Cicak Man 2 gagal?


NORMAN dan adiknya, Yusry Abdul Halim perancang utama untuk kejayaan Cicak Man 2.


SELEPAS dua minggu filem Cicak Man 2: Planet Hitam ditayangkan di pawagam, filem tersebut dikatakan gagal mencapai sasaran awalnya iaitu sebanyak RM5 juta.

Jika filem pertama tahun lalu mencatat kejayaan luar biasa apabila pecah panggung sehingga mencatat angka RM6 juta, sambutan untuk kali ini tidak sama.

Justeru ada yang kata Cicak Man 2: Planet Hitam gagal mencapai sasaran diinginkan, selain gagal menandingi rekod pertama yang dicipta.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut disangkal oleh penerbit filem Cicak Man yang juga Ketua Pengarah KRU Studio, Norman Abdul Halim.

Menurut Norman sememangnya benar sasaran asal kutipan tiket yang dijangka adalah lebih daripada RM5 juta, tetapi sehingga kini filem tersebut sudah meraih kutipan sebanyak RM2.7 juta semenjak ditayangkan bermula 11 Disember lalu.

"Filem Cicak Man bukan satu kegagalan, saya percaya selepas tarikh wajib tayang, filem ini akan mendapat kutipan sebanyak RM3.5 juta di panggung dan saya yakin perolehan luar panggung akan capai sehingga RM5 juta.

"Ini termasuklah tayangan di Indonesia dan Filipina tahun depan, selain jualan video serta hak siaran di televisyen," jelasnya kepada Kosmo!.

Walaupun sasaran RM5 juta tidak menjadi, keadaan ini tidak mengecewakan. Ini kerana padanya ini adat orang berniaga tambahan pula, kala filem ini ditayangkan, persaingannya dilihat begitu sengit.

"Saya tidak kecewa, sebab satu faktor filem ini agak perlahan sambutannya kerana penayangan filem Hollywood yang tidak terkawal jumlahnya walaupun kita ada sistem wajib tayang.

"Bayangkanlah satu filem barat ditayangkan setiap minggu, dan filem tempatan pula setiap dua minggu sekali, jadi itu yang menyukarkan kedudukan filem ini," ujarnya.

Tegasnya lagi, jika semua filem mahu disumbatkan dalam satu musim seperti musim cuti sekolah sekarang ini, pastinya menimbulkan masalah terutamanya daripada segi kutipan kerana penonton mempunyai banyak pilihan.

"Kebanyakan filem yang pecah panggung ditayangkan antara bulan Mac atau April, macam filem Duyung memperoleh RM4.7 juta, filem Jangan Pandang Belakang pun begitu juga.

"Kalau filem ini dapat ditayangkan pada bulan Mac atau April, mungkin boleh beri peluang dan kutipan mungkin lebih tinggi kerana tidak ada gangguan filem tempatan yang lain. Ini tidak, musim cuti sekolah inilah semua mahu serbu, macam mana nak capai kutipan yang besar," ulasnya panjang lebar.

Sungguhpun begitu, Norman bukannya mempertikai kewujudan sistem wajib tayang kerana padanya sistem tersebut harus wujud demi memastikan periuk nasi penerbit tempatan lebih terjaga.

Bagaimanapun, tegas Norman, kawalan perlu dilakukan supaya filem tempatan yang ditayangkan tidak bertindih dengan filem tempatan yang lain, sekali gus menyumbang kepada kutipan rendah sesebuah filem.

"Harus diadakan kuota, kita hadkan filem yang masuk wajib tayang kepada empat filem sahaja. Memang ada penerbit besar yang keluarkan filem dengan jumlah yang banyak setahun, tetapi kena adillah kepada penerbit kecil. Saya rasa cadangan itu harus dipertimbangkan dan pada masa yang sama persaingan masih lagi wujud antara filem tempatan dan antarabangsa.

"Apa yang saya boleh katakan, dengan keadaan ekonomi sekarang ini mustahil untuk penerbit filem memperoleh kutipan seperti dahulu," bicara Norman lagi.

Filem Cicak Man 2: Planet Hitam merupakan filem sekuel daripada filem Cicak Man yang diarahkan oleh pengarah yang sama dengan filem Cicak Man terdahulu iaitu Yusry KRU. - HARYATI KARIM