Peserta kriket cedera bas terbalik




TAPAH - Dua guru pengiring dan 17 pemain kriket cedera selepas bas dinaiki mereka terbabas dan terhumban ke dalam longkang di Kilometer 316, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah hari, dua guru pengiring pasukan kriket Selangor, Fitri Aziz Sahlan dan Tahir Othman, masing-masing berusia 30-an cedera parah manakala 17 pelajarnya cedera ringan.

Kesemua mereka yang cedera dirawat di Hospital Tapah. Bagaimanapun bagi 20 lagi penumpang tersebut tidak cedera.

Salah seorang mangsa, Izzat Mustafa Al-Bakry, 12, berkata, ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang selepas berjaya mempertahankan kejuaraan kriket bawah 12 tahun dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) di Pulau Pinang kelmarin.

"Tidak sangka pula semasa kami sedang menyanyi dalam bas tiba-tiba bas hilang kawalan akibat tayar depan meletup.

"Kami semua menjerit dan sedar-sedar keempat-empat tayar bas di atas selepas menjunam ke dalam longkang," ceritanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Selain pemain kriket bawah 12 tahun, bas berkenaan turut membawa 14 pemain kriket bawah 18 tahun Selangor yang menduduki tempat kedua pada temasya tahunan tersebut.