Tapak penempatan, lebur besi di Lembah Bujang


PENYELIDIK USM memperkatakan sesuatu mengenai tapak prasejarah terbaru yang ditemui di Lembah Bujang, Merbok semalam.


MERBOK - Dua buah tapak prasejarah yang dipercayai digunakan sebagai tapak penempatan dan tapak kilang melebur besi yang terawal ditemui di Sungai Batu, Lembah Bujang di sini baru-baru ini.

Penemuan kedua-dua tapak itu yang terletak kira-kira satu kilometer (km) antara satu sama lain di lencongan Merbok itu menguatkan lagi dakwaan bahawa kawasan Lembah Bujang adalah antara kawasan penempatan yang tertua di dunia.

Ia ditemui sekumpulan penyelidik Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1 Februari lalu.




Menurut Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, kedua-dua tapak itu ditemui ketika sekumpulan penyelidik yang diketuai Pengarah PPAG, Prof. Madya Mokhtar Saidin menjalankan kerja-kerja pemetaan untuk penyediaan pelan pembangunan Taman Warisan Lembah Bujang.

"Kami menemui lebih kurang 30 bukit kecil mound di sekitar kawasan seluas tiga kilometer persegi yang dijangka mempunyai kepelbagaian fungsi seperti pusat kediaman atau pemerintahan.

"Hasil ekskavasi (penggalian) ke atas dua tapak itu mendapati salah satunya mempunyai batu-bata berstruktur bangunan manakala satu lagi mendedahkan fungsinya sebagai kilang melebur besi," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurutnya, penemuan kedua-dua tapak berkenaan dianggap penting kerana ia mungkin dapat merungkai persoalan berhubung usia sebenar peradaban Lembah Bujang.