Perolehan Puncak Niaga meningkat




SHAH ALAM - Kumpulan Puncak Niaga Holdings Berhad (Puncak Niaga) mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 1.9 peratus kepada RM1.42 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu.

Puncak Niaga dalam satu kenyataan di sini semalam berkata, peningkatan pendapatan berbanding RM1.39 bilion pada tahun 2007 itu disebabkan oleh hasil air yang lebih tinggi iaitu RM1.39 bilion tahun lalu berbanding RM1.33 bilion pada tahun sebelumnya.

Menurut kenyataan itu, walaupun pendapatan mencatatkan peningkatan, namun keuntungan sebelum cukai menyusut sebanyak RM59 juta kepada RM54.9 juta berbanding dengan RM113.9 juta pada tahun 2007.

"Keuntungan bersih pula yang dicatatkan sebanyak RM22.1 juta berbanding RM69.4 juta pada tahun sebelumnya menunjukkan penyusutan sebanyak RM47.3 juta.

"Penyusutan itu disebabkan oleh pendapatan lain yang lebih rendah, kos operasi yang lebih tinggi, kos kewangan dan belanja susut nilai serta penulasan," kata kenyataan itu.