Tutorial Megat Eusofe

Blog berjudul Aku Pelukis itu menjadi medan dalam talian Megat untuk menghimpunkan pelbagai karya terkini bagi tatapan umum.




CAT minyak atau akrilik yang tebal dan timbul tenggelam adalah stail lukisannya. Ada ketikanya, dia suka bereksperimen dengan pelbagai gabungan media. Pena, pensel warna mahupun pensel turut menjadi pilihan lazimnya.

Biarpun tidak pernah menghadiri sebarang kelas lukisan secara formal atau berguru dengan mana-mana pelukis tersohor, bakat seni lelaki muda itu tetap terserlah.

Dalam sebuah blog peribadi bertemakan seni (http://www.megateusofe.blogspot.com/), Megat Eusofe, 25, senang berkongsi pengetahuannya tentang bidang seni lukis. Blog yang dinamakan Aku Pelukis itu sekali gus menjadi medan dalam talian untuk dia menghimpunkan pelbagai karya terkini buat tatapan umum.


BLOG membantu Megat merealisasikan impiannya sebagai seorang pelukis.


"Saya selalu fikir, daripada buang lukisan atau lakaran yang telah dibuat, lebih baik saya kongsi sahaja dengan orang lain. Sebab itulah blog berkaitan hobi ini ditubuhkan," katanya membuka bicara dalam satu temu bual dengan Kosmo! di ibu negara baru-baru ini.

Jika diamati, ramai setuju bahawa blog lelaki yang nama sebenarnya Muhammad Ridhuan Basaruddin Yusoff ini sangat menarik. Berbentuk seakan-akan sebuah blog tutorial, pengunjung tetap blog Megat faham dia langsung tidak kedekut berkongsi ilmu seninya.

Biasa memaparkan langkah-langkah melukis dan melakar, blog berusia sekitar dua tahun ini sudah pun menarik lebih daripada 27,000 orang pelawat dalam talian setakat hari ini.

"Menerusi blog, saya akan beritahu jenis kertas, cara memadankan warna dan pada masa sama pengunjung boleh menilai hasil kerja saya.

"Selain lukisan atau lakaran, saya juga melampirkan gambar-gambar yang telah dirakamkan untuk dikongsi bersama," jelasnya yang mengemaskini blognya dua hingga tiga kali seminggu.

Berkat kesungguhannya dalam bidang seni, rezeki juga datang bergolek. Karya pertama yang dikomisenkan sebagai hadiah hari jadi seorang penyanyi tempatan terkemuka telah memberinya 'pulangan' bernilai ribuan ringgit.

Tambahnya, potret berketinggian saiz seorang lelaki sederhana atau A1 berjudul 'Diva' itu memakan tempoh masa sebulan untuk disiapkan.

Megat yang sentiasa murah dengan senyuman berkata, dalam kebanyakan masa, teknik, gaya persembahan dan olahan karyanya dipelajari daripada pelbagai sumber.




"Bila ada duit lebih, saya akan membelanjakannya untuk membeli buku-buku berkaitan seni. Kalau bukan daripada buku, Internet pula menjadi lokasi terbaik saya untuk memperoleh ilham dan belajar sendiri.

"Kadangkala saya belajar daripada YouTube yang memaparkan langkah-langkah yang jelas dan mudah difahami," ujarnya yang juga seorang penulis sepenuh masa untuk sebuah portal remaja, www.yoyooh.com.

Meminati gaya lukisan pelukis terkemuka, Latif Maulan yang bersifat realisme, Megat mengakui dia sering menerima hadiah hari jadi berupa buku-buku berkaitan dengan seni.

Selain itu, anak kelahiran Selangor yang membesar di Melaka ini memberitahu, dia kerap mengunjungi galeri-galeri seni untuk membuat reviu. Itu pun sekadar menulis daripada apa yang diperoleh daripada risalah.

"Pada kebanyakan masa, bukan semua galeri seni membenarkan rakaman gambar dibuat. Jadi, saya cuma boleh dapatkan maklumat daripada risalah dan tulis mengikut pandangan mata saya," ujarnya.


LUKISAN bertajuk Diana.


Bercerita lanjut, Megat berkata, sasaran kumpulan pembaca blognya ialah golongan remaja yang cintakan seni. Namun, bagi yang tidak meminati dunia seni sekali pun, dia yakin lambat-laun blognya akan membuka hati mereka.

Anak kelima daripada tujuh beradik itu rupa-rupanya tidak hanya mengusahakan satu blog. Jika ada dalam kalangan pengunjung blog Aku Pelukis mengharapkan sajian lukisan atau lakaran yang lebih ringkas tetapi menenangkan jiwa, anda tidak perlu teragak-agak melayari blog beralamat http://deluqies.blogspot.com.

Sedikit berbeza dengan blog Aku Pelukis, Deluqies pula ibarat kanvas pameran lakaran atau ilustrasi berasaskan pensel oleh Megat. Blog kedua ini lahir, katanya, setelah mempertimbangkan permintaan golongan pembaca yang inginkan paparan lebih ringan.

"Dalam Aku Pelukis, saya sajikan juga luahan hati dan kata-kata falsafah yang saya minati. Jadi, ada dalam kalangan pembaca yang tidak faham. Mereka cadangkan agar saya adakan satu lagi blog yang tidak berat tetapi tetap menghiburkan.




"Sebab itulah saya masukkan kebanyakan lakaran atau ilustrasi hitam putih dalam Deluqies," jelasnya tentang blog itu yang hanya berjaya meraih sekitar 828 orang pengunjung setakat ini.

Peminat karya nukilan penyair terkemuka sastera Islam, Jalaludin Rumi, ini juga memberitahu, dia tidak menggunakan blog sebagai medan melariskan lukisannya.

Malah, katanya, seni juga tidak semestinya dibeli tetapi boleh dihargai atau dihayati menerusi blog. Lantas tidak hairanlah apabila dia memberitahu, blog seninya turut menyumbang kepada terapeutik jiwa seorang pembaca yang mengalami gangguan psikologi bipolar.

"Blogging juga satu bentuk terapi. Kadangkala kita tidak boleh agak siapa pembaca kita. Sebab itulah, saya pun tak sangka ada pesakit bipolar yang dapat manfaat selepas melayari blog saya.

"Bila dapat komen positif daripada pembaca, ia sekurang-kurangnya mengingatkan bahawa saya tidak keseorangan," ujarnya yang telah dua tahun mempamerkan hasil karya seninya di Galeri Shah Alam.

Hanya pada bayaran serendah RM20, karya-karya boleh dipamerkan selama dua hingga tiga bulan sebelum dibeli oleh mereka yang tahu menghargainya.


BLOG Aku Pelukis berjaya menarik lebih daripada 27,000 orang pengunjung dalam talian.


Belum bercadang untuk melepaskan hobinya itu, Megat berkata: "Saya suka menjadi diri sendiri di dalam blog. Di dalam blog juga, anda akan temui apa yang anda tidak ada. Misalnya, merasai sesuatu impian menjadi realiti. Dalam kes saya, menjadi pelukis adalah realitinya."