Dieksploitasi hiburan




GENIT tubuh, lirikan mata yang tajam dan seksi seorang Zarina Zainuddin, 39, tidak pernah dilupakan khalayak yang mengenali pelakon ini sewaktu era 'panas'nya dahulu.

Siapa yang boleh lupakan sosok seksi Zarina dalam dua filem pertamanya, Sumpahan Berdarah (1989) dan setahun selepas itu menerusi Lirikan Siluman Ular yang merupakan hasil kerjasama Malaysia-Indonesia.

Kemudian berbekalkan imej seksi, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan tetapi dibesarkan di Parit, Perak ini membina nama dengan beberapa deretan filem yang masih mengeksploitasi keseksiannya untuk menambah elemen komersial dalam karya mereka.

Duduk berbicara dengan Zarina yang senang dipanggil Ina, wanita ini tidak cuba lari daripada kenyataan tentang zaman jahiliahnya dahulu. Dia akui semua kekhilafan diri - mengejar glamor, seksi tidak terbatas yang akhirnya memakan diri sendiri.

"Memang, kalau kenang semula, dulu boleh katakan saya dieksploitasi untuk komersial. Bukan salah mereka, tetapi itu juga keputusan saya. Yelah, masa muda, saya tak fikir impak negatif yang kita buat.

"Waktu itu, saya fikir mungkin orang suka yang seksi dan tidak nampak mudaratnya sebab saya muda dan sedang kejar glamor. Jadi apabila banyak tawaran datang dan semuanya memerlukan saya dalam karakter daring, saya ambil sebab saya tak ada pilihan.

"Tapi tidak lagi sekarang. Cukuplah dengan pengalaman dulu. Dieksploitasi dan tidak mempunyai fokus dalam kehidupan.

"Kini, saya hanya akan ambil tawaran yang relevan. Saya akan ambil karakter itu kerana impak positif yang akan ditinggalkan," luah Ina bersungguh.

Perjalanan hidup yang 'hitam' itu kemudian disusuli Tuhan dengan cahaya yang terus mengiringi kehidupannya sekarang. Dia harus bersyukur kerana berkahwin dengan suami yang banyak membimbing dan menyelamatkannya daripada zaman kelam.


TERKINI: Zarina senang tampil dengan imej sofistikated, lambang ibu kepada empat cahaya mata. Gambar: Zarina bersama anak keempatnya, Muhammad Adam, dua tahun setengah.


Biar bermadu, dia bahagia. "Kerana suami saya adil dan hubungan saya dengan madu akrab. Dulu saya janji pada diri sendiri untuk tidak berkahwin dengan suami orang.

"Tapi Tuhan Maha Mengetahui. Saya berkahwin dengan suami orang pada usia 22 tahun. Memang ada fasa yang menyakitkan, tetapi poligami ini seperti sebuah perkongsian yang akhirnya membawa kepada kemaafan.

"Dan kini, saya mengerti kenapa Tuhan menjodohkan saya dengan suami, kerana dia adalah pembimbing terbaik buat saya keluar daripada zaman hitam dulu," ujar ibu kepada empat cahaya mata lelaki ini bersungguh.

Begitu bahagia dengan kehidupannya sekarang, kata Ina yang membuat hatinya tambah berbunga kerana dia kini sudah kembali aktif di lokasi selepas hampir lima tahun menyepi.

Atas izin suami dan selepas anak-anak membesar, dia punya masa untuk menyambung kecintaannya dalam bidang lakonan.

Sejak Februari lalu, dia sibuk di lokasi penggambaran drama-drama seperti Katrina Camelia, Kisah Kaisara, Gerak Khas dan Noktah Pilu.

Ujarnya penuh bangga: "Paling seronok apabila kini saya menerima karakter yang lebih matang dan tidak mengeskploitasi saya lagi yang membuat saya rasa lebih dihormati."