Rahsia air ketuban menghilang

Janin yang tidak dikelilingi air ketuban yang cukup berdepan risiko paru-paru mengecut dan masalah postur tubuh.


IAR ketuban menyusut sebelum waktunya adalah satu komplikasi kehamilan.


HARI ini masuk hari ketiga Badariah Mohd. Sofi, 27, terlantar di wad hospital. Semuanya gara-gara kandungannya yang tiba-tiba mengeras ketika dia bangun tidur beberapa hari lepas.

Puas sudah menunggu, akhirnya doktor mengesahkan keadaan perutnya yang mengeras tersebut disebabkan air ketuban di dalam kantung rahimnya menyusut secara tiba-tiba.

Keadaan ini disebabkan kebocoran air ketuban yang jernih warna dan sedikit hanyir baunya terus mengalir dan membasahi tuala wanita yang dipakai Badariah sejak berada di hospital.

Pemeriksaan ultra bunyi dilakukan. Ternyata air ketuban Badariah hampir kering dan ia akan memberi risiko pada janin.

Tanpa dikelilingi air ketuban yang cukup, janin akan mempunyai masalah paru-paru mengecut serta masalah postur kerana kaki dan tangannya tidak dapat digerakkan secara normal.

Malah lapisan yang menghalang jangkitan kuman daripada masuk ke dalam rahim dan menjangkiti janin juga telah bocor sekali gus boleh menyebabkan janin dan rahim dijangkiti kuman.

Disebabkan terdapat tanda-tanda jangkitan, akhirnya doktor memutuskan pembedahan terpaksa dilakukan meskipun kandungan tersebut hanya berusia 26 minggu.

“Kejadian air ketuban menyusut atau kebocoran air ketuban sebelum waktunya (pramatang) adalah satu komplikasi kehamilan,” ujar Pakar Runding Obstetrik Ginakologi, Hospital Pakar Ampang Putri, Dr. Fauziah Mohd. Hassan.


FAUZIAH





Antara faktor utama keadaan ini berlaku ialah jangkitan kuman pada karung kandungan yang menyebabkan kelemahan pada membran selaput.

“Membran selaput ini amat kuat untuk menampung keberatan janin dan air ketuban hingga kadangkala terpaksa dipecahkan semasa seseorang ibu hendak bersalin,” tegasnya.

Apabila terdapat kelemahan pada membran, ia akan menyebabkan kebocoran air ketuban.

“Kebanyakan air ketuban terhasil daripada air kencing janin. Buah ginjal (buah pinggang) janin mula berfungsi dari umur 12 hingga 14 minggu. Elemen lain ialah kulit (sebelum terbentuk keratin di lapisan kulit, sebelum 18 minggu), saluran pernafasan termasuk paru-paru,” katanya yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang itu.

Air ketuban akan ‘diminum’ dan dibuang oleh janin sepanjang pembesarannya dalam perut. Isi padu paling banyak ialah semasa minggu ke-34 kehamilan iaitu berjumlah sekitar 800 ml.

“Ia akan terus memenuhi kantung rahim dan selain memberi ruang pada bayi untuk bergerak semua kaki dan tangannya, air ketuban juga memberi perlindungan kepada janin daripada trauma seperti apabila ibu terjatuh.

“Jumlah air ketuban ini akan berkurangan sehingga 600 ml pada minggu ke-40 iaitu semasa bayi dilahirkan,” kata Fauziah.

Menurutnya, jumlah air ketuban dapat dipantau melalui kaedah ultrabunyi, secara lebih tepat menggunakan parameter Indeks Cecair Amino (AFI).

Di samping itu, air ketuban menjadi sedikit jika janin tersebut mengalami masalah saluran air kencing tersumbat yang menyebabkan penghasilan air kencing kurang. Keadaan ini berlaku hanya kepada janin lelaki.

Bayi yang tidak mendapat cukup makanan kerana saluran darah pada uri menjadi kecil atau tersumbat turut menyumbang masalah. Ia disebabkan ibu mempunyai darah tinggi ketika hamil.

“Justeru, pengaliran oksigen dan makanan akan berkurangan. Darah kebanyakannya akan dialirkan ke otak janin dan sedikit sahaja kepada buah pinggangnya. Sekali gus ia menyebabkan kurangnya penghasilan air kencing janin,” jelasnya.

Dalam pada itu, faktor alkohol, rokok dan dadah juga dipercayai penyumbang terhadap berlakunya pengeluaran air ketuban ini.

Beliau turut menjelaskan jangkitan kuman pada faraj juga menyumbang kepada berlakunya kantung ketuban yang lemah.

“Bagi wanita yang pernah mempunyai sejarah kelahiran bayi kecil (kurang 2.5 kg), pemberian aspirin dalam dos yang kecil boleh membantu,” ujarnya. - SHANIKA ABDULLATIB