Nabi pun ampunkan umat


TINDAKAN Ina naik ke pentas untuk bertemu ibu Mawi semasa majlis resepsi bekas tunangnya baru-baru ini mengundang pelbagai persepsi.



INA NAIM atau nama sebenarnya Nordiana Mohamad Naim tiba-tiba menjadi tumpuan pada malam majlis resepsi Mawi dengan Ekin di Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Selain berani tampil ke majlis bekas tunangannya itu bersama suami, Shuhaimi dan anak sulung mereka, Ehmad Hadie Elfardie, lapan bulan, yang sedondon berbusana putih, Ina juga menarik perhatian apabila dia dan suami naik ke meja makan beradab untuk bertemu ibu Mawi, Ramlah Sarlan.

Tindakannya itu telah mengundang banyak persepsi. Ada yang kata Ina sengaja mencuri tumpuan khalayak.

Tak kurang juga yang berpendapat Ina mengambil peluang itu untuk membuktikan dia masih diingati ibu Mawi.

Juga, tidak terlepas yang bangga kerana kesediaan Ina melupakan apa yang telah berlalu telah mengejutkan Mawi sendiri.

VAZZ bertanya kepada Ina, apa signifikan dia bertemu ibu Mawi dan hadir ke majlis lelaki yang pernah hampir membuat kehidupan dan cintanya kepada lelaki lumpuh.

Kenapa Ina sanggup datang ke majlis Mawi? Saja nak bukti diri profesional atau teringin nak melihat Mawi di atas pelamin?

Kami datang sebab dijemput cara baik. Ekin pun ada pesan suruh kami datang. Jadi kebetulan hari majlis dia memang kami sekeluarga tidak punya agenda lain. Jadi selepas berbincang, kami setuju bertandang.

Kami juga profesional. Perkara dah lepas, buat apa nak kenang.

Suami tak cemburu? Adakah dia memang izinkan?

Tak, malah dia yang beriya ajak pergi. Kata Shuhaimi, sedangkan nabi ampunkan umat, kenapa tidak kita? Dia memang tak kisah, tak cemburu. Dia okey.

Macam saya kata tadi, perkara sudah lepas. Kami masing-masing sudah ada kehidupan baru. Saya pun tak simpan dendam.

Apakah perasaan bila tengok Mawi dan Ekin bersanding?

Tak ada rasa apa (ketawa). Sungguh. Rasa macam saya tengah tengok kawan saya bersanding. Itu sahaja.


MAWI dan Ekin.


Apakah yang membuatkan Ina naik ke meja makan dan bertemu ibu Mawi? Tindakan Ina mengundang 1001 persepsi.

Saya tak ada niat lain kecuali memang nak jumpa mak Mawi. Saya nak tunjuk anak saya, Hadie pada dia. Itu saja. Dalam hati, saya kata, kalau tak jumpa Mawi malam itu pun tak apa, janji saya dapat jumpa mak dia.

Lagipun kebetulan mak Mawi duduk di sebelah hujung sekali, jadi saya fikir tak ada masalah saya jumpa mak Mawi.

Tak sangka pula ia menjadi tumpuan ramai. Saya tak ada niat apa-apa kecuali nak jumpa mak Mawi.

Tapi kenapa tak tunggu sehingga majlis selesai? Cara Ina mengundang tumpuan ramai orang.

Saya memang nak tunggu sampai selesai. Tapi Hadie meragam. Dia sudah mula menangis, mungkin penat sebab dah malam.

Jadi Shuhaimi kata, kalau dah niat, kita teruskan saja jumpa mak dia. Itu yang saya naik ke atas dan jumpa dia.

Apakah perbualan antara anda berdua?

Mak Mawi tak cakap apa. Saya yang tegur dia, cakap ini Ina dan ini Hadie anak Ina. Kemudian saya pesan pada mak dia, jaga diri. Itu saja perbualan kami.

Ina perasan Mawi ada di belakang ketika itu?

Tak. Bila nak turun baru perasan. Jadi kami ucap tahniah. Dia okey.

Apakah pesanan buat Mawi dan Ekin?

Buat Mawi, letak agama di tangga pertama. Untuk Ekin, jadilah isteri yang solehah, jangan sakiti hati suami.

Apakah aktiviti Ina sekarang?

Saya memang sudah tidak menyanyi. Tapi kalau ada undangan menyanyi untuk majlis tertutup yang dihadiri wanita, saya terima.

Sekarang saya fokus pada keluarga dan anak. Ada juga buat bisnes jualan langsung dengan HPA Kopi Radic. - MALIAH SURIP