Santai mendaki gunung Gagau

Laluan ke sana begitu landai. Tiga jam kami berjalan, tidak berasa seperti mendaki kerana kami seolah-olah berjalan di permukaan tanah yang rata.




Mendaki ke gunung Gagau yang terletak di kawasan Tasik Kenyir, Terengganu yang diwartakan dalam kawasan Taman Negara boleh diisytiharkan sebagai mendaki gunung yang termahal di Semenanjung Malaysia dari segi kos.

Namun begitu duit yang dilaburkan amat berbaloi dengan hasil yang diraih.

Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dan seterusnya menaiki bas lompat-lompat ke pekan Kuala Berang serta disambung dengan menaiki van ke Empangan Sultan Mahmud, Jenagor menjadikan ekspedisi ini bertambah menarik. Berikut catatan pendakian kami.

Hari pertama:

Seawal pukul 10.00 pagi, kami seramai 16 orang mula menaiki bot ke sungai Perpek. Perjalanan menaiki bot yang mengambil masa empat jam pada mulanya disangka membosankan, rupa-rupanya amat menyeronokkan. Angin sepoi-sepoi Tasik Kenyir yang menyapa begitu mengasyikkan, tambahan pula mata kami terpaku melihat sajian pemandangan pokok-pokok balak yang mati dan berdiri tegak di dalam tasik membuatkan kami begitu teruja. Kami tiba di Kem Sungai Perpek sekitar pukul 2.00 petang. Bacaan Global Positioning System (GPS) menunjukkan kami berada di ketinggian 212 meter.

Dengan bertemankan tiga jurupandu arah dari Jabatan Perhilitan yang sedia menunggu di kem berkenaan, tepat pukul 3.00 petang, kami memulakan pendakian ke tapak perkhemahan pertama yang dikenali Kem Pak Chau. Penyertaan pegawai dari Jabatan Perhilitan sebagai jurupandu arah menjadi kewajipan bagi pendaki yang ingin mendaki ke gunung Gagau kerana kami memasuki kawasan Taman Negara yang menjadi habitat gajah. Kawasan Tasik Kenyir semestinya terkenal sebagai santuari gajah. Perjalanan ini melalui bukit-bukau sekali gus memaksa kami mendaki dan menuruni berpuluh-puluh bukit kecil.


PARA peserta sedang menghayati keindahan Tasik Kenyir dari atas bot.


Laluan yang agak luas dan bersih membuatkan hati berbunga ceria, ditambah pula dengan pemandangan yang indah sepanjang laluan ke gunung ini. Akhirnya lewat petang, kami sampai di Kem Pak Chau.

Kami terus memasang tarpaulin dan membersihkan tubuh. Kami juga mula menyediakan makan malam. Sumber air dari sungai berdekatan menyajikan ikan-ikan sungai bagi mereka yang rajin memancing. Setelah makan malam, kami mula bersiap untuk tidur tetapi hujan mula turun dan memaksa kami memeriksa tarpaulin bagi memastikan tidur malam kami tidak diganggu kebocoran air. Setelah semua sudut diperiksa, kami mula melelapkan mata berserta doa agar hujan tidak turun lebat.

Jika hujan lebat, sudah tentu kami akan terkena tempias ataupun air hujan menitis dari atas.

Hari kedua:

Awal pagi, kami mula menyediakan sarapan dan bersiap untuk meneruskan pendakian ke destinasi seterusnya iaitu Kem Sungai Chicir. Laluan ke sana begitu landai. Tiga jam kami berjalan tanpa berasa mendaki kerana kami seolah-olah berjalan di tanah yang rata dengan bacaan GPS menunjukkan kenaikan hanya 100 meter sahaja. Sesampainya kami di Kem Sungai Chicir, tarpaulin mula dipasang. Setelah solat dan makan tengahari, kami mula menuju ke destinasi yang dinanti-nanti iaitu puncak gunung Gagau.




Kali ini, beg galas beserta barangan lain ditinggalkan di tapak perkhemahan dan kami hanya membawa sedikit bekalan makanan, minuman serta lampu suluh sahaja ke puncak gunung Gagau. Perjalanan kali ini tetap juga landai, hanya sedikit sahaja laluan yang mencanak.

Tepat pukul 3.00 petang, kami sampai di puncak gunung Gagau yang terletak di sempadan negeri Kelantan dan Pahang. Orkid dari jenis sphatoglottis hybrid yang sedang mekar menyambut ketibaan kami. Kepuasan terpancar pada wajah masing-masing setelah dua hari berhempas pulas menapak ke puncak Gagau.

Di puncak gunung ini, kami boleh nampak puncak gunung-gunung lain seperti gunung Gajah Terom, gunung Padang, gunung Berembun dan gunung Mandi Angin. Jika cuaca baik, pendaki juga boleh melihat puncak gunung Tahan.

Setelah sejam berada di puncak, kami mula turun semula ke Kem Sungai Chichir. Kami menempuh laluan yang sama dan selepas lima minit menapak menuruni puncak, kami menemui satu batu penanda sempadan tiga negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan.

Di Semenanjung Malaysia, sempadan tiga negeri yang terletak di kawasan pergunungan hanya terdapat di gunung Gagau dan gunung Tiga Negeri yang terletak di sempadan negeri Kelantan, Pahang dan Perak.


PENULIS di puncak gunung Gagau, Terengganu.


Lewat petang, kami sudah sampai di Kem Sungai Chichir, seterusnya kami memasak untuk makan malam.

Semestinya, kami gunakan masa lapang sebelum tidur untuk bermain permainan kad dan berkongsi cerita serta pengalaman masing-masing.

Hari ketiga:

Seawal pukul 6.30 pagi, kami bangun menunaikan solat subuh dan mula menyediakan sarapan. Setelah bersarapan, berkemas dan bergambar di Kem Sungai Chicir, hujan renyai-renyai mulai turun. Hujan ini bagaikan satu rahmat kerana menjadikan cuaca tidak panas dan perjalanan kami begitu lancar. Dua jam berjalan tanpa henti, kami sampai di Kem Pak Chau. Tanpa berehat lama, kami meneruskan perjalanan ke Kem Sungai Perpek.

Di sini, laluan mendaki yang licin terpaksa kami lalui ekoran tanah sudah dibasahi hujan. Hanya setelah melepasi bukit pertama, barulah perjalanan kami mula lancar. Seawal pukul 2.00 petang, pendaki pertama mula tiba di Kem Sungai Perpek di mana bot sedia menunggu. Peserta terakhir sampai sejam setengah kemudian.

Setelah semuanya sampai, kami terus menaiki bot menuju ke Gua Bewah dan sesi meneroka gua mengambil masa sekitar dua jam. Di sini, banyak kesan peninggalan sejarah telah digali oleh arkeologi.


BERSEDIA untuk memulakan pendakian dari tapak perkhemahan.


Pada malamnya, kami memutuskan untuk tidur di dalam bot di Pengkalan Kuala Mentong, tempat pejabat Perhilitan ditempatkan. Juadah makan malam iaitu lauk ikan lampan goreng dan gulai tempoyak yang dipancing oleh pemandu bot begitu menyelerakan.

Tidur di dalam bot dan disajikan angin sepoi-sepoi bahasa Tasik Kenyir seolah-olah tidur di dalam bilik berhawa dingin. Kami begitu selesa dengan keadaan cuaca ketika itu.

Hari keempat:

Sekitar pukul 7.00 pagi, bot mula bergerak ke Pengkalan Empangan Sultan Mahmud. Kira-kira tiga jam kemudian, kami sampai di empangan. Dari situ, kami menaiki van untuk ke pekan Kuala Berang, seterusnya menaiki bas ke Kuala Terengganu. Dari Kuala Terengganu, kami menaiki bas ekspres ke Kuala Lumpur pada malam harinya.

Bagi saya, gunung Gagau adalah gunung yang mudah didaki. Ekspedisi 4 hari 3 malam adalah jumlah hari yang dicadangkan untuk mendaki gunung ini. Sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang gunung Gagau boleh menghubungi penulis di talian 019-2319475.