Dugaan SMA Alicia

Semangat Alicia tidak pernah luntur untuk terus memajukan diri walaupun menghidap penyakit kelemahan dan kerosakan otot.




BENAR kata orang, anak yang lambat tumbesarannya, besar kemungkinan akan menjadi seorang genius. Lihat sahaja contoh-contoh figura terkemuka dunia seperti ahli saintis, Albert Einstein.

Einstein yang dianggap ketinggalan dari segi pertuturan pada awal kehidupan, terpaksa melalui satu siri 'penderaan mental'. Sehinggakan kedua-dua orang tuanya perlu meminta pandangan pakar. Tetapi, masa jelas membuktikan kelemahannya itu berjaya memintas kepintaran orang biasa apabila dewasa.

Senario serupa ini juga pernah dilalui oleh anak berjiwa sastera, Alicia Loh, 12, sewaktu masih di zaman kanak-kanak.

Ibunya, Lim Siew Siew memberitahu, semasa kecil, anak tunggalnya itu gagal menunjukkan sebarang minat menulis. Keadaan itu sekali gus menimbulkan rasa bimbangnya dan suami kerana memikirkan Alicia mungkin tidak secerdik orang lain.

"Pernah saya berikan dia pensel dan kertas. Tetapi dia langsung tidak menulis apa-apa. Cuma, dia lebih cepat bertutur. Tetapi, hari ini apa yang saya tengok (merujuk kepada karya-karya Alicia), rasa terkejut juga," jelasnya yang melepaskan kerjayanya demi masa depan anaknya ini.

Alicia yang mengikuti pendidikan di rumah (homeschooling) dengan ibunya sebagai tenaga pengajar juga pernah dikritik oleh seorang guru akibat lembap dalam mata pelajaran matematik.

Namun, hari ini, apa yang boleh dibanggakan ialah dia bukan sahaja mahir dalam satu-satu bidang. Malah, keupayaan dia yang didiagnosis dengan penyakit Spinal Muscular Atrophy (SMA) II merangkumi pelbagai arena.

Mengaturkan pertemuan kedua dengan keluarganya di Bukit Jelutong, Shah Alam pada suatu petang, membuka mata penulis terhadap semangat Alicia untuk terus memajukan diri.

Pertama, sebagai ulat buku, dia telah membaca dan memiliki hampir ratusan naskhah buku khasnya novel-novel remaja yang kini menjadi koleksinya. Siapa kata kanak-kanak tidak berminat dengan bahan berunsur biografi? Alicia sebaliknya telah membaca sejumlah topik. Ini semua gara-gara mewarisi tabiat membaca bapanya, Joseph.

Di dalam bilik tidurnya, sebuah rak buku empat tingkat sudah berkali-kali menukar 'penghuninya'. Disebabkan kerakusan Alicia membaca, maka bahan bacaannya juga perlu dikemaskini sekerap mungkin.

Dengan mendakap sejumlah buku-buku kegemarannya seperti Marley & Me, Alicia memberitahu, dia mampu menghabiskan senaskhah buku setebal seinci atau dua inci dalam masa beberapa jam. Terima kasih kepada teknik bacaan pantas yang dipraktikkannya.

Tidak suka menggunakan kamus, Alicia berkata: "Kalau tak faham (teks), saya akan baca dua tiga kali untuk menangkap maksud sesuatu perkataan ataupun teks."

Ibunya mencelah: Saya bersyukur kerana Alicia tidak memberi banyak masalah besar. Dia amat berdikari dan matang. Banyak perkara yang dia akan cuba sedaya upaya melakukannya."

Dilahirkan normal seperti anak-anak lain, Alicia yang juga ahli Family of SMA yang berpangkalan di Amerika Syarikat hanya didiagnosis SMA pada peringkat tumbesarannya. SMA adalah sejenis penyakit genetik yang boleh menjurus kepada kelemahan dan kerosakan otot secara berperingkat.


ALICIA belajar bermain piano untuk menguatkan jari-jemarinya.


Penyakit ini turut melemahkan tangan kirinya yang pernah disahkan doktor sebagai 'tidak lagi berfungsi'. Meskipun akur dengan takdir Tuhan, Siew Siew tidak berpeluk tubuh mengenangkan nasib anaknya. Dia dan suami kemudiannya mengupah seorang guru piano peribadi untuk Alicia.

"Kami merasakan adalah baik Alicia juga belajar main piano. Main piano boleh latih dan bantu menguatkan otot-otot jarinya dan keupayaan tangan tersebut. Itu paling penting. Bukan untuk menjana pendapatan atau menjadikannya pemuzik," ujarnya menjelaskan rasional keputusan itu.

Walaupun kini, jadual harian Alicia padat dengan aktiviti homeschool, kelas piano, tuisyen bahasa Inggeris di British Council dan pemeriksaan kerap di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL), semangat positif anak ini seharusnya menjadi tauladan. Malah, di HKL, Alicia merupakan pesakit SMA tertua pernah direkodkan sehingga hari ini.

Seperkara lagi, Alicia sememangnya tidak membenarkan dirinya duduk diam. Katanya, hampir setiap masa pasti ada sahaja perkara yang boleh dilakukannya. Bermain Sudoku, mendengar muzik, melayari Internet, melukis, menemani haiwan kesayangan, seekor hermit crab, ataupun mencabar bapanya dalam permainan catur Cina.

Kepantasan Alicia mengatur strategi dalam permainan catur Cina juga berjaya mengalahkan datuknya yang merupakan 'guru' dalam permainan ini.

"Saya ajar dia sekali dua dan dia pantas belajar. Banyak kali juga dia mengalahkan saya," kata bapanya sambil mengalihkan pandangan ke arah anaknya yang sedang memikir langkah catur seterusnya.

Memikirkan perkembangan positif Alicia hari ini, Joseph dan isterinya hanya boleh memberikan sokongan sebanyak mungkin. Tiada alasan untuk menghalang anaknya, jika apa yang dilakukan sudah cukup membanggakan.

Tambahnya: "Alicia, anak yang optimistik. Kami akan sedaya upaya beri yang terbaik untuknya. Apa yang pasti, kami tahu semangatnya telah mendorong dia untuk pergi lebih jauh." - YEO LI SHIAN