Eksplorasi seni Mei Ying

Yeo Mei Ying yang rajin menggunakan kemudahan Internet, buku rekaan dalaman dan pelbagai sumber untuk membuat rujukan telah mencuba pelbagai teknik dan material hanya untuk memuaskan eksplorasi seninya.




DARI jauh, sebuah rak putih menarik perhatian. Di dalam setiap petak pada rak itu, tersusun bergulung-gulung kain pelbagai motif. Bilangan kain yang disusun itu seakan-akan menggambarkan pemiliknya seorang penggemar fabrik.

Selain kain, di ruang bilik yang agak luas itu juga terdapat kabinet-kabinet sewarna yang turut disusun rapi. Jika diamati secara dekat, gulungan-gulungan kain tadi hanyalah replika mini tekstil sebenar. Begitu juga dengan perkakas lain di dalam bilik tersebut.

Istimewanya, sebahagian besar barangan di dalam bilik itu termasuk gulungan kain-kain tadi juga tidak lebih daripada saiz duit syiling lima sen! Namun, barangan-barangan miniatur itu tidak dibeli terus dari kedai. Sebaliknya, setiap satunya dihasilkan oleh sepasang tangan seorang graduan diploma jurusan Pengurusan Hotel!

Minat terhadap kerja-kerja kraf tangan ini sudah sebati dengan hidup Yeo Mei Ying, 28, sejak kecil lagi. Dia yang rajin menggunakan kemudahan Internet, buku rekaan dalaman dan pelbagai sumber untuk membuat rujukan telah mencuba pelbagai teknik dan material hanya untuk memuaskan eksplorasi seninya.

"Sebenarnya, semua barangan miniatur ini saya hasilkan daripada benda-benda terpakai. Dawai, ranting kayu, penutup botol atau apa sahaja yang boleh memberi ilham. Lagipun, kebetulan keluarga saya jenis yang suka kumpul dan simpan barang-barang terbuang. Jadi, saya kitar semula.

"Macam-macam boleh dibuat dengan material terpakai. Misalnya, beg bagasi mini dan kamera bersaiz lima sen ini. Sebahagian besar bahagiannya terdiri daripada kertas atau kad kotak yang orang tak mahu lagi. Saya cuma perlu dapatkan ukuran yang betul dan material ini boleh bertukar menjadi barangan baru," katanya ketika ditemui Kosmo! dalam dua bazar berasingan yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

Mei Ying yang lebih dikenali dengan gelaran Tako dalam kalangan peminat seni kraftangannya memberitahu, membuat rujukan menerusi laman-laman seni atau klip video YouTube juga banyak membantu.


SAIZ sebahagian besar hasil kerja Tako tidak lebih daripada saiz duit syiling lima sen.


Hanya menerusi eksperimentasi berkali-kali terlebih dahulu, barulah sesuatu miniatur itu boleh dihasilkan dengan jayanya. Ini bermakna, hasil kerja yang tidak menepati pelan asal atau terbentuk secara sempurna terpaksa dibuang.

"Contohnya, waktu mula-mula membentuk kamera mini ini, saya gunakan tanah liat resin. Dalam cubaan ini, berlaku sedikit kesilapan. Jadi, banyak tanah liat resin perlu dibuang kerana resin tidak boleh guna yang terpakai," jelasnya yang berasal dari Skudai, Johor.

Setiap barangan miniatur yang telah dihasilkan ini akan disusun dalam sebuah keratan bilik buatan tangan mengikut tema masing-masing. Bilik yang dikenali sebagai Miniature Dollhouse inilah yang mempopularkan nama Tako dalam kalangan pengunjung blognya, http://www.evangelione.blogspot.com.

Di dalam blog dwibahasa (bahasa Cina dan bahasa Inggeris), gadis yang lembut pertuturan bahasanya itu juga mendedikasikan satu bahagian blognya bagi tujuan tutorial. Jika tidak terlalu sibuk dengan tugasan, dia akan memuatnaik gambar-gambar serta teknik membuat sesuatu barangan miniatur dengan pembaca.

Tako yang memulakan blog itu sejak tiga tahun lalu tidak menyangka hobi menghasilkan kraf tangan boleh bertukar menjadi punca rezeki utamanya hari ini.

"Apabila permintaan pelanggan bertambah, saya bercadang untuk membuat kraf tangan-kraf tangan ini sepenuh masa. Mak saya tidak percaya saya boleh melakukannya dan memberi saya masa setengah tahun untuk membuktikannya. Kini, mak saya akhirnya akur apabila melihat bisnes kecil-kecilan yang diusahakan dalam talian memberikan hasil yang memberangsangkan," cerita Tako.


PATUNG Audrey yang comel.


Malah, ibu bapa dan adik lelakinya kini turut menghulurkan sedikit bantuan apabila terdapat tempahan besar yang perlu disiapkan dalam masa singkat.

Miniatur-miniatur DollHouse ini boleh dibina mengikut pelbagai tema. Antara tema yang pernah dihasilkan oleh Tako adalah taman mainan, bilik tidur, bilik bacaan, bilik pameran seni dan bilik darjah.

Harga setiap Miniatur DollHouse ini boleh bermula serendah RM50 dan tiada harga maksimum kerana ia banyak bergantung pada komplikasi dan saiz yang diminta oleh pelanggan.

Menurut Tako, miniatur paling mahal yang pernah dijual adalah sebuah miniatur bertemakan Fairy-Tale, tempahan seorang pelanggannya.

"Dalam tapak miniatur malar hijau itu, terdapat banyak bidadari mini yang comel. Atmosfera miniatur itu seakan-akan sebuah taman yang cukup romantik kerana ia ditempah sebagai hadiah perkahwinan pelanggan saya. Saya mengambil masa berminggu-minggu untuk menyiapkannya," katanya sambil memberitahu, ia dijual pada harga RM450.

Selain bilik dan rumah-rumah mini yang dihasilkannya ini, Tako juga popular dengan kraftangannya yang lain. Lebih-lebih lagi sebuah patung yang diberi nama Audrey. Patung Audrey yang diilhamkan menerusi pelakon terkemuka, Audrey Hepburn itu memiliki penampilan yang cukup unik.


BLOG Evangelione menghimpunkan pelbagai hasil kraf tangan Tako.


Dengan rambut yang disikat tinggi dan besar, tubuh Audrey tampil dengan pelbagai rekaan fesyen. Patung buatan tangan Tako ini, biasanya disarungkan dengan fesyen pakaian vintaj, penampilan pelajar sekolah, cheongsam dan apa sahaja yang melintasi di ruang imaginasi Tako.

"Biasanya, orang kenal saya kerana Miniatur DollHouse tetapi hasil kraftangan sampingan yang lain adalah patung Audrey dan Long Rabbit ini. Saya ingin mendedahkan Audrey kepada lebih ramai orang supaya ia menjadi trademark yang hadir dengan pelbagai penampilan dan rekaan," katanya sambil menunjukkan beberapa barangan kreatifnya.

Patung Audrey yang berharga dalam lingkungan RM35 hingga RM80 setiap satu itu dijahit oleh Tako sendiri tanpa bantuan orang lain. Jelasnya lagi, setiap satu bahagian patung Audrey perlu dijahit berasingan sebelum dicantum menjadi satu patung penuh.

Berkat usahanya yang tidak kenal penat dan jemu, Tako akhirnya menerima satu tempahan besar daripada satu nama besar dalam industri fesyen.

"Tongue & Chic menempah sebanyak 200 anak patung Audrey tanpa pakaian yang berbeza saiz badan, warna kulit, mata, gaya rambut dan ekspresi wajah. Patung-patung ini akan digunakan oleh para pelajar rekaan fesyen Tongue & Chic untuk tujuan mereka cipta pakaian patung-patung tersebut," jelasnya yang sememangnya meminati gaya penampilan Audrey Hepburn.

Dia biasanya memilih material kain jenis linen dan fabrik bermotifkan gaya Jepun untuk pakaian patungnya sekali gus membuatkan patung Audrey kelihatan berkonsepkan Asia tetapi disulami dengan cita rasa Barat.

Tidak hanya mengehadkan kreativitinya kepada Miniature DollHouse dan patung Audrey, Tako juga meluaskan imaginasi seninya ke atas pelbagai produk lain. Di sebuah bazar Pipiteer Gathering di pusat beli-belah Times Square, Kuala Lumpur baru-baru ini, Tako turut mempamerkan himpunan barangan buatan tangannya. Walaupun terpaksa berulang-alik dari Johor dan Kuala Lumpur menggunakan pengangkutan awam, usahanya itu nyata berbaloi.


RUANG bilik yang agak luas ini juga terdapat kabinet-kabinet sewarna.


Lebih-lebih lagi, kehadiran Tako di bazar sudah dinanti-nantikan oleh pelanggan tetap. Malah, rantai kunci pelbagai saiz dan bentuk serta rantai leher bermotifkan kamera vintaj dan beg bagasi menjadi antara tarikan sebilangan pengunjung di tapak jualannya. Penulis yang berada di sana hampir sejam sempat menyaksikan betapa popularnya kraf tangan Tako.

Buktinya, Tako tidak henti-henti melayan pelanggan dan terpaksa meminta maaf kepada pelanggan sewaktu sesi fotografi berlangsung. Ditanya apakah perancangan untuk mengembangkan bisnes kecilnya ini, dia terdiam seketika sebelum menjawab dengan penuh bermakna:

"Saya mahu teruskan hobi ini kerana dengan membuat apa yang saya suka, dari situlah punca pendapatan akan mengalir masuk."