Kami ada kemampuan hadapi Liga Super - Hairul Nizam

KAPTEN KL Plus, Mohd. Hairul Nizam Hanif melaungkan keyakinan bahawa mereka mampu memberi cabaran yang sengit dalam kempen Liga Super musim depan.

Meskipun skuad bimbingan Mat Zan Mat Aris ini masih lagi dianggap mentah, Hairul Nizam yakin mereka mampu membentuk sebuah pasukan yang mantap hasil dengan gandingan pemain lama dan baru.

Selain itu, pengalaman bermain dan menamatkan saingan di kedudukan kedua Liga Perdana musim lalu banyak memberi pengajaran kepada mereka untuk bermain lebih baik.

"Ketika ini, persefahaman antara pemain lama dan baru sudah ada dan saya yakin dengan pengalaman yang dimiliki, kami mampu menjadi sebuah pasukan yang digeruni.

"Selain itu, kehadiran beberapa pemain senior dan kebangsaan juga adalah sesuatu yang baik terutamanya dalam membimbing pemain muda skuad ini.

"Kami telah mula menunjukkan keserasian terutamanya selepas muncul naib juara pada Kejohanan Pramusim 2008/2009," kata pemain pertahanan ini semalam.

Menurutnya, KL Plus mula menjalani latihan sejak pertengahan Oktober lalu dan sepanjang tempoh itu, mereka telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan selain menyertai Kejohanan Pramusim 2008/2009.

Selepas ini, KL Plus akan menguji kekuatan mereka pada Kejohanan Empat Penjuru yang dijadualkan berlangsung di Terengganu yang turut disertai Kelantan dan Negeri Sembilan.

Meskipun masih ada masa untuk memperbaiki kelemahan dan mempersiapkan diri menjelang saingan sebenar Liga Super, Hairul Nizam mengakui dia berpuas hati dengan perkembangan yang ditunjukkan oleh pasukan itu setakat ini.

Begitupun, katanya semua posisi masih perlu diperkemaskan khususnya di bahagian serangan.

Kehadiran pemain kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah dan Irwan Fadly Idrus akan mengukuhkan lagi benteng pertahanan KL Plus manakala Mohd. Fadzli Saari mengemudi bahagian tengah.