Raja, Ratu Pecut baru MSSM


MUHYIDDIN YASSIN diperkenalkan kepada wakil-wakil kontinjen pada majlis perasmian
Kejohanan Olahraga MSSM di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.


CUACA mendung dan hujan lebat di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam sedikit mengganggu konsentrasi atlet-atlet yang bertanding dalam acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) ke-51 semalam.

"Dengan keadaan cuaca hujan dan trek yang basah, ia agak menyukarkan perlumbaan hari ini. Bagaimanapun, saingan agak kuat juga daripada lain-lain peserta.

"Saya tidak menyangka yang saya akan menang," kata Ambrose Jilom, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Riam Road, Miri.

Ambrose yang mewakili Sarawak, mencatat masa 10.98 saat untuk memenangi acara pecut 100m lelaki kategori bawah 18 tahun. Dia diekori rapat pelari dari Perak, P. Cyrus Krishnen yang ketinggalan 0.01 saat.

Pelajar yang mendapat bimbingan bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek itu berkata, dia agak kecewa kerana tidak dapat melakukan catatan masa yang lebih baik atau menyamai catatan terbaik peribadinya iaitu 10.80s.

Pingat gangsa acara itu menjadi milik Mohd. Azlan Abu Bakar dari Pulau Pinang dengan mencatat masa 11.01s.

Sementara itu, dalam acara 100m wanita bawah 18 tahun, Siti Nurhayati Zulkifli dinobatkan sebagai juara selepas mencatatkan masa 12.23s.

"Pada peringkat akhir petang tadi, saya tidak pasti sama ada saya mampu sekurang-kurangnya mengatasi rekod peribadi saya yang dicatatkan pada peringkat separuh akhir pagi tadi dengan catatan masa 12.19 saat," kata pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu.

Rekod MSSM bagi acara itu masih dipegang oleh Nik Norazura Nik Mahmud dari Terengganu pada 1999 di Kota Kinabalu, Sabah dengan catatan masa 12.09s.

Nurhayati akan meneruskan cabaran dalam acara 200m yang dijadualkan hari ini.

"Catatan terbaik saya dalam 200 meter ialah 25.52s dan saya yakin mampu mengatasi rekod itu esok (hari ini) sekiranya cuaca mengizinkan," katanya.

Dalam kategori bawah 15 tahun, Harith Ammar Mohd. Sobri dari Terengganu dan Jarmella Washif dari Sabah, masing-masing mencatat masa 11.06s dan 12.67s untuk dinobatkan selaku juara.

Dalam kategori bawah 12 tahun lelaki, Seng Teik Chuan muncul juara selepas mencatat masa 12.22s.

Kategori bawah 12 tahun perempuan pula dimenangi pelari dari Kedah, Nor Ashikin Md Isa dengan catatan masa 13.58s.