Kem Motivasi SPM di SMK Tun Habab


PELAJAR dan fasilitator bergambar kenangan di Kem Motivasi, Kepimpinan dan Kecemerlangan SPM 2009 Daerah Kota Tinggi, di SMK Tun Habab, Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.


MOTIVASI DIRI. Seramai 94 pelajar tingkatan lima dari 21 buah sekolah menengah menyertai Kem Motivasi, Kepimpinan dan Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab, Kota Tinggi semalam.

Kem kali pertama yang bertemakan 'Pelajar Cemerlang, Wawasan Dijulang, Negara Terbilang', dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Mahasiswa Anak-Anak Johor (Major) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

Sebanyak 20 modul disediakan sebagai pengisian sepanjang program tersebut termasuk ujian personaliti diri, pengurusan masa dan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Pengarah program, Izi Nasuriddin Nasbi memberitahu, kem berkenaan bertujuan mewujudkan barisan pelapis yang dapat melahirkan insan berguna kepada bangsa dan agama.

"Objektif kem motivasi ialah untuk memberikan kesedaran kepada pelajar pentingnya belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan," katanya.