Dua wakil Johor rebah seawal pusingan pertama


SHAIFUL AZIZI menumbuk bola bagi menyelamatkan gawangnya daripada asakan pemain lawan pada aksi malam tadi.


DUA wakil dari Selatan, Johor FC dan Johor tersingkir seawal pusingan pertama Piala FA malam tadi.

Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, Johor FC sekadar seri tanpa jaringan dengan Pulau Pinang, sekali gus menyaksikan pasukan pelawat layak ke pusingan kedua dengan agregat 1-0.

Menyedari ketinggalan satu gol setelah tewas di Stadium Bandaraya sebelum ini, Sang Lebah ternyata garang sebaik wisel permulaan dibunyikan.

Tuan rumah berjaya merobek gawang Pulau Pinang pada minit ke-30, namun jaringan Ezaidy Khadar dibatalkan kerana bola terlebih dahulu terkena tangannya.

Duka Sang Lebah semakin berterusan apabila percubaan Hamzani Omar terkena tiang pada minit ke-75 manakala rembatan Nurul Azuan Roya berjaya ditepis penjaga gol, Shaiful Azizi Anuar seminit kemudian.

Ternyata, Shaiful Azizi layak dijulang selaku hero Pulau Mutiara apabila berjaya menggagalkan beberapa percubaan merbahaya tuan rumah sehingga wisel penamat dibunyikan.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunus Larkin, Johor ternyata begitu bernafsu apabila membenam Kelantan 3-0.

Bagaimanapun, kemenangan itu masih belum memadai buat Johor meneruskan kemaraan ke pusingan kedua apabila tewas dengan agregat 3-4.

Pada aksi malam tadi, Johor membuka tirai jaringan menerusi Mohd. Faizool Hussin pada minit ke-20.

Kelantan yang semakin tertekan dengan asakan bertali-arus Johor semakin tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain pertahanannya, Daudsu Jamaludin dibuang padang pada minit ke-33 selepas mengutip kad kuning kedua akibat mengasari Mohd. Faizool.

Mohd. Khairul menambah gol kedua Johor hasil rembatannya pada minit ke-46.

Azrine Afandi Sa'buddin melengkapkan gol ketiga tuan rumah pada minit ke-69.

Hasrat Johor untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan dan mengheret perlawanan ke masa tambahan bagaimanapun bertukar hampa apabila beberapa percubaan gagal menemui sasaran.