Worden harapan baru Terengganu


SIMBOLIK. Che Mat (kanan) menyerahkan beg peralatan sukan kepada Worden pada majlis pengenalan jurulatih baru Terengganu semalam.


BEKAS jurulatih skuad bola sepak kebangsaan dan Selangor, Ken Worden dilantik sebagai jurulatih baru Terengganu semalam.

Jurulatih dari Australia itu akan mengambilalih tugas Mohamed Nik untuk membimbing Terengganu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, kehadiran Ken Worden tepat pada masanya terutamanya selepas mereka tewas tiga daripada empat perlawanan pertama Liga Super.

"Latar belakang Ken Worden tidak perlu dipersoalkan kerana dia seorang jurulatih berpengalaman.

"Selain pernah membimbing skuad kebangsaan, dia juga mencipta nama bersama Selangor dan dua kali membantu mengembalikan maruah Sabah.

"Kita perlukan seorang jurulatih yang berkarisma seperti ini kerana saya tidak berpuas hati dengan pencapaian pasukan," kata Che Mat dalam satu majlis pengenalan jurulatih baru di Kuala Terengganu semalam.

Che Mat berkata, sebelum menerima tawaran tersebut, Worden sudah mengkaji dan meneliti kemampuan pemain-pemain Terengganu.

"Berdasarkan pemerhatian awalnya, dia yakin pemain muda Terengganu mampu pergi jauh.

"Jurulatih yang pernah membantu Selangor menjulang Piala Malaysia ini telah mengikat kontrak selama setahun dan dia akan memulakan tugas pertamanya hari ini (semalam)."

Mengimbas kembali penyertaan Ken Worden dalam kancah bola sepak negara, dia mula membimbing Selangor pada 1991 sebelum menjadi jurulatih skuad kebangsaan dua tahun kemudian.

Bagaimanapun, dia kembali membimbing Selangor pada musim 1994/1996, 2002/2003 dan 2004.