Menarik pelabur UK

Propertrack.com merangsang minat pelabur dari UK melalui promosi hartanah Malaysia dan program Malaysia My Second Home (MM2H).




KOTA Edinburgh yang terletak di Scotland mempunyai jarak beribu-ribu batu dengan Kuala Lumpur. Walaupun dipisahkan oleh lautan dan benua, namun ia bukan penghalang usaha sebuah laman web hartanah tempatan, propertrack.com meneroka peluang yang ada di kota yang bergelar Athens of the North itu.

Laman web hartanah di United Kingdom (UK), propertrack.co.uk amat menekankan potensi yang meluas dalam pelaburan industri hartanah tempatan.

Ia juga mempromosikan keistimewaan skim persaraan, Malaysia My Second Home (MM2H) di seluruh UK.

Menurut Pengarah Bersekutu Asia Move Machine Sdn. Bhd. yang juga pemilik jenama propertrack.com, Mohd. Hisham Saleh, beberapa langkah rangsangan berkaitan dengan industri hartanah seperti yang dibentangkan dalam bajet mini oleh Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, bakal memberi impak positif kepada pelabur antarabangsa khususnya dari UK.

"Inisiatif ini dijangka dapat menggalakkan minat mereka untuk cuba memahami secara lebih terperinci tentang kelebihan pelaburan hartanah tempatan," katanya kepada Kosmo!.


MOHD. HISHAM SALLEH


Dengan adanya laman maya terbaru itu, beliau berharap ia dapat membantu warga UK terutama warga emas Edinburgh memahami program MM2H yang telah menjalani penjenamaan semula baru-baru ini.

"Buat masa ini, pusat pemasaran hartanah kami di Jalan Pinang, Kuala Lumpur menerima antara 20 hingga 25 pertanyaan dari luar negara berkaitan perkara tersebut.

"Kami menjangka peningkatan ini akan berterusan terutama di kalangan warga asing untuk mendapat status penduduk tetap sekiranya mereka berkelayakan tinggi, berkemahiran dan melabur lebih daripada AS$2 juta (RM7.2 juta) di negara ini," jelas Hisham mengenai langkah terbaru kerajaan Malaysia yang amat menggalakkan itu.

Tambahnya: "Kita sekarang berada dalam industri pasaran hartanah global. Dengan adanya penerbangan tambang murah ke luar negara, pelaburan hartanah kini tiada lagi sempadan. Ini adalah masa yang paling sesuai untuk memperkenalkan Malaysia ke serata dunia, terutamanya melalui program MM2H."


PEJABAT jualan propertrack.com yang terletak di Jalan Pinang, Kuala Lumpur ini banyak mengiklankan hartanah yang boleh dimiliki di Malaysia.


Dengan adanya laman web UK itu, propertrack.com turut membuka sebuah pejabat perkhidmatan di Edinburgh. Namun, katanya, semua urusan berkaitan masih diselia oleh pusat pemasaran hartanah di Jalan Pinang, Kuala Lumpur.

"Kami telah melabur lebih daripada RM2 juta sepanjang dua tahun lalu untuk menyelidik dan membangunkan pusat pemasaran hartanah, membuka laman web dan mewujudkan sistem sokongan yang dibina khusus untuk menyokong pasaran hartanah tempatan. Kami juga akan terus berusaha mempelbagaikan lagi perkhidmatan kami pada masa akan datang," ujarnya.

Setakat tahun lalu, propertrack.com menyaksikan perubahan dari segi kualiti dan demografi pengguna yang datang dari pelbagai negara dan kerakyatan seperti Korea, Jepun, China, Afrika Selatan dan Timur Tengah termasuk dari UK, Ireland dan negara-negara Eropah yang lain.

"Ini adalah salah satu sebab mengapa kami menggunakan propertrack.com Langkah seperti ini akan dapat menguar-uarkan lagi keunikan program MM2H yang telah melalui penjenamaan semula baru-baru ini," komen Datuk Kamaruddin Abu selaku Pengerusi Malvisa (MM2H) Sdn. Bhd. dan juga bekas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di UK.

Sementara itu, Presiden Institut Ejen Estet Malaysia (MIEA), K. Soma Sundram turut melahirkan sokongan terhadap usaha yang dilakukan oleh propertrack.com.

"MIEA menyokong penuh usaha propertrack.com yang telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Saya yakin dengan laman sesawang UK terbaru itu, ia akan menjadi salah satu langkah berkesan dalam mempromosikan hartanah Malaysia terutama di UK. Saya menjangka ia bakal memberi manfaat terutama kepada program MM2H," katanya.