Perdana Menteri akan rasmi KISMAS 2009

SUKAN sebagai penjana ekonomi dengan pengurusan yang lebih profesional menjadi agenda utama pada Konvensyen Industri Sukan Malaysia 2009 (KISMAS 2009). pada 7 Ogos depan.

Ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Berjaya Times Square Convention Centre, Kuala Lumpur.

Penekanan lebih terarah kepada pengurusan yang teratur, berkualiti, kompeten dan menguntungkan semua pihak yang terlibat baik secara langsung mahupun tidak langsung.

Selain itu, konvensyen ini diharap dapat menggalakkan perkembangan sukan dan membuka minda masyarakat bahawa sukan adalah satu industri yang besar nilainya.

Konvensyen peringkat nasional bertemakan Sukan Adalah Satu Industri itu dianjurkan buat pertama kali Kementerian Belia dan Sukan melalui Institut Sukan Negara (ISN).

Antara penceramah yang bakal membentangkan kertas kerja ialah Manu Sawhney, Pengarah Urusan ESPN STAR Sports Asia dan Azran Osman Rani, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Sdn. Bhd. yang akan menyentuh tajuk Strategi Media dan Pemasaran Sukan di Dalam Ekonomi Yang Mencabar.

Dijangka hadir ialah David Gill, Ketua Pegawai Eksekutif kelab bola sepak terkemuka Manchester United yang akan menyampaikan ceramah bertajuk Mentadbir Organisasi Sukan Profesional.

Pengerusi Suruhanjaya Sukan Bermotor Malaysia, Datuk Azman Yahya pula membentangkan tajuk Pelancongan Sukan dan Pengurusan Acara.

Konvensyen itu dijangka akan dihadiri 500 peserta yang terdiri daripada kalangan pemimpin, pentadbir, pengurus dan pegawai daripada persatuan-persatuan sukan, syarikat-syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLCs), pengeluar, pembekal, bank, insurans dan badan bukan kerajaan (NGOs).