Bukan mahu popular

Ketegasan Ku Din disegani kawan, digeruni lawan.







SUASANA di tingkat 38, Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato' Onn di ibu negara Selasa lalu agak meriah. Namun suasana kali ini tampak berbeza biarpun UMNO kelihatan sibuk menjelang Perhimpunan Agung parti itu yang berlangsung selama lima hari mulai lusa.

Menjelang pukul 4 petang, aras tersebut menjadi perhatian berpuluh-puluh petugas media tempatan dan antarabangsa. Fokus mereka tertumpu terus kepada Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.

Bersama dua lagi ahlinya, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas dan Datuk Alias Ali serta Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Hafarizam Harun, Tengku Ahmad Rithaudeen seperti sudah menduga dia bakal menjadi berita besar semua akhbar pada keesokannya.

Berbekalkan pengalaman sebagai Menteri Penerangan sebanyak dua kali, gaya Tengku Ahmad Rithauddeen seumpama pegawai perhubungan awam profesional. Setiap soalan dijawab tanpa teragak-agak dan memuaskan hati semua pemberita.

Pada usia 77 tahun, veteran UMNO itu nyata bersedia dengan segala kemungkinan soalan berbaur cepu emas.

Latar belakang kerjaya awal sebagai majistret malah pengalaman sebagai peguam kanan Persekutuan membantu beliau untuk menjawab penuh tenang.

Pada tanggal 17 Mac, negara dikejutkan dengan berita Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam didapati bersalah kerana melanggar etika parti sekali gus meranapkan hasrat Ketua Menteri Melaka itu untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan minggu depan.

"Semua keputusan dibuat berdasarkan bukti-bukti bagi setiap kes dibicarakan dan juga keterangan yang diperoleh semasa penyiasatan serta pendengaran. Keputusan ini bukan berdasarkan tuduhan melulu atau hear say (dengar cakap)," tegasnya.

Tengku Ahmad Rithaudeen menjelaskan, lembaga disiplin itu bersikap neutral tetapi sentiasa pula disalah anggap oleh pihak yang mendapati keputusan tertentu tidak menyebelahi mereka.

"Pendek kata, Lembaga Disiplin sentiasa berada dalam keadaan serba salah iaitu jika dibuat salah, tidak dibuat pun salah," katanya. Menurutnya, ahli-ahli Lembaga Disiplin itu terdiri daripada tokoh politik yang bersara yang tiada apa-apa kepentingan pun.

Lembaga Disiplin, ujarnya yang juga dikenali sebagai Ku Din di kalangan rakan-rakan veteran parti, bukan sebuah mahkamah tetapi asas keadilan berdasarkan fakta sentiasa menjadi pegangan ahli-ahlinya ketika membuat sebarang keputusan.

"Justeru, tidak timbul soal pilih kasih atau konspirasi politik seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Mereka tidak mudah dipengaruhi termasuk oleh pihak atasan," jelasnya.

Namun Lembaga Disiplin UMNO tidak pula mempunyai kuasa seperti yang ada pada Polis Diraja Malaysia atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memaksa saksi-saksi untuk tampil memberi keterangan dan membantu siasatan.

Disebabkan itu, adakala sesuatu kes tidak dapat diselesaikan secepat yang dikehendaki.

Jika sesuatu kes diputuskan secara tergesa-gesa tanpa bukti cukup, mereka akan berdepan dengan kecaman daripada ahli-ahli UMNO dan orang ramai.

Tiada rayuan yang berjaya

Tengku Ahmad Rithauddeen memang seorang yang tegas dan prinsip itu jelas dapat dilihat sepanjang penubuhan Lembaga Disiplin sejak 2001 bagi membanteras politik wang. Belum pernah ada kes rayuan berjaya membatalkan keputusan Lembaga Disiplin.

Berpengalaman sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dari tahun 1970 hingga 1991 selain dipilih sebagai Naib Presiden UMNO setelah mendapat undi ketiga tertinggi pada 1981, beliau dianggap sudah 'masak' dengan sepak terajang politik tanah air.

Dilahirkan pada 24 Januari 1932, sesuai dengan zodiak Aquarius - bintang si pembawa air; penampilan anak jati Kota Bharu, Kelantan ini memang bersifat ekstrovert.

Ini bermakna beliau berminat terhadap hal semasa dan gemar bergaul.

Lazimnya mereka di bawah naungan Aquarius bersifat angin. Tidak hairanlah Tengku Ahmad Rithauddeen memiliki perwatakan intelek, berupaya dalam komunikasi dan mengenal pasti punca masalah sama dengan zodiak Gemini dan Libra.

Sifat ini melayakkannya diberi amanah sebagai 'pengadil' masalah disiplin UMNO. Ditambah pula dengan latar belakang pendidikan beliau yang pernah belajar di Sekolah Penang Free yang agak terbuka dan kosmopolitan pada era Perang Dunia Kedua.

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ini menyambung pelajaran ke Universiti Nottingham dan Lincoln's Inn di London pada tahun 1954 sebelum menyertai Jabatan Kehakiman sebagai Majistret di Ipoh dua tahun kemudian.

Beliau mengahwini Tengku Puan Sri Nor Aini Tengku Ahmad Zainal Abidin serta dikurniakan Tengku Farah Lucia, 48; Tengku Feizluddin, 46; Tengku Putri Falida, 41; Tengku Farith, 37; Tengku Fadli, 34; dan anak angkat, Tini Supardi Mahmud.

Tengku Ahmad Rithauddeen menjadi Ahli Parlimen Kota Bharu ketika negara dalam darurat ekoran tragedi 13 Mei 1969. Beliau kekal wakil rakyat selama lima penggal sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum 1990 kepada calon Semangat 46.

Menyentuh mengenai imej Lembaga Disiplin, penggantungan Tan Sri Isa Abdul Samad yang dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada 2004 pasti diingati ramai.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Wilayah Persekutuan itu hilang jawatan meskipun meraih undi tertinggi dalam pemilihan Naib Presiden.

Kredibiliti keputusan lembaga itu teruji ketika rakyat jelik memandang UMNO sebagai parti yang penuh dengan gejala rasuah.

Persepsi itu berterusan malah mengakibatkan Barisan Nasional (BN) nyaris hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum 2008.

Tengku Ahmad Rithauddeen bukanlah individu yang mengejar glamor. Menurut sumber parti UMNO, beliau sendiri lebih rela kurang popular daripada menyebabkan masyarakat tidak menghormati UMNO, parti yang banyak berjasa kepada negara.

Kali ini episod sama berulang cuma senario pemainnya berbeza. Mohd. Ali 'tumbang' sebelum ke gelanggang manakala Isa pula dihukum selepas pemilihan tamat. Bagaimanapun, watak utamanya, Tengku Ahmad Rithauddeen tetap juga tidak berubah.

Pun begitu, ia bukan babak penamat kepada kerjaya politik seseorang dan sejarah membuktikan, ramai pemimpin hebat lahir setelah kecundang di pertengahan jalan.

UMNO sebagai parti dinamik turut tidak terkecuali dan itulah realitinya.