Selepas 35 tahun - Bintang RTM hilang aura




DARI segi sejarah serta usia yang melebihi 35 tahun, Bintang RTM sudah secara automatik layak berdaftar sebagai pengisi muka surat Malaysia Book of Records sebagai program pertandingan nyanyian paling lama bertahan dalam industri muzik Malaysia.

Itu fakta yang tidak boleh diketepikan. Nama Bintang RTM mula digunakan apabila Bakat Radio dan Bakat TV diselaraskan dan digabungkan pada tahun 1973. Pertandingan Peringkat Akhir yang pertama disiarkan pada 26 Februari 1974.

Pertandingan Bintang RTM berehat selepas tahun 1986 dan memperkenalkan Bintang Hiburan Minggu Ini pada 1991. Nora lahir sebagai juara pada 1991 manakala Datuk Siti Nurhaliza (1995). Bintang RTM diperkenalkan semula pada 1999 dengan Nor Asmadi sebagai juara. Pertandingan berkenaan berhenti lagi selama dua tahun dan diwujudkan semula pada 2001.

Melalui pertandingan ini, RTM telah melahirkan ramai nama besar dalam industri seni hiburan. Antaranya Dahlan Zainuddin, Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad, Rosmaria, Jennifer Yen, M.Rizal, Muhaini Suratman, Yunizar Hussein, Jamal Abdillah, Najib Hanif, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Safar Ghafar, Raisuddin Hamzah, Ramlah Ram, Jamilul Hayat, Noraniza Idris, Noraliza Yusof, Azian Mazwan Safuan, Ayai Ilusi, Siti Nurhaliza dan Azharina Azhar.

Jika tidak menang sekalipun, berada di kalangan peserta akhir saban tahun pertandingan, itu cukup sebagai tiket untuk memulakan langkah panjang sebagai penyanyi popular. Seperti yang berlaku kepada Misha Omar, Sarah Raissudin, Farawahida, Sharifah Zarina dan Izwan Pilus, mereka bukanlah juara tetapi kerja keras dan latar belakang Bintang RTM menjadikan episod bergelar artis menemui jalan yang mudah.

Malangnya, kegemilangan Bintang RTM tidak tidak mudah dipertahankan. Apabila stesen TV lain mula memperkenalkan pertandingan nyanyian bentuk baru, realiti TV yang lebih banyak drama beremosi serta campur tangan peminat, Bintang RTM hilang aura dan semakin terpinggir.

Justeru, Rina Azhar, Felis dan Reynaldo Pagi atau Rey yang lahir sebagai juara Bintang RTM untuk tahun-tahun kebelakangan ini berada jauh dari kerdipan populariti. Rina Azhar (Juara tahun 2004) pernah muncul dengan album, namun tidak sukses bahkan kemudiannya mencuba bergelar peserta One In A Million 2. Dia tidak bernasib baik dan kecundang pada minggu-minggu terawal. Rey (Juara 2007) pula masih bergelar pelajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) manakala Felicia Gek yang menjuarai tahun 2005 juga tidak ke mana-mana kerana mempunyai pekerjaan tetap di Kota Kinabalu, Sabah. Bagi juara-juara ini, tiket juara Bintang RTM sekadar hiasan buat kebanggaan esok hari.

Isu Bintang RTM hilang aura sebenarnya sudah kerap diutarakan namun sampai ke ke tahun 2009 yang menemukan seorang lagi juara baru, Nur Ernie Shahirah Zakri, 17, skala kehangatan Bintang RTM masih tidak berganjak.

Dari segi penampilan, Ernie serta dua lagi finalis Bintang RTM 2009 hadir dalam pakej yang hampir sempurna, ada wajah dan ada bakat, namun mereka kekurangan faktor 'X' iaitu populariti menyebabkan mereka jauh ketinggalan berbanding juara Akademi Fantasia musim ketujuh, Hafiz mahupun juara One In A Million 3, Tomok yang sedang mengecap era kemasyhuran ketika ini.

Apa silapnya percaturan Bintang RTM sehinggakan program pertandingan paling berprestij dari segi kualiti vokal peserta itu seperti tidak diendahkan? Apa yang berlalu sepanjang pertandingan dan siapa juara Bintang RTM juga bagaikan bukan susulan istimewa kepada sesetengah media.

Bersetuju dengan kenyataan itu, komposer muda, Azlan Abu Hassan tampil dengan kenyataan berikut. Katanya, kemunculan terlalu banyak program pertandingan nyanyian lain seperti AF, Mentor, My Star LG serta One In A Million secara tidak langsung memberikan saingan dan mengaburi kerdipan Bintang RTM.

"Dulu hanya Bintang RTM yang menjadi tumpuan apabila sudah banyak program lain, media sudah terlalu banyak pilihan dan hanya memberikan perhatian kepada apa yang baru dan menarik.

"Setiap TV stesen pula berlumba-lumba cari publisiti, siapa ketinggalan dalam soal menambat hati penonton akan ketinggalan dari segi populariti," jelas Azlan.


BANYAK yang berpendapat, Bintang RTM perlu 'dimodenkan' untuk bersaing dengan rancangan realiti lain.


Katanya, paling penting bukan publisiti semasa proses pencarian juara tetapi pengurusan selepas bergelar juara adalah senjata untuk seseorang bintang, bintang dari RTM khususnya untuk menembusi hati peminat.

"Sayangnya bakat yang dilahirkan tidak diteroka jauh. Dulu zaman 70-an, 80-an atau 90-an, memang hanya Bintang RTM yang menjadi kebanggaan, sekarang zaman sudah berubah dan terlalu banyak persaingan.

"Perkara utama yang harus difikirkan selepas bergelar juara adalah single pertama. Nak harapkan album jangan haraplah. Jadi, single itu penting untuk naikkan nama selepas bergelar juara. Kehadiran juara sendiri harus dirasai khalayak barulah aura boleh datang dengan sendiri. Itu juga kelemahan Bintang RTM.

"Sedih jika seseorang juara dilupakan, jangan berharap kepada syarikat rakaman sahaja," getus Azlan.

Tambahan pula, setiap program realiti atau pertandingan lain muncul dengan kreativiti yang pelbagai bagi menonjolkan identiti program begitu juga pasukan promosi yang agresif. Itu antara punca kepopulariti program realiti khususnya Akademi Fantasia yang tidak ada pada Bintang RTM ketika ini.


RINA AZHAR (tengah) antara Juara Bintang RTM yang tenggelam dan dilupakan.


Ada penyanyi dan karyawan muzik bagus tetapi tanpa jentera yang menjana industri muzik itu yang paling penting, syarikat rakaman khususnya. Bintang yang lahir daripada mana-mana program tidak akan ke mana-mana jika produk mereka tidak dipasarkan atau dikendalikan syarikat pengurusan secara profesional.

"Bercakap secara jujur, Bintang RTM perlu menjalinkan kolaborasi dengan syarikat rakaman untuk mengembangkan prestasi bintang yang telah dilahirkan.

"Saya cuma ingat Azharina Azhar, Misha Omar, Siti Sarah, Farawahida dan Ameer Sofaz sebagai produk Bintang RTM yang terakhir, siapa yang lahir dan juara Bintang RTM selepas tahun berkenaan saya tidak kenal," ujar Pengurus Artis dan Repertoir Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad pula.

Jelas Moktaza juga, hanya untuk Bintang RTM 2009, RTM menunjukkan usaha yang proaktif untuk mengembalikan aura yang semakin lenyap.

"Saya dihubungi Ketua Juri Bintang RTM 2009, Datuk Mokhzani Ismail, kami bercakap tentang kontrak dan kerjasama yang boleh dijalankan untuk juara serta finalist Bintang RTM 2009.

"Saya lihat RTM sudah bersedia membuka lembaran baru untuk bintang yang mereka lahirkan. Kami bercakap tentang rancangan untuk menerbitkan single, Warner sebagai pengedar dan penerbit manakala RTM akan bekalkan kumpulan orkestra mereka sebagai pemuzik. Kalau nak upah orkestra sebagai pemuzik, kami pun tak mampu tapi RTM ada kemampuan itu, itu kelebihan RTM," kata Mokhtaza yang lebih sebagai Che Mokh di kalangan media dan pengamal industri.


AZHARINA AZHAR permata dari Sabah yang berjaya digilap Bintang RTM.


Akui Che Mokh juga, bersih kontroversi dan terlalu berhati-hati dalam penjurian juga menjadikan Bintang RTM tidak mencetuskan apa-apa fenomena atau sebarang kejutan.

"Masyarakat sekarang sukakan tarikan, kontroversi, itu yang tiada dalam Bintang RTM," tambahnya.

Berbanding Bintang RTM dalam tempoh kebelakangan ini, Bintang RTM 2009 menjanjikan nafas baru buat pertandingan kebanggaan negara itu. Bagi Che Mokh, juara baru, Ernie Shahirah Zakri, Jo-Anna Sue Henly Rampas (naib juara) dan Nur Fatin Nabila Noor Sazley (tempat ketiga) perlu cepat menggunakan peluang keemasan itu untuk melakar nama sebagai penyanyi.

"Saya lihat pakej yang ada pada Ernie Shahirah Zakri, Jo-Anna Sue Henly Rampas dan Nur Fatin Nabila Noor Sazley. Mereka sangat berbakat namun akan timbul masalah jika faktor akademik dijadikan alasan untuk korbankan karier nyanyian.

"Warner berminat dengan Ernie, tapi dengar cerita sudah ada yang melamarnya. Jadi, kami ada berbincang dengan Jo-Anna tapi keluarganya mahu Jo-Anna menyambung pelajaran. Saya cakap dengan ibu Jo-Anna, semasa belajar juga boleh jadi penyanyi, jadual promosi tak akan bertindih dengan jadual kuliah. Tengoklah, buat masa ini, kami masih berbincang," jelas Che Mokh yang pernah terlibat sebagai juri peringkat separuh akhir Bintang RTM 2009.

Ada penyanyi yang dirahmati kerana dilahirkan sebagai bintang terus sahaja dilimpahi aura dan populariti tapi dalam masa yang sama ada penyanyi yang mencapai bintang dan dibanjiri populariti atas usaha keras yang dilakukan.

Sesuatu perlu dilakukan agar imej Bintang RTM terus dilihat lesu, tidak bermaya. Apalah maknanya menjadi juara satu pertandingan berprestij seperti Bintang RTM kalau selepas itu nasib nama mereka terkubur dan dilupakan.