Ditaja dermawan Cina

Ditakdirkan untuk menjadi seorang pemuzik, S. Atan mengasah bakatnya sejak darjah satu lagi. Kini beliau memperoleh royalti RM60,000 setahun daripada muzik yang diciptanya.


S. ATAN sudah mengenali penulis lirik Seri Bayu (kanan) atau nama sebenarnya Jamaludin Sulik sejak 25 tahun lalu.


BAYANGKAN anak Melayu memulakan persekolahan di sebuah sekolah Cina pada tahun 1959 di negara yang dikenali sekarang ini sebagai Singapura.

Sudah tentu ia suatu perkara yang unik. Namun, keunikan itulah yang telah membawa tuah buat karyawan muzik yang sudah menjalani kehidupan di dunia penuh pancaroba ini genap enam dekad.

Datuk Siti Nurhaliza, Tan Sri SM Salim, Datuk DJ Dave, Jamal Abdillah, Carefree, Black Dog Bone dan Allahyarham Sudirman Haji Arshad, itu antara nama popular yang pernah mengalunkan hasil kreativitinya yang kini mencecah melebihi 1,000 karya lagu.

"Syukur alhamdulillah, saya mampu memperoleh kira-kira RM60,000 setahun hasil daripada royalti lagu-lagu saya itu," akui Hashim Said atau nama popularnya, S. Atan.


S. ATAN dan penyanyi Dayangku Intan ketika membuat rakaman di studio Singapura.


Kenyataan yang keluar dari mulutnya itu bukan bertujuan untuk bermegah-megah, tetapi itulah 'bayaran' yang diterima hasil penat lelah bergelar komposer lagu sejak tahun 1972 selain menjadi penulis lirik, penerbit dan pemuzik.

Penerima Anugerah Nadi Cipta pada malam Anugerah Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) ke-13 pada tahun lepas itu menyambung bicara, "Namun, bukan wang yang dikejar saya ketika menghasilkan karya lagu-lagu saya dulu. Tak pernah terfikir pun. Semua itu dilakukan kerana minat. Nasib baik sekarang ada MACP yang memperjuangkan hak karyawan muzik seperti saya ini."

Justeru, apakah kaitan sekolah Cina dengan diri S. Atan pada usia yang kini mencecah 60 tahun itu?

Dilahirkan di Singapura pada tahun 1949, S. Atan yang dibesarkan di Kampung Kuchai, Geylang Serai memasuki darjah satu di sebuah sekolah aliran Melayu iaitu Sekolah Rendah Gulimard.


KETIKA berusia 17 tahun, S. Atan memulakan kariernya sebagai pemuzik di hotel pada sebelah malam dan belajar muzik secara profesional pada sebelah siang.


"Saya menimba ilmu di Sekolah Rendah Gulimard sehingga darjah tiga apabila bapa kemudian mengambil keputusan supaya saya bertukar ke sekolah aliran Cina yang dikenali sebagai Happy Garden School.

"Namun, saya telah rugi selama tiga tahun kerana di Happy Garden School saya perlu memulakan persekolahan dengan masuk darjah satu semula," jelasnya yang ditemu bual di kediamannya di Kajang baru-baru ini.

Menurut S. Atan, bapanya yang bertugas sebagai pengajar bagi individu yang mahu mendapatkan lesen memandu kapal mahu dia mengikut jejak langkahnya.

"Bapa pandai bertutur dalam bahasa Cina, jadi dia mahu saya mengikuti jejak langkahnya. Sebab itu saya dan abang saya, Hussein, dimasukkan ke sekolah aliran Cina," ucap bapa kepada lima orang anak itu.


S. ATAN (kanan sekali) ialah sepupu Ramli MS (kiri sekali).


Walau bagaimanapun, sudah ditakdirkan S. Atan dilahirkan untuk menjadi pemuzik. Dia selalu belajar bermain alat muzik seperti akordian dan bongo dengan bapa saudaranya, Mohamed Salleh yang juga bapa kepada pengarah muzik terkenal, Ramli MS.

"Biarpun matlamat bapa memasukkan saya ke Happy Garden School supaya saya mengikut jejak langkahnya, namun tanpa dijangkanya sekolah itu menjadi tempat saya menimba ilmu untuk menjadi pemuzik. Ini kerana Happy Garden School turut menitikberatkan ilmu mengenai muzik.

"Justeru, sejak di sekolah rendah lagi saya sudah ada asas muzik yang diperlukan oleh setiap individu sebelum bergelar pemuzik iaitu apa yang dikenali sebagai soul fage," tuturnya.

Dalam pada dia berusaha mengasah bakat muziknya, S. Atan ditimpa malang.

"Hanya saya dan abang orang Melayu dari kampung kami yang bersekolah di Happy Garden School ketika itu. Namun, ketika saya berusia 11 tahun, masa saya baru darjah dua di sekolah itu, bapa telah meninggal dunia," ujarnya.

Menyambung cerita kisah silamnya itu, beritahu S. Atan, selepas kematian bapanya, dia dan abangnya tetap meneruskan persekolahannya di situ biarpun keluarganya mulai kesempitan wang.


BARISAN warga Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) bergambar dengan S. Atan semasa di Taiwan.


"Nasib baik ada seorang lelaki Cina yang budiman dan dermawan datang dari Kuala Lumpur melawat sekolah saya. Apabila dia mengetahui hanya saya dan abang orang Melayu yang bersekolah di situ, dia telah bermurah hati menaja persekolahan kami berdua sehingga tamat sekolah rendah.

"Saya tidak ingat namanya, tetapi yang saya ingat dia menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM144 sebulan bagi menampung persekolahan saya dan abang."

S. Atan kemudian menyambung pelajaran ke Sekolah Menengah Dunman. "Namun, saya hanya belajar sampai tingkatan empat dan tidak dapat meneruskan persekolahan kerana kesempitan wang," akuinya.

Tidak melihat apa yang menimpanya itu sebagai penamat tetapi sebaliknya pemula dalam usaha mengejar cita-citanya sebagai pemuzik, S. Atan lalu bekerja sambil belajar.

"Pada usia 17 tahun, saya mulai bekerja sebagai pemuzik di Sky Hotel di Johor Bharu pada sebelah malam, sementara di sebelah siang saya belajar muzik," katanya yang bermain akordian dan piano ketika membuat persembahan di hotel tersebut.

"Disebabkan saya pandai bercakap bahasa Cina, saya dianggap sebagai pemimpin pemain muzik di hotel tersebut. Gaji sebanyak RM700 sebulan yang diterima saya boleh dianggap tinggi pada era penyanyi A. Ramlee sedang popular ketika itu," kenang S. Atan.

Dengan pengalaman muzik yang ada pada dirinya, S. Atan kemudian diterima bekerja dengan Singapore Broadcasting Corporation (SBC) yang ketika itu menaungi empat stesen radio dan sebuah saluran TV.

"Di SBC, saya menjadi pemimpin orkestra Kalungan Nada. Jika pada ketika itu Ahmad Nawab dengan kombo muzik RTM di Kuala Lumpur, saya pula dengan kombo muzik saya itu di Singapura," jelasnya yang hanya bekerja dengan SBC di sebelah siang, sementara masih meneruskan kerja sebagai pemuzik di Sky Hotel pada sebelah malamnya.

Dia akhirnya mengambil keputusan berhenti kerja di SBC dan di Sky Hotel apabila menyertai syarikat rakaman EMI Singapura. "Ketika menyertai EMI Singapura, saya baru berusia 22 tahun. Jika sebelum ini saya lebih banyak membuat persembahan menerusi lagu-lagu Cina, namun di EMI saya mula berkarya menghasilkan lagu-lagu Melayu pula," ujarnya.

Masa berlalu, dia kemudian dihantar bekerja dengan EMI cawangan Kuala Lumpur di Malaysia dengan kontrak selama dua tahun dari 1987 hingga 1989.

Sebelum itu, pada 1986, S. Atan menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwini seorang gadis Malaysia, Norizan Yeob, kini berusia 45 tahun.

"Saya kemudian berhenti bekerja dengan EMI kerana ditawarkan bekerja dengan sebuah studio muzik di Taiwan. Saya bekerja di sana sehingga 1991 dan antara penyanyi terkenal Taiwan yang mendendangkan karya saya termasuklah Eko," bicaranya lagi.

"Pada 1992, saya kembali ke Malaysia dan bekerja di RTM selama lima tahun sehingga 1997, sebelum kembali bekerja di Singapura selama dua tahun. Pada tahun 1999, saya kembali bekerja di Malaysia," ujarnya yang memperoleh kerakyatan Malaysia pada 2001 selepas membuat permohonan pada 1987.

Mengenang kembali kegemilangan seorang S. Atan, biarpun menghasilkan pelbagai genre lagu, menurutnya, dia sememangnya seorang yang bangga dan teruja dengan irama Melayu asli, terutamanya lagu-lagu joget.

Lagu duet Siti Nurhaliza dan SM Salim, Pandang-Pandang, Jeling-Jeling dan Joget Kenangan Manis dendangan Sudirman menjadi antara bukti kegemilangan S. Atan yang turut dijemput sebagai pemuzik undangan khas pada konsert Black Dog Bone di Panggung Sari, Istana Budaya dari 8 hingga 10 Mei ini.

Pensyarah muzik sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu turut prihatin dengan senario penciptaan lagu masa kini.

Katanya: "Bagi saya, komposer hari ini ada yang tidak tahu hala taju. Saya sedih melihat ada komposer yang mencampur-adukkan elemen muzik Barat dan dinyanyikan dalam bahasa Melayu lalu mendakwa lagu itu mereka yang hasilkan.

"Sedangkan sebagai orang Melayu, kita kena sentiasa pertahankan keaslian lagu Melayu kita."