Bayaran band indie cuma RM50?


KL Indie Fest pernah mendapat sokongan hebat penonton.


KEMUNCULAN band indie sekarang sudah dianggap satu fenomena. Kumpulan Meet Uncle Hussain misalnya bahkan telah menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-23 baru-baru ini menerusi Lagu Untukmu.

Beberapa band indie turut menjadi hit dengan taruhan lagu-lagu mereka di radio. Nama Hujan, Estranged malah penyanyi solo Yuna, sudah biasa di bibir khalayak, begitu juga lagu mereka.

Namun jika jarum jam diputarkan ke belakang, pasti ramai yang kasihan atau kagum.

Ada band yang muncul merangkak-rangkak mencari telinga yang dapat memahami muzik mereka.

Malangnya ketika mereka bersusah payah membina nama, ada pula pihak yang menangguk di air keruh. Band-band ini sering dibayar dengan harga yang tidak setimpal.

Realitinya apabila satu pesta muzik diadakan, harga yang dibayar untuk artis luar atau arus perdana mencecah lima angka sebaliknya grup indie paling tinggi pun empat angka atau kurang. Itu belum lagi menyentuh soal pengangkutan dan kemudahan yang disediakan.

Pedulikan kalau ia persembahan gig kerana bajet penganjur sememangnya kecil. Tetapi bagaimana untuk sebuah pesta berbajet besar tetapi bayaran untuk mereka tidak berbaloi?

Hakikatnya, band-band indie inilah yang menjadi faktor penarik kehadiran penonton.


KINI semakin kerap pesta muzik menjemput grup indie.


Senario ini jika dibiarkan boleh mengganggu perjalanan kreatif anak-anak seni ini. Macam mana hendak bergerak kalau ada sekatan kewangan?

Eksploitasi dengan niat baik?

Grup yang namanya sedang meningkat naik, Pesawat, mengakui keadaan itu turut menimpa mereka. Bukan sekadar bayaran tetapi juga tahap layanan yang diberikan kepada artis yang bergelar band indie.

Adakalanya mereka berasa bagai langit dan bumi terhadap layanan yang diberikan kepada artis arus perdana dan pemuzik indie.

Tahap bayaran diakui masih menyedihkan. Hujah mereka, ini terjadi kerana grup indie meletakkan antusias dalam menyampaikan karya sebagai matlamat utama hingga akhirnya ada yang mengeksploitasi dengan membayar seminimum mungkin.

"Semuanya berbalik kepada perniagaan juga," setuju mereka. Bukan setakat di pentas, senario ini juga berlaku ketika media muzik baru iaitu muat turun lagu daripada Internet dan nada dering telefon menjadi kegilaan ramai. Ini juga menjadi cabaran kepada grup-grup indie.

Zac yang mewakili grup Komplot menganggap eksploitasi dengan niat yang baik akan membantu menaikkan kesedaran orang ramai terhadap muzik.

Namun katanya, sesetengah pihak menggunakan jenama indie sebagai batu loncatan untuk agenda mereka.


PILGRIMS


Pinta Zac, mereka bukan mahu bayaran berlebihan tetapi cukuplah memberikan yang setimpal atau sama rata.

Hujah Zac lagi, pihak penganjur harus sedar bahawa setiap grup perlu menjalani latihan dan memiliki peralatan sendiri untuk persembahan. Dan itu semua menuntut wang ringgit.

Tambahnya, pihak pengajur perlu memberi harga berpatutan dan bukan hanya berkiblatkan keuntungan semata-mata kerana sikap itu boleh membunuh masa depan kumpulan indie.

"Band-band akan jadi lebih bagus jika dibayar setimpal. Kalau setakat cukup makan, rasanya kami tidak boleh ke mana sampai bila-bila," ujar Zac.

Perlu ada pengurus

Senario yang sama turut ditanyakan kepada seorang orang lama dalam industri seni bawah tanah, Bob, daripada kumpulan Pilgrims.

Kata Bob, cerita bayaran murah ini sudah biasa dilalui jika sesebuah band itu bermula dengan gig-gig kecil yang melibatkan keuntungan yang rendah.

Namun jika sesuatu band itu memulakan tapak mereka dengan persembahan berskala besar, mereka seharusnya tahu meletakkan harga seni mereka.

Yang penting, katanya, sesebuah grup harus mempunyai pengurus untuk memantapkan lagi segala hal termasuk urusan kewangan.

"Sesebuah grup kena tegas dengan bayaran mereka. Ada orang menggunakan alasan promosi tetapi grup perlu letak harga dan tahu sebab mereka berbuat demikian.


OAG antara nama kuat yang mampu memanggil penonton ke pesta atau gig.


Aidil mewakili kumpulan Couple menyatakan mereka tidak meletakkan harga minimum atau maksimum kumpulan itu.

Apa yang penting dalam membuat keputusan menyertai persembahan atau gig adalah tempat dan ekspektasi terhadap jumlah penonton. Dari situ mereka akan meletakkan harga yang setimpal.

"Semuanya terletak kepada acara yang kami hadiri. Bagi kami bukan isu bayaran untuk satu-satu satu gig tetapi kuantiti gig atau persembahan kami.

"Biar dapat kurang tapi bila dikumpulkan banyak gig dalam satu bulan, lebih kurang juga pulangannya. Lagipun kami main di gig atau acara muzik kerana suka untuk membuat persembahan. Wang adalah bonus."

Faktor XFM

XFM (dahulunya dikenali sebagai X-Fresh) adalah antara punca lagu-lagu band indie diperdengarkan sekarang. Tidak dinafikan XFM punya jasa dalam menaikkan anak-anak band indie.


ESTRANGED antara nama yang membuka mata terhadap dunia indie.


Pengurus Rancangan XFM, Adly Syairy Ramli, menyifatkan senario band dibayar dengan harga kecil ini adalah suatu yang tidak adil.

Malah jika ada promoter yang menggunakan alasan persembahan adalah percuma, acara itu masih mempunyai penaja, jadi bayaran untuk artis haruslah setimpal.

"Mungkin sebab promoter ini rasa 'ini band indie' maka mereka tidak kisah dengan bayaran. Hakikatnya promoter harus bertanggungjawab dan memberikan layanan yang betul. Bayar atas harga sebenar mereka."

Malah menurut Adly, ramai promoter menggunakan alasan promosi grup untuk memanggil generasi indie ini di acara mereka.

Bagaimanapun hakikatnya grup-grup inilah yang menjadi daya penarik penonton dan seharusnya mereka dibayar dengan cukup setimpal.