu, bohong jika dikatakan tidak terlintas di fikirannya untuk melihat hasil karyanya diterbitkan secara rasmi.

Akan tetapi, sayang sekali. Rata-rata penerbit yang ditemui kedua-dua orang tuanya menolak karya Alicia dengan baik. Bukan sebab tak bagus atau tidak menyakinkan.

"Tetapi, alasan mereka ialah 'sukar nak percaya ini hasil karya seorang budak 12 tahun'," kata ibunya, Siew Siew dalam nada kecewa.

Sepanjang sesi temuramah berlangsung, Alicia lebih senang membiarkan ibu bapa serta gurunya bercakap untuk pihaknya.

Namun, dalam kekecewaan ibunya itu, benarlah ada hikmah di sebaliknya. Tuhan sememangnya tidak menghampakan umatnya yang berusaha apabila sebuah syarikat penerbit terkemuka, Scholastic dikatakan berminat dengan karya Alicia. Tetapi, semuanya masih belum disahkan lagi.

Di British Council, Alicia tergolong dalam kelompok pelajar pintar. Justeru, tidak hairanlah apabila dia telah beberapa kali disarankan melompat kelas.


ROSALIND SOUTHWARD


Melihat pencapaian Alicia dalam bidang bahasa, tertanya-tanya juga dari mana datangnya ilham untuk karya-karyanya itu? Jangan terkejut kerana kata Alicia, banyak inspirasinya diperoleh ketika dia berasa mengantuk dan malas!

Ditanya pula antara penulisan novel dan puisi, mana yang lebih digemarinya dan kenapa?

Jawabnya: "Saya lebih suka puisi. Sebab ia lebih mencabar dan bebas."

Obses dengan David Archuleta

SEPERTI kebanyakan gadis sebaya usianya, Alicia juga mempunyai penyanyi kesukaannya sendiri. Dalam kegilaannya terhadap David Archuleta, Alicia tidak lupa berkarya.

Sebaliknya, daripada sekadar mengagung-agungkan juara program realiti, American Idol, Archuleta, dia menjadikan jejaka itu sebagai sumber inspirasi karya-karyanya. Malah, obsesinya terhadap suara, bakat dan wajah Archuleta juga pernah mendorong Alicia menukilkan sebuah puisi yang kemudiannya dihantar ke syarikat rakaman penyanyi tersebut melalui e-mel!

Namun, dalam nada kecewa, dia memberitahu Kosmo!: “Malangnya, tiada sebarang balasan.”

Sungguhpun begitu, cubaan tersebut bukan yang pertama Alicia terjemahkan kesetiaannya sebagai penyokong nombor satu penyanyi tersebut. Sudah beberapa kali dia memasukkan hasil-hasil karya cerpen mahupun puisinya untuk dikongsi bersama peminat lain dalam laman peminat Archuleta.

Tindakan ini secara tidak langsung dan tanpa sengaja berjaya mewujudkan satu empayar pengikut hasil karya Alicia sendiri. Malah, tidak berapa lama dulu, dalam sebuah pertandingan menulis karangan mengenai idola masing-masing, Alicia telah memenangi sedikit ‘pulangan kecil’ atas usahanya itu.

Mungkin kerana nalurinya yang suka berkongsi cerita dan pandai meluahkan dalam bentuk sastera, Alicia juga tidak mengambil masa lama untuk bergelar ‘sasterawan cilik’ dalam kalangan kenalan taliannya.


DAVID adalah sumber inspirasi Alicia.


Bertandang ke kediaman ibu bapanya di Bukit Jelutong, Shah Alam baru-baru ini, Alicia tidak segan menunjukkan himpunan karya dan kenalan dalam laman peminat Archuleta dan juga blognya sendiri.

“Dia memang ‘jurujual’ semula jadi,” ujar ayahnya, Joseph Loh berseloroh tentang minat anak tunggalnya itu. Namun, ada benarnya kata-kata Joseph itu memandangkan kenalan Alicia sudah menjangkaui segenap usia dan lapisan masyarakat.

Seloroh Joseph lagi: “Tengok tu (sambil merujuk kepada sekeping gambar kenalan Alicia dalam talian), sesetengah rakan Internetnya lebih kacak dan tua daripada saya!”

Tidak terlalu mengekang privasi Alicia melayari Internet, bapa ini tahu anaknya itu cukup matang tentang had bersosial dalam talian. Malah, hampir setiap hari, hanya dua hingga tiga jam diperuntukkan untuknya menggunakan Internet.

Bagi Alicia pula, selain ingin terus memperbaiki penulisan karyanya untuk tatapan semua, dia menyimpan satu impian.

Sambil tersenyum malu-malu kucing, dia memberitahu: “Harap-harap dapat melawat David (Archuleta) satu hari nanti.”