Jakuzi semula jadi

Isi Rimba sesuai untuk mereka yang ingin mencari ketenangan pada hujung minggu bersama seisi keluarga atau teman sekerja.


AIR sungai yang jernih dan bersih.



MENYUSURI jalan kecil menuju ke Sungai Kemensah, Hulu Kelang yang terletak di belakang Zoo Negara dekat Kuala Lumpur itu pasti membuatkan ramai yang mengeluh.

Apa tidaknya, jalan dengan lubang yang dalam, berlecak dan sempit bukan sekadar melambatkan perjalanan, malah boleh menyebabkan mereka yang sayangkan kereta 'bersumpah' itulah kali terakhir mereka melaluinya.

Namun, 'keresahan' itu lama-kelamaan diganti dengan rasa ingin tahu apabila mula mendengar deruan air sungai dan kicauan burung yang mendamaikan. Barangkali masih belum ramai yang tahu, kawasan hijau ini sebenarnya menyimpan banyak lokasi menarik untuk berkelah atau melakukan pelbagai aktiviti riadah.


TIDAK sukar untuk mencari lokasi Isi Rimba di Ulu Kemensah.


Sama ada hanya ingin menghilangkan lelah di tepi sungai, melepaskan gian memancing mahupun menyusun program rekreasi yang lebih serius, semuanya boleh anda peroleh di sini. Jika tiada arah hendak dituju, salah satu caranya adalah dengan berpandukan papan tanda yang ada di tepi jalan.

Perjalanan saya terhenti di Kem Isi Rimba yang terletak di hujung jalan. Walaupun berasa agak ragu-ragu apabila membaca papan tandanya yang sedikit provokatif, perasaan itu hilang serta merta apabila disambut mesra oleh pemiliknya, Roselan Yaacob.

Pesara tentera ini memberitahu Kem Isi Rimba seluas empat hektar mula beroperasi sejak tahun 2002 dengan berkonsepkan pemuliharaan kehijauan hutan rimba tropika.

"Lihat namanya sahaja, kita sudah tahu apa maknanya Isi Rimba. Sebenarnya, saya ingin memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri kekayaan khazanah hutan di sini. Bayangkan, satu meter persegi mengandungi 120 spesies tumbuhan dengan 40 peratus daripadanya adalah herba," kata Roselan.


ROSELAN YAACOB


Laluan pejalan kaki yang tersedia memudahkan anda untuk mengetahui apakah yang mampu ditawarkannya. Pondok dua tingkat yang lengkap dengan sofa dan kerusi cukup sesuai untuk anda bersantai serta merehatkan fikiran.

Ketenangan dan kejernihan air sungai pula pasti mengingatkan kembali kenangan menghabiskan masa di kampung sewaktu kecil. Airnya yang sejuk dan menyegarkan itu membuatkan ramai tidak sabar untuk berendam di dalamnya atau bergayut di buaian tayar yang tersedia.

Terdapat satu kawasan lapang di tengah-tengahnya untuk pengunjung melakukan aktiviti seperti berkhemah. Tidak jauh dari situ, anda boleh menjayakan pelbagai aktiviti latihan rintangan.

Bagi pengantin baru, mungkin anda boleh mencuba pengalaman berbulan madu di pondok pengantin yang disediakan. Anda juga boleh merasai mandi di jakuzi semula jadi yang ada di pondok berhampiran.

Menurut seorang pelancong dari Singapura, Mohd. Shahrudin, 36, yang sedang bercuti bersama isteri dan anak-anaknya, tempat itu menarik terutama bagi sesiapa yang tidak biasa masuk hutan.


PONDOK-PONDOK ini dibina berasaskan pondok yang banyak terdapat di kampung suatu ketika dahulu.


"Saya pasti mengesyorkan Isi Rimba kepada kawan-kawan di Singapura," kata Shahrudin.

Antara aktiviti yang dijalankan di kem itu termasuklah ikhtiar hidup. Ia bertujuan membina karakter peserta, semangat berpasukan, keyakinan dan pengurusan masa.

Kapasiti Isi Rimba ialah 500 orang pengunjung pada satu-satu masa. Biarpun begitu, Roselan lebih gemar mempunyai bilangan pengunjung sekitar 150 hingga 200 untuk keselesaan semua pihak.

"Pada hujung minggu, harga untuk pondok pengantin selama dua hari satu malam ialah RM45 untuk dewasa. Ia meliputi makan minum, insurans dan aktiviti seperti night walk, flying fox atau abseiling.


INILAH jakuzi semula jadi yang boleh anda nikmati di Isi Rimba.


"Istimewanya apabila seseorang itu masuk ke dalam Isi Rimba, mereka boleh melihat kesan-kesan sejarah dan artifak yang ditinggalkan orang zaman dahulu.

"Kalau diikutkan sejarah, Mat Kilau pernah melintasi kawasan ini untuk pergi ke Jelebu, Negeri Sembilan. Selain itu, ia juga pernah menjadi pusat perdagangan bijih sewaktu pemerintahan British," ceritanya.