Rugi jika setakat bergelar juara

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT

[email protected]

IBARAT permata yang ditemui kemudian tertimbus dek ribut pasir di tengah gurun Sahara, begitulah ibaratnya jika bintang yang dipilih sebagai juara sesebuah pertandingan, Bintang RTM khususnya, tidak digilap menjadi penyanyi ternama.

Sudah tiba masanya RTM mengubah tradisi. Jika sebelum ini bakat yang dilahirkan diserahkan bulat-bulat kepada pengamal industri muzik untuk dilentur, dicanai dan dibentuk, kini dan tradisi baru harus dimulakan. Tubuhkan agensi atau jabatan baru sebagai ejen pengurusan artis di bawah RTM, jika Bintang RTM mahu terus bernafas gagah.

Itu antara luahan bekas-bekas juara Bintang RTM yang telah mengukir nama dan sehingga ke hari ini masih disegani sebagai penyanyi hebat di persada muzik tempatan.




KATA Jamal, Bintang RTM kelihatan terpinggir daripada pertandingan nyanyian lain kerana banyak faktor dan situasi itu sebenarnya berbalik kepada stesen RTM sebagai induk.

“Akademi Fantasia jadi popular kerana objektif Astro sendiri mengejar keuntungan. Jadi, artis dan program mereka haruslah popular agar pelaburan mereka berbaloi.

“Mungkin Bintang RTM kurang popular kerana RTM tiada fokus ke arah keuntungan semata-mata. Itu kekurangan Bintang RTM.

“Secara peribadi, sebagai bekas juara Bintang RTM, terdetik rasa rugi di hati saya. Memang satu kerugian jika juara Bintang RTM tidak berjaya menjadi penyanyi besar kerana Bintang RTM sepatutnya platform terbaik untuk pendatang baru mengukir nama sebagai penyanyi. Rugi juga sebab bakat yang berkualiti tidak dapat ditonjolkan kepada masyarakat semata-mata kerana tidak popular,” getus Jamal.




PERTANDINGAN Bintang RTM dulu dan sekarang sangat jauh berbeza, ia ibarat langit dan bumi. Bukan dari segi format penjurian atau bintang yang dilahirkan tetapi perbandingan itu dilihat daripada senario dan penerimaan masyarakat.

Juara Bintang RTM 1984, Juliza Adlizan melihat isu Bintang RTM hilang populariti satu perkara yang sangat dituntut untuk dibicarakan supaya pertandingan berkenaan kembali mengecap kegemilangan seperti suatu masa dulu.

“Zaman sudah berubah, industri sudah berubah, muzik juga sudah banyak perkembangan dan stesen TV juga sudah bertambah. Semuanya berhubung-kait dengan perniagaan dan pemasaran dan kalau mahu terus digilai, Bintang RTM juga kena berubah. Kerana terlalu banyak benda baru, tidak mustahil masyarakat akan terlepas pandang.

“Bukan tiada perubahan langsung, program lain buat undian SMS, Bintang RTM pun buat undian SMS tapi yang saya hormat, Bintang RTM masih kekalkan penjurian profesional,” katanya yang tidak pernah ketinggalan mengikuti perkembangan Bintang RTM dari dulu sampai sekarang.

Secara peribadi, Juliza faham, sebagai badan kerajaan, RTM ada kekangan tersendiri dalam melaksanakan misi berkenaan.

“Fikir saya, status stesen kerajaan itu yang mengekang Bintang RTM untuk terus popular tetapi RTM pun tidak boleh dipersalahkan kerana mereka banyak agenda yang perlu dijaga, bukan hal bintang sahaja.

“Sebab itulah kena ada jabatan lain atau syarikat pengurusan lain yang dipilih oleh RTM sebagai pengendali juara Bintang RTM secara khusus, macam yang dibuat oleh stesen swasta lain, Media Prima ataupun Astro,” cadangnya.

Dalam diam, Juliza kagum dengan Izwan Pilus, salah seorang finalis Bintang RTM 2005 yang tidak pernah kering idea untuk meneruskan kariernya sebagai penyanyi.

“Saya puji Izwan sebab walaupun bukan juara, dia berusaha keras, buat single, buat album dan dia diterima sebagai penyanyi. Bakat dan komitmen sebegitulah yang kita mahukan,” katanya lagi.




BERGELAR penyanyi popular dengan jualan album yang sungguh luar biasa di zaman awal kemunculannya sebagai penyanyi sekitar lewat tahun 80-an, Ramlah Ram anggap itu sebagai emas tempawan yang diraihnya setelah diangkat sebagai juara Bintang RTM 1985. Album pertamanya yang mengandung lagu Kau Kunci Cintaku pernah terjual sebanyak 450,000 unit, satu jumlah yang luar biasa pada zaman itu.

“Orang kenal saya menerusi Bintang RTM tetapi prestasi yang harus dibuktikan selepas menjadi juara adalah penentu masa depan karier seseorang penyanyi.

“Banyak halangan yang harus ditempuhi, bila sudah sukses, barulah aura itu datang. Bukan semua yang bergelar juara akan jadi terus hebat seperti Mawi atau Siti Nurhaliza. Bakat dan usaha kena setanding manakala pengurusan yang baik pula sebagai pemangkin untuk seseorang artis lebih berjaya,” kata Ramlah yang kini masih aktif meneruskan kerjaya seninya.

Bakal muncul dengan album terbaru setelah lebih 10 tahun tahun tanpa album, Ramlah yang pernah digelar Whitney Houston Malaysia ini bernasib baik kerana disunting komposer ternama Datuk Ahmad Nawab untuk dibentuk menjadi penyanyi hebat.

“Saya dulu bertuah sebab kepercayaan komposer yang sangat tersohor, rasanya kalau jadi juara zaman sekarang, susah juga. Sebab itulah kena ada pihak tertentu sebagai pengurus artis, jika berduit bolehlah buat album sendiri, kalau tidak, terpaksalah menapak semula dari bawah,” katanya yang tidak pernah mahu bersara sebagai penyanyi.