Gerak Khas terkena 'sumpahan'?




TAHUN ini, drama bersiri popular yang cukup sinonim dengan Datuk Yusof Haslam, Gerak Khas genap satu dekad bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ia bukan sahaja berjaya meraih rating yang tinggi tetapi juga telah mengumpul hampir jutaan penonton setia. Rentetan pencapaian gemilangnya, drama terbitan Skop Production Sdn. Bhd., itu telah mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records sebagai drama bercorak kepolisan paling lama disiarkan di kaca televisyen.

Meskipun drama itu menampilkan kesempurnaan setiap watak yang dipegang para pelakon sebagai polis di TV, namun hakikatnya mereka tetap manusia biasa dan tidak sempurna sepertimana watak yang dilakonkan mereka.

Jika penonton setia Gerak Khas beranggapan kehidupan di alam realiti setiap pelakon drama bersiri itu sama seperti karakter lakonan mereka, ia ternyata tidak benar sama sekali.

Lihat sahaja kontroversi yang tercipta oleh sebahagian pelakon yang membintangi drama itu.


AC MIZAL dikatakan terkeluar daripada Gerak Khas gara-gara isu perceraiannya.


Bermula daripada pelakon, penyanyi dan pengacara, AC Mizal yang memegang watak paling popular iaitu Inspektor Mazlan akhirnya terkeluar daripada Gerak Khas disebabkan kontroversi penceraiannya yang kononnya tidak disukai kebanyakan penonton.

Ia kemudiannya diikuti dengan kontroversi paling hangat tahun lalu iaitu kes tangkap khalwat pelakon Norman Hakim yang memegang watak Asisten Supritendan (ASP) Aris bersama pelakon Memey Suhaiza.

Kes khalwat tersebut juga telah membawa kepada penceraian kali kedua Norman dengan isterinya Abby Abadi yang juga salah seorang pelakon drama Gerak Khas yang memegang watak sebagai ASP Aleeza. Impak daripada kontroversi tersebut, karakter ASP Aris dihentikan.

Namun, kisah duka Gerak Khas tidak terhenti di situ sahaja, apabila penonton setianya dikejutkan pula dengan laporan mengenai pelakon yang memegang watak sebagai Detektif Lim, Farid Amirul Hisham Wu Abdullah didakwa atas tuduhan mencuri dua buah buku di kedai buku MPH di pusat membeli-belah Mid Valley pada 27 Mac lalu.


SELEPAS 10 tahun bersiaran, Gerak Khas sudah banyak mengalami pelbagai kontroversi yang menggemparkan ramai.


Jika di Hollywood filem-filem yang dihinggap masalah atau malapetaka termasuk yang membabitkan kematian para pelakonnya seperti filem Poltergeist, Batman, Atuk dan banyak lagi dikaitkan dengan sumpahan, namun adakah Gerak Khas juga boleh diletakkan dalam kategori yang sama?

Sama ada terkena sumpahan atau badi, namun tidak seperti filem-filem Hollywood tersebut, Gerak Khas sebaliknya berjaya meneruskan hayatnya. Penerbitan drama popular itu tetap diteruskan seperti biasa dan sehingga kini ia masih mempunyai bilangan penonton yang mencecah satu hingga dua juta penonton dalam setiap episod yang disiarkan.

Bagi mengupas hal berkaitan isu kontroversi pelakon drama ini, Kosmo! menemu bual Pengarah Urusan Skop Production Sdn. Bhd., yang juga penerbit drama itu, Datuk Yusof Haslam.

Nampaknya kejayaan drama Gerak Khas disulami pelbagai kontroversi yang membabitkan para pelakonnya yang sering keluar masuk mahkamah. Komen Datuk?


NORMAN HAKIM


Kita sebagai manusia berdepan dengan manusia akan berlaku perkara yang tidak disangka. Tentang soal peribadi para pelakon saya tidak pernah masuk campur. Saya hanya bagi nasihat apa yang patut, yang lain saya serahkan pada mereka.

Namun, kontroversi membabitkan pelakon Gerak Khas seperti tidak habis-habis, terbaru membabitkan Farid Amirul. Adakah dia akan terus bersama Gerak Khas?

Dia masih berlakon lagi dan masih ada kontrak dengan Skop Production. Dia antara pelakon yang memberi komitmen tinggi. Tentang kes itu, rasanya tidak adil untuk saya menjatuhkan kesalahan padanya sedangkan mahkamah pun belum jatuhkan hukum lagi. Setakat hari ini, dia masih lagi bekerja dengan kami seperti biasa, tiada apa yang berubah.

Jika diteliti, seperti ada badi yang terkena pada pelakon Gerak Khas. Apa pandangan Datuk?

Bukan badi, kalau nak ikutkan hanya segelintir sahaja kes yang membabitkan pelakon Gerak Khas, tetapi dugaan yang terpaksa saya hadapi telah bermula sejak awal pembikinan drama ini pada tahun 1999. Cuma tidak dihebohkan kerana tidak membabitkan artis, kalau nak cerita satu persatu sampai esok pun tidak habis.

Kalau dilihat semula, setiap pelakon yang terbabit dengan kontroversi pasti direhatkan sementara ataupun diberhentikan terus sedangkan mereka masih diminati dalam drama Gerak Khas.


FARID AMIRUL HISHAM WU ABDULLAH


Isu direhatkan sudah timbul sejak kes AC Mizal lagi. Ketika itu dia ada masalah rumah tangga dan mendapat liputan meluas media dan sangat kecoh, jadi saya terpaksa rehatkan untuk beri ruang padanya. Maka, isu merehatkan pelakon Gerak Khas bukan perkara baru.

Selepas ketiadaan Norman, kekosongannya telah digantikan dengan watak baru iaitu Inspektor Ashraf yang dilakonkan oleh Zulkifli Ariffin. Kenapa Norman dibuang daripada barisan pelakon Gerak Khas?

Saya tidak pernah buang Norman, saya antara penerbit yang sangat susah nak buang orang, kalau tidak bagaimana Gerak Khas mampu bertahan sehingga 10 tahun. Saya gantikan Norman dengan Zulkifli.

Jadi kenapa watak Norman dihentikan?

Memang kami bagi tempoh rehat selama tiga bulan tetapi selepas itu dia botakkan kepala kerana bernazar. Dalam keadaan kepala botak dia ada berlakon dalam drama lain yang memerlukan dia kekal dengan imej botak. Tetapi untuk Gerak Khas saya minta dia panjangkan semula rambutnya dan beri tempoh dalam dua bulan, malah cuba menghubunginya tetapi tidak ada jawapan daripadanya. Jadi, saya anggap dia tidak berminat dan wataknya dihentikan bukannya dia dibuang.

Walaupun Gerak Khas menampilkan imej yang bersih bagi setiap wataknya, tetapi hakikatnya kisah para pelakonnya tidak sebaik yang digambarkan dalam drama. Ia sedikit sebanyak telah membuatkan peminat drama ini kecewa.

Saya faham sepanjang 10 tahun penonton bersama Gerak Khas, watak-watak dalam drama itu sudah sebati dengan mereka tetapi penonton kena faham yang berlakon itu bukannya polis, mereka hanya memegang watak polis. Di luar drama mereka manusia biasa yang mempunyai masalah dan masalah mereka pula sering mendapat perhatian media kerana mereka seorang pelakon.

Tidak serik mengambil pelakon yang mempunyai masalah?

Masalah sentiasa ada, kalau tidak kerana orang lain, diri kita pula yang buat masalah, itu resam kehidupan. Cuma saya ingin pesan pada para pelakon supaya tidak membawa masalah peribadi ke set penggambaran tetapi kadang-kala masalah peribadi itu terlalu besar untuk digambarkan.

Tidak bimbang Gerak Khas ini tidak diminati impak kontroversi para pelakon?

Kejayaan Gerak Khas bukan terletak pada saya atau pelakon. Saya rasa barisan pelakon sentiasa bertukar, jadi isu kontroversi itu tidak timbul. Masalah mereka di luar tidak ada kaitannya dengan watak yang mereka bawakan. Gerak Khas mendapat rating paling tinggi bukan disebabkan kontroversi tetapi kerana mendapat sokongan daripada penonton.