5 ahli Geng Ipol temui ajal


SALAH seorang daripada ahli Geng Ipol yang ditembak mati.


SUNGAI BULOH - Nasib lima penjenayah anggota Geng Ipol yang selalu menanggal baju dan memakai tangkal setiap kali melakukan samun atau pecah rumah kononnya sebagai pelindung berakhir dengan kesemua mereka ditembak mati polis semalam.

Kumpulan yang memiliki senjata api dan mula aktif dalam kegiatan jenayah enam bulan lalu mati ketika mereka sedang berehat dan memasak di sebuah pondok yang terletak di kawasan hutan di Kampung Bahagia, Bukit Lagong di sini.

Polis yang memeriksa mayat ahli kumpulan itu mendapati beberapa ahlinya memakai tangkal yang berupa kertas bertulisan Jawi yang digulung.

Ipol merupakan nama popular ketua kumpulan tersebut yang berusia 30-an. Suspek itu menjadi buruan polis dan dianggap berbahaya kerana memiliki senjata api.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menyerbu sebuah pondok di dalam belukar di kawasan bukit di Kampung Bahagia.

"Pondok itu dipercayai menjadi markas kepada kumpulan itu untuk berlindung selain merancang jenayah mereka.

"Ketika serbuan, kelima-lima suspek itu sedang berehat selain ada di antara mereka memasak di dalam pondok tersebut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian malam tadi.

Menurut beliau, salah seorang suspek bertindak melepaskan tembakan ke arah sepasukan polis ketika mereka diminta menyerah diri.

Melihat tindakan agresif itu, anggota polis itu terpaksa membalas tembakan ke arah penjenayah itu menyebabkan kesemua mereka yang ada di dalam pondok itu terbunuh.

Khalid memberitahu, pemeriksaan di pondok itu menemui sepucuk pistol jenis revolver .32 dan beberapa senjata tajam termasuk parang yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah pecah rumah dan samun.

Polis juga merampas sejumlah wang tunai, barangan kemas, telefon bimbit dan dua beg komputer riba dipercayai hasil samun.