Permulaan sempurna Kamal





ORANGNYA kacak, muda dan masih terlalu baru untuk digelar anak seni. Namun bak kata pepatah, untung sabut timbul dan untung batu tenggelam. Siapa tahu, suatu masa nanti pendatang baru dunia lakonan dari Pekan, Pahang ini mampu sebaris dengan nama-nama terkenal yang sedang mengukir nama ketika ini.

Kelibatnya hanya baru ditonton menerusi dua drama iaitu Impian Illyana dan Renjis 2 tetapi menjelang pertengahan tahun nanti, jejaka yang memperkenalkan dirinya sebagai Kamal Adli ini ada kuasa luar biasa yang bakal dipersembahkan untuk membuka mata peminat siri televisyen di Malaysia.

Tegas Kamal, ini kali pertama tawaran melakonkan watak utama datang mengisi diari seninya.

Tawaran ini juga jauh bezanya dengan kebanyakan watak drama Melayu yang sering dipaparkan di kaca TV kerana inilah watak yang menjadi khayalannya setiap kali membelek komik-komik superhero.

Kali ini, impian itu bukan sekadar angan-angan kerana seluruh hidup Kamal sejak dua bulan lalu dan untuk tempoh dua bulan akan datang bukan lagi Kamal yang biasa. Semakin hari dia semakin hilang sifat kemanusiaan dan secara bawah sedar, jiwa mesin sedang memakan dirinya.

Kepada pembaca semua, jangan pula terpedaya dengan perenggan di atas kerana itu sekadar sebahagian daripada karakter yang harus direalisasikan Kamal untuk menjayakan watak Nik, seorang pemuda yang separuh manusia dan separuh robot yang bakal disaksikan menerusi drama sains fiksyen terbaru berjudul Bio-Nik terbitan KRU Studio.




Apa yang pasti, Bio-Nik disifatkan satu permulaan sempurna untuk dirinya dilihat sebagai pelakon berbakat bukan sekadar peragawan yang mempamerkan paras rupa untuk menawan peminat.

"Ini tawaran dan watak paling besar dalam hidup saya sejak mula menceburkan diri ke bidang lakonan. Sebelum ini saya cuma berlakon dua buah drama dan mengacarakan dua buah program TV.

"Kali ini pula saya dapat pegang watak superhero, satu watak yang menjadi impian saya setiap kali habis baca komik atau tengok cerita-cerita superhero macam Superman, Matrix, Heroes dan Kyle XY," luah jejaka ini yang nampak kekok ketika memulakan bicara.

Menceritakan pengalaman di lokasi Bio-Nik yang sudah selesai menjalani penggambaran untuk musim pertama, Kamal berkongsi keterujaannya.

"Nik berbeza secara total dengan diri saya tapi ada bagusnya, dulu cara berjalan saya sedikit membongkok, sekarang saya berjalan menegak dan menampakkan keyakinan.

"Sepanjang berlakon, banyak benda baru yang dapat saya pelajari, khususnya daripada pengarah saya. Watak Nik menuntut permainan dalaman yang kuat. Itu yang paling susah sebab saya kena berlakon menjadi manusia yang separuh robot dan robot yang separuh manusia," luah Kamal yang sebelum ini menjayakan program majalah pengembaraan, Pandanganku, Ceritaku di Astro Ria.

Tambah Kamal juga, pada awal-awal episod musim pertama Bio-Nik kelak, penonton akan dapat menyaksikan babak tangisan oleh Nik.

"Saya dipaksa menangis untuk menonjolkan perasaan Nik yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa dirinya sudah dibaik pulih menjadi separuh robot oleh bapanya sendiri.

"Sebagai Nik, saya kena jadi fobia. Setiap kali tangan saya diangkat ada bunyi pelik yang keluar kerana badan saya masih belum siap sepenuhnya," katanya.


EMOSI dalaman Kamal tercabar saat melakonkan watak Nik


Kamal tidak menafikan bahawa drama superhero diinspirasikan menerusi filem-filem atau drama superhero dari barat, dan ketika ini siri Bionic Woman versi baru sedang ditayangkan di kaca TV. Untuk Bio-Nik, Kamal seratus peratus yakin ia akan menjadi drama Melayu yang berkisar tentang kehidupan masyarakat Melayu itu sendiri.

"Rasanya ini bukan kali pertama produksi superhero Melayu dihasilkan, drama Pepaya sendiri dah masuk musim kedua, begitu juga filem Cicakman 1 dan Cicakman 2.

"Yang sama cuma konsep, tapi kandungan dan jalan cerita yang dipaparkan semua baru dan berbeza. Banyak unsur kemelayuan yang diterapkan dalam Bio-Nik," jelas Kamal yang bakal menyambung siri kedua program Pandanganku, Ceritaku dan ada dua lagi tawaran pengacaraan untuk program masakan dan sukan.

Selain Kamal, pelakon lain yang turut membintangi drama 26 episod ini termasuklah Intan Ladyana, Fizo Omar, Tam dan Eyzedy Aziz.


KAMAL, Tam (kiri) dan Eyzedy (belakang) watak penting dalam Bio-Nik.


Menerusi siri baru ini, Kamal berpasangan dengan Intan Ladyana yang melakonkan watak Aina, gadis kolej yang menjadi punca permusuhan antara Nik dan Johan, watak jahat lakonan Fizo.

Sama seperti Kamal, Fizo juga menyifatkan Bio-Nik sebagai lapangan terbaik untuk menonjolkan bakat lakonan yang terpendam dalam jiwanya. Melakonkan sisi jahat sebagai Johan pula satu dimensi lakonan yang tidak pernah dihadapinya sebelum ini yang sering ditawarkan watak pemuda baik atau anak emak.

"Watak Johan yang jahat memang beri banyak kepuasan kepada saya. Lagipun rata-rata pelakon drama ini semuanya baru, jadi perasaan terlalu hormat kepada lakonan pelakon senior tak timbul, saya sangat selesa dengan semua pelakon drama ini," ujar Fizo.


GANDINGAN dua nama baru, Kamal dan Intan Ladyana dipercayai mampu menjadikan Bio-Nik sebagai sebuah drama yang mendapat sambutan ramai.


Selesai untuk penggambaran musim pertama dan sebelum masuk semula ke lokasi penggambaran Bio-Nik untuk musim kedua Sabtu lalu, kesemua pelakon siri Bio-Nik harus tampil dalam imej serba baru, kecuali Kamal.

"Kamal hanya berubah dari segi stail berpakaian tetapi stail rambut masih sama dengan musim pertama. Watak-watak lain akan mengalami perubahan dari segi penampilan. Untuk siri kedua ini, saya mahu buang imej remaja kolej kerana dalam musim kedua ini watak-watak dalam Bio-Nik semuanya telah memasuki alam pekerjaan," jelas pengarah Bio-Nik musim kedua, Aidil Fitri Yunus ketika ditemui selepas sesi transisi imej pelakon Bio-Nik yang berlangsung di pusat dandanan Pick-a-boo, Bangsar baru-baru ini.

Jelas Aidil juga, walaupun Bio-Nik seperti menampilkan siri Bionic Woman dalam versi lelaki dan Melayu, drama ini tidak sekadar drama aksi yang mencedok idea luar.

"Kita cuma guna idea itu untuk diasimilasikan dengan budaya dan masyarakat Melayu. Yang paling penting ialah teknologi yang digunakan untuk drama ini, banyak benda baru khususnya teknik CGI yang digunakan. Ini juga salah satu usaha yang boleh membaiki nilai drama tempatan, mungkin ini antara drama bersiri termahal yang pernah diterbitkan di Malaysia," jelas Aidil yang mengambil alih tugas Azhari Zain sebagai pengarah Bio-Nik untuk musim kedua.