Basikal tua RM4,000 sebuah

Pasangan suami isteri Ikhwanizam Ibrahim dan Azwa Md. Salleh mempunyai hobi mengumpul barang antik terutama basikal lama yang diubahsuai.




DI KEDIAMAN pasangan suami isteri Ikhwanizam Ibrahim dan Azwa Md. Salleh di Seri Kembangan dekat Kuala Lumpur, pasti ramai yang teruja melihat deretan barangan antik yang tersusun kemas.

Paling ketara ialah basikal tua. Apa yang boleh dibuat dengan basikal tua? Namun, bagi mereka yang meminati dan menjadikannya sebahagian daripada hobi sudah pasti ia membawa seribu erti.

Basikal itu akan membuatkan kita mengenang nostalgia lama serta menjadikan kita lebih mengenali asal usul dan menghargai kehidupan. Bak kata pepatah, tiada yang lama maka tiadalah yang baru.

Kepada pasangan yang bekerja dalam sektor perbankan itu, wang ringgit bukanlah ukuran. Apa yang penting adalah kepuasan daripada hobi yang mereka miliki bersama.

"Bagi mereka yang menggemari barangan antik, wang ringgit bukanlah ukuran dan kebanyakannya akan mengeluarkan sejumlah wang mengikut kemampuan.

"Kami menjelajah ke merata pelosok negara untuk mencari basikal tua dan juga bahagian-bahagian alat ganti basikal yang kebanyakannya berusia lebih 50 tahun.

"Bukan mudah untuk memilikinya kerana bila tuan punya tahu ia menjadi rebutan pengumpul barangan antik, mereka akan pertaruhkan harga untuk mendapatkan pembida yang tertinggi," kata Ikhwanizam, 33.


BERKONGSI minat yang sama, Ikhwanizam dan Azwa mengagumi nostalgia lama.



LOGO dan keaslian menentukan harga barang ganti basikal lama.



KOLEKSI basikal paling lama Ikhwanizam yang diperbuat pada tahun 1940-an.



SETIAP barang ganti mempunyai logo mengikut jenama.



SPEEDO meter basikal ini merupakan aksesori paling mahal yang sukar ditemui.



HARGA tempat duduk basikal ini boleh mencecah RM700.


Pasangan itu telah lama mempunyai minat terhadap barangan antik. Bagi Ikhwanizam, pada mulanya dia mengumpul permainan yang diperbuat daripada aluminium atau besi manakala Azwa pula mengumpul set teko lama.

Kini, mereka beralih arah kepada basikal tua tetapi segala koleksi teko dan barang permainan lama masih lagi disimpan rapi. Malah, Azwa juga mempunyai beberapa set koleksi barangan kemas antik seperti set emas bersama intan dan juga rantai serta gelang bercorak kerawang lama.

Bukan itu sahaja, Azwa juga mempunyai deretan buku resipi lama di dalam almari antik di dapur berserta dulang menarik yang sudah tentu tidak lagi dijual pada zaman ini.

Mereka yang masih belum mempunyai cahaya mata menjadikan hobi mereka sebagai landasan yang mengeratkan hubungan suami isteri dan mereka mengakui kebanyakan aktiviti dilakukan bersama.

Segala cerita, maklumat dan juga keghairahan terhadap hobi mengumpul basikal antik boleh dikongsikan bersama sebagai teman rapat.

Ikhwanizam dan Azwa yang merupakan ahli Kelab Basikal Klasik Batu Berendam, Melaka sering menjalankan aktiviti kayuhan di sekitar Melaka. Baru-baru ini mereka bersama beberapa ahli kelab tersebut telah mengadakan acara Kayuhan Nostalgia Basikal Tua di Putrajaya.

Pasangan itu juga pernah menyertai kayuhan basikal di Jakarta iaitu bermula di kota Jakarta sehingga Jakarta Lama.

Menurut Azwa, kebanyakan basikal miliknya yang berjumlah 15 buah dibeli daripada kedai besi buruk. Ini kerana ketika harga besi melambung satu ketika dahulu, orang tua di kampung cenderung menjual apa sahaja yang berunsurkan besi kepada kedai besi buruk.

"Oleh kerana tuan punya kedai tahu nilai basikal buruk yang dikategorikan sebagai barangan antik, mereka akan menyimpannya dan menjual semula pada harga yang tinggi kepada pengumpul barangan antik," katanya.

Pasangan itu mempunyai pelbagai koleksi barangan ganti basikal yang disertakan dengan kotak. Malah, mereka mempunyai sebuah radio antik bersaiz kecil yang kebiasaannya dibawa bersama ketika menaiki basikal.

"Paling murah basikal yang pernah kami beli adalah RM500 dan ada juga yang berharga RM4,000. Ada juga antara basikal yang kami beli hanya tinggal rangka dan kemudian kami akan mencari barangan ganti untuk menjadikannya sebuah basikal yang lengkap.

"Memang mahal untuk 'melengkapkan' sesebuah basikal tua sehingga ia cantik dan selesa untuk dinaiki kerana untuk satu-satu bahagian seperti tempat duduk sahaja ia boleh mencecah sehingga RM600 hingga RM700," ujar Ikhwanizam yang berasal dari Lubok Cina, Melaka.

Mereka bukan sekadar menjadi pengumpul basikal antik, tetapi Ikhwanizam menyedari bahawa mereka juga perlu mempunyai pengetahuan mengenai setiap basikal dan juga sejarahnya.

"Saya membuat kajian melalui buku-buku sejarah dan juga Internet.

"Menurut buku Malaysia A Pictorial History 1400-2004 karangan Wendy Khadijah Moore, basikal telah berada di Tanah Melayu seawal 1890-an lagi," katanya.


IKHWANIZAM dan Azwa sudah tidak dapat dipisahkan dengan basikal tua.



TANDA keaslian buatan England.


Menurut Ikhwanizam, apa yang menjadi lebih berharga pada sesebuah basikal adalah keaslian setiap alat ganti dan ini boleh dinilai melalui cop yang tertera pada alat ganti.

"Apa yang penting ialah barangan tersebut perlu dipastikan buatan England. Ini dapat memastikan bahawa ia adalah barangan asli kerana hanya negara itu yang mengeluarkan basikal-basikal seperti itu pada masa lalu," katanya.

Antara basikal yang menjadi rebutan peminat-peminat basikal antik ialah jenama Raleigh, New Hudson, British Soldier Army (BSA) dan Robinhood.