Komik melangkau sempadan

Komik Supa Strikas yang berasal dari Afrika Selatan kini melebarkan sayapnya di Asia Pasifik dengan memilih Malaysia sebagai negara pertama di rantau itu memilikinya.




ADA sesuatu yang berbeza dalam akhbar Kosmo! pada Sabtu lalu. Bagi pembaca setia akhbar ini, tentunya mereka pantas memahami apa yang dimaksudkan. Ya! itulah komik Supa Strikas yang menjadi sisipan percuma Kosmo! yang diterbitkan pada setiap Sabtu minggu pertama mulai 6 Disember lalu sehingga 28 Februari 2009.

Yang pastinya, ia bukanlah komik yang calang-calang!

Bermula di tempat asalnya, Afrika Selatan pada tahun 2001, komik fenomena ini kemudiannya melebarkan sayap ke negara tetangga seperti Kenya, Botswana, Namibia, Uganda dan Cameroon.

Selepas itu, Supa Strikas menjejaki negara-negara di benua Amerika Selatan seperti Colombia, Salvador, Honduras dan Guatemala.

Kemudian, ia meneruskan kemaraan ke negara-negara Eropah seperti Norway dan Sweden sebelum menembusi Pakistan.

Kini, setelah 17 buah negara dijejaki dalam tempoh kira-kira tujuh tahun, buat pertama kalinya, komik berasaskan bola sepak itu menerobosi Asia Pasifik apabila Malaysia menjadi negara pertama pilihannya sekali gus negara ke-18 di dunia mempunyai komik ini. Lebih mengujakan apabila komik tersebut turut diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia.

Modus operandi yang digunakan untuk melebarkan sayap komik di seluruh dunia ialah mengadakan kerjasama dengan akhbar terkemuka di sesebuah negara. Nampaknya Kosmo! berjaya memikat hati mereka.


AH LOONG (dua dari kanan), Uzma, Oliver Power dan Sean Flanagan ketika memperkenalkan komik Supa Strikas eksklusif kepada media di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Peluang bersemuka dengan dua tenaga penggerak Supa Strikas dari syarikat Strika Entertainment (Pty) Ltd. Afrika Selatan di Kuala Lumpur, baru-baru ini tidak disia-siakan oleh penulis untuk mengetahui lebih lanjut tentang komik sensasi ini.

"Komik ini telah berkembang pesat dalam tempoh tujuh tahun. Hanya kurang tiga tahun selepas menempa kejayaan di Afrika Selatan, kami tidak berlengah untuk memperkenalkannya di negara-negara jiran. Ia berlaku atas permintaan khalayak ramai di negara-negara tersebut.

"Komik kami dicetak sebanyak 1.5 juta naskhah setiap bulan," kata Pengarah Strika, Oliver Power yang juga bertindak sebagai salah seorang daripada pengasas komik berkenaan.

Pengaruh komik ini turut diakui apabila FIFA menjadikannya sebagai platform untuk mempromosikan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Komik ini juga telah diterjemahkan ke dalam lima bahasa iaitu Inggeris, Latin, Perancis, Kenya dan Bahasa Malaysia.

Jenama Supa Strikas juga begitu popular di Afrika Selatan sehingga produk lain berkaitannya seperti baju-t, minuman dan snek turut dikeluarkan untuk dijual di pasar raya-pasar raya.

Bermula dengan hanya tiga tenaga kerja, kini komik Supa Strikas yang berpangkalan di Cape Town, Afrika Selatan berkembang. Ia kini mengupah lebih 50 pekerja merangkumi pereka naratif cerita dan ilustrator bekerja. Setakat ini, sebanyak 92 isu telah diterbitkan.

Memang komik ini diberi percuma iaitu diselitkan di dalam akhbar utama di sesebuah negara, tetapi Supa Strikas telah menjalin usahasama dengan rakan perniagaannya, Chevron yang mengoperasikan jenama bahan bakar, Caltex. Justeru itu, pulangannya adalah dalam bentuk pelaburan bersama.

"Idea penerbitan komik ini tercetus apabila melihat kegilaan orang ramai terhadap sukan bola sepak. Di Afrika, bola sepak merupakan sukan paling popular. Dalam masa yang sama, kami juga sedar manusia gemarkan gambar, lebih-lebih lagi yang lucu dan menyeronokkan. Oleh sebab itu, kami mengadunkan dua kegemaran ini dengan menghasilkan komik Supa Strikas.


OLIVER POWER bersama komik Supa Strikas edisi Malaysia.


"Tahun demi tahun, hubungan kami dengan Caltex semakin mekar. Caltex menjadikan komik sebagai wahana untuk mendekati pelanggannya," kata Power sambil menerangkan Supa Strikas adalah nama pasukan yang dicipta.

Menerusi Supa Strikas, pembaca boleh mengikuti perjalanan hidup watak utamanya, Shakes yang bermain bersama pasukan Supa Strikas dalam liga yang bersifat global. Ia menceritakan bagaimana cabaran yang dilaluinya iaitu bermula sebagai seorang pemain bola jalanan yang kemudian bangkit untuk mencapai apa yang diidamkannya.

"Komik ini membawa kita menyelusuri apa yang diidamkan oleh anak-anak muda yang ingin berjaya dalam sukan ini. Komik ini boleh membakar semangat pembaca untuk merasai pengalaman bermain bola sepak di peringkat antarabangsa. Terbang dari satu negara ke satu negara untuk menyertai perlawanan dan bagaimana rasanya apabila memasuki stadium dan mendengar teriakan kira-kira 60,000 penyokong.

"Kita melihat bagaimana Christiano Ronaldo dan David Beckham sekarang. Tetapi melalui komik ini, kita dapat melihat bagaimana watak fiksyen, Shakes ini melalui cabaran dari satu peringkat ke satu peringkat," katanya.


JENAMA Supa Strikas turut diperluaskan kepada pakaian di Afrika Selatan.


Mengulas lingkungan usia pembaca komik ini, ia sebenarnya tiada batasan. Walaupun, komik biasanya lebih disasarkan kepada golongan yang lebih muda, namun sesiapa sahaja mampu jatuh cinta dengannya.

"Di Afrika Selatan, komik ini merupakan sisipan akhbar The Sunday Times yang dibaca oleh pelbagai peringkat usia tanpa mengira kerjaya," kata eksekutif penajaan Strika, Sean Flanagan.

"Orang ramai membeli surat khabar dan mereka mendapat senaskhah komik percuma. Cabaran yang mungkin timbul bagi kami ialah bagaimana menarik minat orang untuk membacanya," tambahnya.

Beliau menyifatkan komik ini juga mempunyai unsur lucu terutamanya watak yang dimainkan oleh rakan baik Shakes, Spenza.

Kosmo! menyisipkan 13 keluaran Supa Strikas keseluruhannya. Komik dengan 24 muka surat dan berwarna-warni ini akan menyerikan hari Sabtu setiap minggu pertama sehingga 28 Februari 2009 ini. Bagi memastikan keterujaan pembaca berpanjangan, pada setiap hari Sabtu minggu yang lain, terdapat kartun sebabak yang dicetak dalam akhbar Kosmo!.

Menarik juga untuk dikongsikan, selain komik, Supa Strikas juga bakal dianimasikan buat pertama kalinya. Animasi itu akan disiarkan di 15 buah negara. Lebih membanggakan, apabila produksi Malaysia turut diberi kepercayaan untuk menghasilkan animasi berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi produksi Animasia Studio, Ah Loong, ia merupakan projek bertaraf dunia yang pertama akan dikendalikan oleh syarikatnya. Syarikat produksi tersebut sebelum ini pernah mengeluarkan kartun, Bola Kampung.

Animasi Supa Strikas sebanyak 13 episod akan ditayangkan pada setiap Ahad mulai 4 Januari 2009 di RTM2 pukul 5 petang. Animasi berdurasi setengah jam ini diterbitkan dalam Bahasa Malaysia.