Lagi-lagi kad merah


AZLAN (kiri) terlepas aksi perlawanan suku akhir kedua selepas dilayangkan kad merah kelmarin.


PERLAWANAN suku akhir pertama Piala FA antara Kelantan dengan UPB-My Team di Kelana Jaya malam kelmarin sekali lagi dicemari insiden layangan kad merah, lapor KHAIRI MOHAMAD.

Pemain pertahanan Kelantan, Ahmad Azlan Zainal diarah meninggalkan padang selepas menerima kad merah menyebabkan peminatnya kecewa dengan keputusan tersebut.

Setiausaha Kehormat Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan, Muhammad Yatimin Abdullah berpendapat, sesuatu perlu dilakukan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam mengangkat kredibiliti pengadil-pengadil bola sepak di negara ini.

Menurutnya, musim 2009 ini menyaksikan beberapa keputusan yang dibuat pengadil tidak konsisten dan sering dipertikaikan.

"Kami para penyokong Kelantan dukacita dengan keputusan pengadil apabila menghadiahkan kad merah untuk Azlan.

"Azlan terlibat dalam insiden tarik menarik yang sepatutnya diberi amaran dan bukannya melakukan kekasaran yang mendatangkan kecederaan atau mengancam pemain lawan," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, keputusan pengadil itu menyebabkan Kelantan terpaksa mengharungi 45 minit permainan separuh masa kedua dengan 10 pemain serta terpaksa bermain secara bertahan.

Katanya, ini merupakan pengalaman pahit yang terpaksa dihadapi oleh pemain serta seluruh peminat pasukan Kelantan apabila pemain mereka menerima kad merah dalam dua perlawanan berturut-turut.

"Di Shah Alam, keputusan pengadil juga diragui. Insiden pertama melibatkan pemain sayap, Zamri (Ramli) yang di siku dan sepatutnya Kelantan dihadiahkan sepakan penalti, tetapi itu dinafikan oleh pengadil.

"Insiden kedua melibatkan penjaga gol Halim Napi yang membaling bola dan terkena pemain lawan juga sepatutnya hanya cukup sekiranya diberikan amaran bukan dikenakan kad merah," ujarnya.

Jelasnya, FAM perlu memantau dan mengkaji beberapa keputusan yang dibuat oleh para pengadil kerana ia boleh mempengaruhi mutu dan kerancakan liga tempatan.