Yasmin Ahmad bertukar angin


YASMIN (tengah) menghasilkan Talentime bermatlamat menonjolkan kepentingan ikatan persahabatan dan kekeluargaan yang seharusnya ada pada diri setiap manusia tanpa mengira bangsa, jantina dan agama.


KALAU ada yang beranggapan filem Talentime garapan pengarah tersohor Malaysia, Yasmin Ahmad berkisar mengenai pertandingan pencarian bakat, maka tanggapan itu harus dilontarkan jauh-jauh terlebih dahulu.

Hakikatnya, Talentime menjaja sebuah karya yang berkaitan dengan kepentingan kasih sayang dengan keluarga, perasaan cinta dengan kaum lain dan maksud persahabatan yang kukuh sesama rakan di sekeliling.

Yasmin, ketika ditemui pada majlis pratonton filem Talentime yang diadakan di Cineleisure, Damansara, minggu lalu berkata, karya yang dihasilkannya itu tiada kena mengena dengan konsep sebuah pertandingan pencarian bakat.

"Talentime dianggap sebagai karya yang penuh cinta dan jiwa yang mempunyai pendekatan berbeza dengan apa yang sudah saya sempurnakan sebelum ini.

"Saya lihat Talentime menjadi judul serta penggerak untuk filem ini walaupun ada adegan yang membabitkan pencarian bakat pelajar sekolah diselitkan di dalamnya.


TIGA pelakon baru (kiri) Jac, Mahesh dan Pamela berjaya memperlihatkan lakonan berkesan dalam filem Talentime.


"Filem ini tidak mengetengahkan tentang pertandingan pencarian bakat sahaja sebagai plot utamanya kerana di hujung cerita, nama para pemenang Talentime tidak diumumkan.

"Saya hasilkan Talentime dengan harapan untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai istilah persahabatan dan ikatan kekeluargaan yang seharusnya ada dalam setiap diri manusia," ulas Yasmin yang tetap kukuh dengan pendiriannya.

Penampilan wajah-wajah segar

Tidak dinafikan, sebelum ini aktres terkenal Sharifah Amani boleh dikatakan sebagai anak emas Yasmin kerana dia dilihat sering menjadi pilihan utama dalam setiap filem-filem arahannya.

Menerusi Talentime yang menelan perbelanjaan sekitar RM1.5 juta, Yasmin menongkah arus dengan mempertaruhkan beberapa muka baru yang cukup mentah dalam bidang lakonan.

Antara pelakon itu ialah Pamela Chong, Mahesh Jugal Kishor, Amelia Thripura, Susan Chong, Howard Hon Ka Hoe dan tidak ketinggalan menampilkan penyanyi popular, Jaclyn Victor yang memperlihatkan pengalaman pertamanya beraksi di layar perak.

Yasmin ketika ditanya tentang dirinya yang ingin 'bertukar angin' dengan menampilkan pelakon-pelakon baru menjawab, dia sengaja menampilkan wajah-wajah baru yang kelihatan amat berbeza berbanding pelakon yang muncul dalam filem-filem sebelumnya.

Pelakon lain yang beraksi dalam filem tersebut ialah Mohd. Syafie Naswip, Harith Iskandar, Tan Mei Ling, Adibah Noor, Sukarni Venogopal dan Jit Murad.

Beberapa orang selebriti tempatan tidak ketinggalan membuat penampilan khas dalam filem tersebut antaranya ialah pengarah Ho Yuhang, Ng Choo Seong dan pengacara Gala TV, Syazwan Zakariah.

"Saya kagum dengan karisma dan keperibadian pelakon-pelakon baru dan watak pelakon sampingan lain yang berupaya menghidupkan lakonan masing-masing dengan baik sekali.

"Mereka memiliki aura dan personaliti yang cukup kuat hingga mudah dibentuk mengikut apa yang saya inginkan.

"Saya juga berpuas hati dengan mutu lakonan mereka. Tiada salahnya andai saya katakan mereka mampu menjadi bintang terkenal suatu hari kelak.

"Untuk watak sampingan lain, saya memilih beberapa nama ini sebab mereka juga ada karisma tersendiri yang mampu mewarnai lagi filem ini.

"Contohnya Jit Murad yang hanya muncul beberapa adegan, namun kelibatnya tetap diingati dengan baik oleh penonton.

"Syafie pula merupakan pelakon lelaki terbaik di negara ini. Jika diberikan apa sahaja dialog, dia cepat faham dan boleh menunjukkan impak yang berkesan.

"Gabungan yang bagus menerusi filem ini datangnya daripada rezeki Allah. Jika niat kita baik, Insya-Allah Tuhan juga akan mempermudahkan jalan kita.

"Setiap yang diperlukan untuk filem ini, semuanya ada dalam satu," jelas Yasmin yang galak bercerita tentang Talentime.

Jelas pengarah yang terkenal dengan sifat merendah diri itu lagi, dia amat gembira kerana akhirnya dapat bekerja dengan Azean Irdawaty dan Jaclyn.

"Kedua-duanya adalah artis yang sangat saya kagumi. Selepas mereka bersetuju untuk berlakon dalam Talentime, sudah pastilah saya menjadi orang paling gembira.

"Mereka berdua boleh dikatakan macam idola saya," akui Yasmin tanpa malu-malu.

Bukan itu sahaja, percubaan pertama Jac menerusi filem Talentime ternyata tidak sia-sia dan menunjukkan hasil yang membanggakan. Lakonannya cukup bersahaja, namun tetap meninggalkan impak yang tersendiri kepada penonton.

Lakonan pelakon lain terutama muka-muka baru juga tidak menghampakan. Masing-masing memperlihatkan kehebatan walaupun bergandingan dengan beberapa nama terkenal dalam industri lakonan.

Yasmin yang sebelum ini selalu dikaitkan dengan kontroversi serta provokasi daripada orang di sekeliling mengaku enggan mengambil peduli dengan kata-kata nakal umum yang hendak menghentam dirinya kelak.

"Saya sudah malas dengar apa yang orang hendak kata apa mengenai hasil kerja saya.

"Jika ada yang masih cuba menabur pasir dalam periuk nasi saya, sudah tentu saya akan mengutipnya dan buang," luah Yasmin dalam nada lembut sambil mengangkat maksud sinis.

Meskipun filem Talentime belum ditayangkan, Yasmin bagaimanapun sudah menerima perkhabaran gembira.

Masakan tidak, filem kelima yang diarahkan oleh Yasmin itu berjaya terpilih sebagai antara 12 calon Filem Terbaik bagi Anugerah SIGNIS untuk Festival Filem Antarabangsa Hong Kong Ke-33 yang akan berlangsung pada 22 Mac nanti.

"Seperti biasa, saya tidak menaruh sebarang harapan untuk menang dalam festival ini kerana calon-calonnya cukup hebat.

"Biarpun begitu, saya amat bersyukur kerana filem Talentime berjaya ditempatkan sebagai antara 12 yang terbaik," ujarnya.

Filem yang menggunakan Bahasa Melayu, Tamil, Inggeris dan Cina turut diperkemaskan lagi dengan susunan muzik dan juga lagu ciptaan Pete Teo.

Talentime mula ditayangkan pada 26 Mac ini menerusi 45 buah pawagam di seluruh negara.

Mahesh Jugal Kishor sebagai Mahesh

“SAYA memang tiada pengalaman dalam bidang seni. Apabila menerima tawaran untuk berlakon dalam filem ini, saya memang terkejut.

“Selama ini saya cukup kagum dengan kredibiliti Yasmin. Saya juga merupakan peminatnya serta sering kali mengikuti filem-filem yang diarahkan olehnya.




“Segala masalah terlerai apabila kami dikehendaki menjalani sesi latihan lakonan selama tiga minggu untuk menjiwai watak masing-masing.

“Menjadi satu pengalaman yang cukup manis dan indah untuk saya kerana bukan mudah untuk membawakan watak seorang lelaki bisu dan pekak.

“Ternyata, saya mampu melakonkan watak ini seperti mana yang dimahukan oleh Yasmin.

“Bukan itu sahaja, berada dengan individu-individu yang amat komited dengan kerjaya sebagai pelakon menjadikan saya lebih kental untuk tunjukkan lakonan terbaik.

“Saya kagum dengan skrip filem ini apatah lagi dapat beraksi dengan pelakon lain seperti Pamela, Jaclyn dan Syafie,” kata Mahesh.

Jaclyn Victor sebagai Bhavani

BERCAKAP tentang Bhavani, Jac menyifatkan wataknya penuh berwarna-warni kerana dia perlu menampilkan ekspresi gembira dan sedih dalam masa-masa tertentu.




“Memang sukar pada mulanya sebab saya tiada pengalaman berlakon, tetapi Yasmin begitu yakin dengan diri saya untuk membawakan watak Bhavani yang merupakan kakak kepada Mahesh.

“Ikatan kekeluargaan yang terjalin antara Bhavani dan Mahesh menjadikan hubungan kami begitu rapat.

“Seandainya adiknya bersedih, maka Bhavani juga akan turut merasai kesedihan itu.

“Menjalani latihan demi memastikan dapat menjiwai watak Bhavani memang mencabar untuk saya sebagai seorang pelakon baru.

“Untuk bawa watak sedih, contohnya, bukanlah satu perkara yang mudah kerana saya perlu memikirkan benda yang buat saya geram demi memastikan watak saya hidup,” ujar Jac.

Pamela Chong sebagai Melur

“SERONOK sangat dapat berlakon dalam filem ini. Semua yang terlibat dalam produksi Talentime cukup baik dan sanggup membantu ketika saya memerlukan.




“Apa yang penting perhubungan kami sememangnya akrab dan keserasian antara kami mula terhasil dengan pantas.

“Talentime dianggap sebagai filem yang unik kerana ia menampilkan pelbagai bangsa serta kaum sekali gus memperkemaskan lagi filem ini,” jelas Pamela yang merupakan adik kepada juara Akademi Fantasia 1, Vince.

Ujar wanita yang berusia 25 tahun itu, kesukaran memegang watak Melur adalah memastikan sebutan dialognya jelas dan lancar.

“Nasib baiklah dengan bantuan Yasmin, saya mampu melakukan sehabis baik dan memuaskan hatinya. Saat awal membaca skrip, saya sudah jatuh cinta dengan filem ini.

“Talentime memang sebuah karya yang cukup indah kerana pelbagai rasa di dalamnya,” katanya.