JAIS siasat video hina Islam


SALAH satu aksi lelaki dalam klip video yang didakwa
mempersendakan agama Islam yang disebarkan menerusi You Tube.


SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menyiasat klip video seorang lelaki didakwa menghina Islam seperti yang dipaparkan menerusi laman web You Tube bertajuk 'Melayu Boleh Makan Babi'.

Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, pihaknya mendapati klip video itu secara nyata menyalahi Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Penyebarannya menyalahi peruntukan undang-undang agama Islam sama ada ia disebarkan melalui buku, tulisan, ucapan dan sebagainya termasuk menerusi Internet," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rakaman selama 1.22 minit menunjukkan seorang lelaki tanpa memakai baju sujud menyembah bingkai yang kelihatan seperti ayat-ayat al-Quran sambil mengajak umat Islam memakan babi.

Lebih biadap, lelaki itu menyatakan orang Islam yang makan daging babi boleh menghapuskan dosa.

Rakaman bersama suara latar yang penuh dengan kata-kata penghinaan kepadaagama Islam dilakukan dalam sebuah lokasi tertutup.

Antara kata-kata suara latar terbabit ialah:

"Marilah kita bersama-sama makan babi yang sedap, bahawa mereka akan sudah membuang dosa jika makan. Mulai hari ini semua Melayu boleh makan babi yang sedap.''

Video tersebut juga menunjukkan lelaki terbabit mempersendakan laungan azan sebelum ia diakhiri dengan ketawa individu lain yang merakamkan aksi lelaki itu.