BDB masih 'panas'


PUTIH bersih menjadi pilihan sekali gus menyampaikan mesej bahawa cinta dan minat mereka kepada muzik dan lagu tulus ikhlas.


HAMPIR tiga dekad menghilangkan diri, kumpulan Black Dog Bone yang ditubuhkan pada tahun 1973 mungkin tidak lagi aktif dalam bidang muzik. Namun, ini bukannya bermaksud mereka sudah dilupakan.

Sejak dibubarkan pada tahun 1981, lagu-lagu popular mereka masih rancak dimainkan di corong radio. Maka, tidak keterlaluan jika menyatakan Black Dog Bone turut berjaya menambat hati pendengar generasi baru.

Apabila berita mengenai konsert Black Dog Bone diumumkan bulan lalu, ramai peminatnya berasa teruja. Maklumlah sudah lama tidak mendengar khabar dan menyaksikan persembahan kumpulan itu secara live.


PEMINAT jauh dan dekat sama-sama belayar ke masa lampau, mengenang nostalgia silam.


Malah ramai yang tidak pernah menyangka selepas 36 tahun ditubuhkan, mereka masih mempunyai peluang untuk menyaksikan Black Dog Bone dalam konsert yang diadakan sempena sambutan Hari Ibu.

Turut dijayakan bersama Jay Jay dan Rahim Othman pada 8 hingga 10 Mei lalu, konsert itu diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang dikendalikan oleh konduktor tersohor Mustafa Fuzer Nawi. Bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), tarikan Black Dog Bone terbukti masih kuat apabila ketiga-tiga konsert itu sesak dengan peminatnya.

Dianjurkan oleh Istana Budaya, Boxoffice Malaysia dengan kerjasama Utusan Melayu (M) Berhad, kesemua anggota Black Dog Bone, Jatt selaku penyanyi dan pemain drum, Izhar (gitar), Masron Ali (trompet dan trombon), Hamid Ahmad (bass), James Chai (tenor, saksofon, flute dan tamborin) dan Michael Heng (keyboard) ternyata masih mampu menghiburkan.

Persembahan yang dimulakan pada pukul 8.30 malam menyaksikan Jay Jay mendendangkan seleksi lagu-lagu popular dari album solo dan juga zaman kegemilangannya bersama kumpulan Carefree. Berlatar belakangkan kumpulan OSK, Jay Jay menyampaikan lapan buah lagu.


JAY JAY yang berkongsi pentas dengan Black Dog Bone juga memancarkan aura hebatnya.


Antaranya termasuk Dendangan Laguku, Bayangan Tarimu, Cukuplah Sekali, Belaian Jiwa, Kini Baru Kau Sedar, Rindu Bayangan dan Joget Angan Tak Sudah. "Biasanya saya hanya berpeluang untuk menyanyi dengan akustik gitar. Malam ini saya amat bangga kerana dapat menjalankan persembahan bersama OSK," kata Jay Jay.

Sejurus selesai sahaja persembahan Jay Jay, Rahim Othman muncul di atas pentas dengan memainkan flute. Menghadiahkan penonton dengan lagu Mission Impossible dan Doa, Rahim yang merupakan komposer terkenal juga memainkan lagu Untukmu Ibu. Menariknya lagu itu disempurnakan lagi dengan suara Jay Jay dan Jatt.

Saat figura bernama Jatt muncul di pentas, ini bermaksud Black Dog Bone bakal menakluki pentas. Menyuntikkan elemen retro yang boleh dilihat menerusi pakaian penari serta hiasan pentas, konsert itu telah mengembalikan semula memori kegemilangan Black Dog Bone.


PENTAS Istana Budaya menyaksikan bahawa Black Dog Bone tidak pernah mati atau kering idea setelah lebih 36 tahun menghambakan diri kepada dunia seni.


Hubungan akrab antara ahli kumpulan jelas kelihatan walaupun sudah lama tidak bekerjasama di pentas. Namun, disebabkan mereka sering bertemu, keserasian banyak membantu mereka kembali bersatu atas minat terhadap muzik.

Menjalani latihan sepenuhnya di Singapura sebelum persembahan, mereka memulakan persembahan dengan lagu Malam Kenangan. "Apa khabar semua? Gembira rasanya dapat bertemu dengan peminat Black Dog Bone.

"Kami amat gembira kerana anda belum melupakan kami. 30 tahun tidak bertemu, kami berbangga untuk mengadakan konsert di IB," kata Jatt.

Berasa terkejut selepas mendapat undangan daripada pihak penganjur, mereka yang turut terkenal dengan pelbagai genre lagu termasuk rock, pop, balada, joget, disko dan dangdut mengubati rindu peminat dengan seleksi lagu-lagu popular mereka.

Lagu Si Gadis Ayu, Zai, Lupakan, Diganggu Kenangan dan Nani Adikku Sayang disampaikan dengan penuh perasaan. Bijak berinteraksi dengan audiens, Black Dog Bone menjadikan keseluruhan konsert lebih mesra.


KEUNGGULAN orang lama dibuktikan dengan persembahan penuh pesona Black Dog Bone.


Apa yang menarik adalah hampir semua lagu yang dicipta mereka mempunyai cerita di sebaliknya. "Semasa kami membuat persembahan di Taiwan, kami berdepan dengan masalah makanan.

"Disebabkan tidak dapat tahan lapar, saya memasak nasi goreng. Tetapi nasi itu hangus dan saya terpaksa makan juga kerana lapar. Masa itu saya teringat kepada orang yang disayangi," kata Jatt mengenai lagu Sayang.

Meneruskan persembahan mereka dengan lagu Nasi Goreng, Joget Hati Jujur dan Joget Bujang Di Rantau, Black Dog Bone mengajak penonton menari bersama mereka. Keseronokan terpancar di muka audiens apabila mereka menanggalkan perasaan malu dan menari di hadapan pentas.

Selepas bergembira, kumpulan yang pernah membuat persembahan di Belanda dedikasikan lagu Untuk Ibu kepada ibu masing-masing. "Ibu merupakan inspirasi kepada kami. Mereka ialah insan yang perlu dihormati. Lagu ini adalah khas untuk mereka," ujar Jatt.

Tidak berhenti di situ, lagu Geram, Rilek, Bahagia dan Derita, Bila Rindu dan Hatiku Luka Lagi mengisi ruangan IB. Lontaran suara Jatt tidak dinafikan masih lagi bagus seperti dahulu. Lantang, jelas dan bertenaga, Jatt sedikit pun tidak kelihatan letih walaupun diperlukan untuk menyampaikan 18 buah lagu.

Menghampiri penghujung konsert yang berlangsung selama dua jam, Black Dog Bone memilih untuk menyampaikan lagu Dulu dan Sekarang. Namun, mereka tidak dapat menutup tirai tanpa menghadiahkan lagu Khayalan.

Sungguhpun sudah selesai menjalankan tugas, audiens yang hadir ternyata belum cukup puas. Barangkali, selepas konsert ini, mereka tidak pasti sama ada masih berpeluang untuk menyaksikan Black Dog Bone sekali lagi. Apa yang pasti, Black Dog Bone akan terus dirindui.