Jodoh sudah sampai - Darling




TIADA apa yang mampu diucapkan selain daripada senyuman yang sentiasa sarat di bibir pelakon dan penerbit, Nasreen Ngasri atau Darling pada majlis pertunangannya yang berlangsung Ahad lalu.

Saat itu terlalu bahagia buatnya. Sungguhpun ia sekadar majlis pertunangan tetapi meriahnya bak majlis pernikahan pula.

Didandan angun oleh jurusolek terkenal, Saidatulnisa dan menyarungkan baju tajaan Seri Delima Bridal Boutique dari Johor Bahru, Darling tampak berbeza daripada hari-hari biasa.

Malah bapa Darling, Ngasri Sain, tidak habis-habis memuji kecantikan anaknya itu, siap ditunjukkan gambar yang dirakamkan di telefon bimbit miliknya sambil berkata: "Macam Nora Danish pula saya tengok dia, berseri-seri, cantikkan?"

Itulah riak bangga seorang bapa apabila melihat anak perempuannya menemui jalan bahagia setelah melalui pelbagai kisah duka.

Bagi Darling pula, majlis pertunangannya berjalan penuh dengan debaran. Namun, di hatinya berputik rasa bahagia, apabila selamat ditunangkan dengan lelaki pilihannya sendiri, Nur Azlin Rahmat yang berusia 34 tahun.

Walaupun sudah bergelar tunangan orang dan bakal bernikah pada 30 Mei nanti, dirinya tidak terlepas daripada cerita-cerita kurang enak.

Terbaru, gosip yang tersebar luas mengatakan dia ingin segera mengikat tali pertunangan dan bergelar isteri kerana kes saman yang difailkan di mahkamah pada 23 April tahun lalu oleh bekas kekasih yang juga bekas rakan kongsinya, Wan Cromok akan dibicarakan di mahkamah tidak lama lagi.




Wan Cromok mendakwa Darling melakukan pecah amanah yang melibatkan bayaran untuk tiga buah drama arahannya dalam syarikat produksi Nasridz Pictures Sdn. Bhd. yang dimiliki secara bersama.

Darling bagaimanapun menolak sekeras-kerasnya perkhabaran terbaru itu dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

"Bukan sebab itulah. Jodoh sudah sampai dan bukan saya yang minta, ia datang dengan sendirinya. Apa yang berlaku, saya perlu selesaikan. Kehidupan harus diteruskan.

"Saya juga bukan orang yang suka lari daripada masalah. Setiap masalah yang datang harus diselesaikan. Saya bertunang dan akan bernikah tidak lama lagi kerana saya sudah bertemu dengan orang yang benar-benar saya cintai dan memahami diri saya seadanya," tutur Darling lembut.

Disoal lagi, tidakkah dia kecewa kerana saat-saat bahagianya diragut oleh cerita yang kurang manis sebegini?

Anak keempat daripada enam beradik ini hanya tertawa dan menjelaskan tidak ada apa yang perlu dikecewakan dan membuatkannya berdukacita kerana dirinya sudah cukup sebati dengan asam garam dunia seni.

"Kalau saya kecewa atau sedih, sudah lama agaknya saya lakukan benda-benda tidak elok yang merosakkan diri.

"Tetapi saya masih ada fikiran waras, masih berpegang pada agama, masih ada keluarga sebagai tempat bergantung, jadi saya tidak nampak kenapa perlu saya kecewa dengan apa yang terjadi.


ANTARA barangan hantaran Darling kepada Nur Azlin.


"Lagi pula, saya sudah bertunang. Memang saya gembira kerana dipertemukan dengan lelaki yang cukup mengambil berat, menghormati keluarga dan mencintai saya," ujarnya.

Tidak kenal Darling

Menurut tunangnya yang berasal dari Melaka, pada peringkat awal perkenalan mereka semuanya berlaku secara tidak sengaja apabila mereka cuba dijodohkan oleh teman sendiri.

"Masa saya mula-mula jumpa Darling, dia tidak banyak bercakap, begitu juga saya. Masing-masing bual hal sendiri, lepas itu baru kami mula rapat sehinggalah hari ini.

"Saya tidak tahu pula dia seorang artis, lama-lama tahu sendiri. Pada saya dia seorang yang baik dan serasi dengan jiwa saya," kata Nur Azlin.

Begitu juga dengan ahli keluarganya yang tidak tahu menahu dia bercinta dengan seorang pelakon sehinggalah Nur Azlin membawa Darling berjumpa sendiri dengan keluarganya di Melaka.

"Mereka tidak cakap apa, tidak terkejut pun. Biasa saja. Tidak tahulah dalam hati mereka sebab saya tidak tanya (ketawa). Rasanya mereka boleh menerima Darling, jika tidak kami tidak akan bertunang dan berkahwin kelak," ceritanya.

Bercinta, bertunang dan bakal berkahwin dengan seorang selebriti 'panas' seperti Darling bukan mudah, tetapi kata Nur Azlin, dia sudah mempersiapkan diri untuk berdiri di sisi bakal isterinya setiap saat.


NUR AZLIN tidak mengetahui Darling merupakan seorang selebriti pada awal perkenalan mereka.


"Saya tidak tahu dunia hiburan macam mana. Ini kali pertama saya dikerumun macam ini. Saya tidak takut, cuma terkejut sikit sebab tidak biasa.

"Mungkin dengan bantuan Darling saya akan biasakan diri tetapi yang artis ialah Darling, bukannya saya. Saya hanya akan menyokongnya dari belakang," ulasnya.

Perkahwinan bakal ditaja

Beralih cerita kepada majlis pertunangannya. Walaupun biasa menjadi tumpuan lensa kamera dan orang ramai tetapi suasana pada majlis pertunangannya cukup berbeza buat diri Darling. Apatah lagi saat bakal ibu mertuanya Badariah Abu Bakar menyarungkan cincin pertunangan di jari manisnya.

"Saya gementar dan resah. Tidak tahu nak cakap macam mana. Semua orang tengok saya, tetapi syukur semuanya berjalan dengan lancar. Ramai ahli keluarga yang hadir," ucapnya.

Darling yang akan bersanding sehari selepas majlis pernikahannya iaitu pada 31 Mei memberitahu, persiapan menjelang hari bahagianya itu sudah siap hampir 70 peratus.

Sama seperti perkahwinan para selebriti yang lain, Darling juga tidak terkecuali mendapat tajaan daripada pelbagai pihak, tetapi jelasnya bukan semua persiapan perkahwinannya ditaja.


SELURUH kaum keluarga Ngasri teruja dan penuh bersyukur dengan pertunangan Darling yang bakal diikuti dengan pernikahan menjelang 30 Mei nanti.


"Bukan semua, yang betul-betul ditaja ialah pakaian pernikahan sahaja daripada butik Cosry, yang lain seperti pengurus perkahwinan (Astana Karya), pelamin (Nas Greatidea dan Z & T Bridal) adalah lebih kepada tajaan dan kerjasama.

"Macam katering, khemah, semuanya sudah siap. Itu semua perbelanjaan sendiri. Ada rezeki kerjasama dan tajaan, saya menerima dengan hati terbuka," jelasnya.

Tentang majlis perkahwinannya, Darling mengakui dia ingin melangsungkannya dengan suasana meriah tetapi dalam kesederhanaan.

"Meriah, meriahlah juga tetapi harus bersederhana. Apa yang penting lakukan perkara yang wajib, yang lain-lain itu sekadar mengikut kemampuan," kata Darling.