Tiada air, penamaan calon UIAM ditangguh


SEORANG pelajar melihat poster calon-calon yang bertanding sebelum membuang undi di UKM, Bangi semalam.



KUALA LUMPUR - Majlis penamaan calon untuk pilihan raya kampus (PRK) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang sepatutnya berlangsung semalam terpaksa ditangguhkan pada 19 Januari ini gara-gara gangguan air.

Gangguan air itu dikatakan telah berlarutan sejak empat hari lalu berikutan kejadian tumpahan minyak kelapa sawit yang telah mencemar sumber air mentah di Loji Rawatan Air Sungai Gombak dekat sehingga menjejaskan bekalan kepada 18,000 penduduk di daerah Gombak.

Menurut jurucakap UIAM, berikutan masalah itu, ramai pelajar terpaksa pulang ke kampung halaman masing-masing sehingga masalah bekalan air kembali pulih dalam masa terdekat.

Ekoran penangguhan itu, katanya, proses pengundian yang sepatutnya dijalankan pada 19 Januari pula terpaksa ditangguhkan dan akan dijalankan pada 22 Januari.

"Pihak universiti terpaksa membatalkan semua aktiviti yang dirancang sepanjang minggu ini akibat masalah bekalan air yang berlaku kerana ia mengganggu kelancaran majlis dan memberi masalah kepada pelajar.

"Bagaimanapun, majlis penamaan calon dan proses pengundian bagi pilihan raya kampus UIAM akan tetap dijalankan pada tarikh baru berkenaan dan harap-harap semuanya berjalan lancar,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, gangguan bekalan air di sekitar Gombak yang berlarutan selama empat hari itu pulih malam tadi.

Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail memberitahu, kerja-kerja pembersihan dan mencuci air sungai berkenaan sudah dijalankan sebanyak dua kali.

Awal tahun lepas, kemalangan di KM28 Lebuh Raya Karak-Kuala Lumpur pada 13 Januari mengakibatkan tumpahan minyak kelapa sawit, menyebabkan gangguan bekalan air di lapan kawasan utama membabitkan 18,000 pengguna.

Antara kawasan yang terjejas ialah UIAM, British Malaysian Institute (BMI), Sekolah Menengah Teknik Gombak, Sekolah Menengah Integrasi Gombak, Plaza Tol Lebuh Raya Karak, Sekolah Al-Amin Gombak, International Islamic School dan stesen minyak BHP Lebuh Raya Karak.